ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA KE ARAB SAUDI 20 - 22 MEI 2017

Saturday 20/05/2017



PUTRAJAYA, 20 Mei (Bernama) -- YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan mengadakan lawatan kerja ke Arab Saudi dari 20 hingga 22 Mei 2016 atas jemputan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, Penjaga Dua Masjid Suci bagi menghadiri Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat (Arab, Islamic & US Summit) pada 21 Mei 2017. Sidang kemuncak hasil inisiatif oleh Arab Saudi tersebut diadakan bersempena lawatan negara Presiden Amerika Syarikat, Presiden Donald Trump ke Arab Saudi.
 
TYT Dr. Awwad Bin Saleh Al-Awwad, Menteri Kebudayaan dan Penerangan Arab Saudi yang juga merupakan utusan khas kepada Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud telah menyerahkan surat jemputan tersebut sewaktu lawatan dan kunjungan hormat beliau ke atas YAB Perdana Menteri di Putrajaya pada 11 Mei 2017.
 
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pertahanan merangkap Menteri Tugas - Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri dan YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan.
 
Selain dari menyertai sidang kemuncak tersebut, YAB Perdana Menteri juga akan menghadiri majlis pelancaran bagi Global Centre for Combatting Extremist Ideology di Mu’tamarat, Nasiriyah, Riyadh. Malaysia dijangka akan mempunyai peranan yang penting di dalam pembangunan pusat tersebut kelak. Ini adalah satu pengiktirafan bukan sahaja daripada Arab Saudi malah dari negara-negara dari serata dunia terhadap peranan aktif dan penting Malaysia dalam usaha menangani keganasan di peringkat global.
 
Pada hari terakhir lawatan tersebut, YAB Perdana Menteri dijadualkan mengadap Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Putera Mahkota Mohammad Bin Naif Al-Saud dan Timbalan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman Al-Saud. Pertemuan tersebut akan memberikan peluang kepada kedua-kedua pemimpin membincangkan isu-isu hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa.
 
Malaysia dan Arab Saudi sentiasa berkerjasama rapat dalam usaha mempromosikan keamanan, kestabilan dan keselamatan di peringkat global khususnya kepada dunia Islam. Lawatan YAB Perdana Menteri ke Arab Saudi ini akan dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara yang telah sedia terjalin rapat dan berada di tahap yang tertinggi.

Sumber : Kementerian Luar Negeri 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : AZREEY ABU KASIM
Assistant Secretary
Division of Communications and Public Diplomacy
Emel : azreey@kln.gov.my

--BERNAMA


 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.