ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  CODING@SCHOOLS 2017 DILANCARKAN!

Friday 19/05/2017



KUCHING, 19 Mei (Bernama) -- YBhg Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar bin Abdullah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia hari ini telah melancarkan program Coding@Schools 2017 yang akan melatih 6,000 pelajar sekolah rendah dari seluruh negara. Pelancaran program ini diadakan bersempena dengan pelancaran Borneo 744 di Blue Ocean Entrepreneurs Township (BOET), Kuching, Sarawak.
 
Coding@Schools adalah satu program pengenalan untuk pelajar sekolah rendah mempelajari asas-asas dan prinsip coding secara praktikal. Program ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri melalui pembentangan Bajet 2016 dalam usaha untuk menggalakkan inovasi dan keusahawanan di kalangan rakyat Malaysia. Ia juga adalah inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau National Malaysian Blue Ocean Strategy (NBOS).
 
Para peserta Coding@Schools akan dilatih menggunakan dan mempelajari asas web programming seperti HTML, CSS dan JavaScript yang membolehkan mereka mengembangkan kemahiran dalam mencipta dan menulis kod untuk perisian aplikasi. Program ini seterusnya dapat membantu membina kemahiran abad ke-21 peserta seperti menyelesaikan masalah, kreativiti, kolaborasi dan pemikiran komputasional.
 
Kumpulan sasaran adalah pelajar tahun 4, 5 dan 6 yang berumur antara 10-12 tahun. Program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada aktiviti ko-kurikulum di sekolah-sekolah rendah terpilih di seluruh negara.
 
Program rintis pada tahun 2016 telah berjaya melatih seramai 3,000 pelajar sekolah rendah dari 100 buah sekolah dari seluruh negara.
 
Pada tahun ini, program ini akan memberi fokus kepada sekolah-sekolah luar bandar dan memperluaskan kandungannya kepada tiga kategori: Immersion Camp, Alumni Bootcamp dan Hackathon. Jumlah capaian untuk 2017 adalah seramai 6,000 pelajar.

Immersion Camp akan dijalankan di 120 buah sekolah dengan jumlah peserta seramai 3,600 pelajar. Setiap kem akan berlangsung selama 4 hari menggunakan makmal komputer di sekolah. Peserta akan belajar membina laman web asas menggunakan HTML, CSS dan JavaScript dan belajar membina app menggunakan LiveCode.
 
Alumni Bootcamp pula adalah kategori khas untuk sekolah-sekolah yang telah menyertai program ini pada tahun 2016. Seramai 900 pelajar dari 30 buah sekolah yang layak akan menjalankan bootcamp selama 3 hari di mana peserta akan belajar HTML5, CSS3 dan jQuery Mobile untuk membina website apps.
 
Bagi sekolah-sekolah yang tidak terpilih untuk menyertai program ini pada tahun 2016 dan 2017, mereka berpeluang menyertai Hackathon. Enam siri Hackathon akan diadakan dengan jumlah keseluruhan 1,500 pelajar. Setiap Hackathon akan mempunyai seramai 250 peserta yang akan belajar membina apps selama 2 hari menggunakan LiveCode.
 
Kemuncak kepada Coding @ Schools adalah National Code Challenge di mana pasukan terbaik daripada setiap kategori (Immersion, Alumni dan Hackathon) akan bersaing untuk memenangi hadiah utama.
 
Program ini dirancang dan diselaraskan oleh Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri. Pengisian program dan pelaksanaannya dikendalikan oleh StartupMalaysia.org.
 
Sila rujuk lembaran fakta yang dilampirkan untuk maklumat lanjut mengenai program Coding@Schools.
 
KEMENTERIAN KEWANGAN,
PUTRAJAYA
 
SUMBER : StartupMalaysia.org

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Shaz
Tel : 016-7171 709
Email : shazlina@startupmalaysia.org 
Laman web : www.codingatschools.com

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.