ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 25, 2024 -Khamis

 
  KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA : SITUASI TERKINI KES RABIES DI SARAWAK DAN KES GIGITAN ANJING YANG DILAPORKAN DI PERAK SERTA MELAKA

Monday 17/07/2017



KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Pada 1 Julai 2017, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memaklumkan bahawa terdapat kes rabies dari Daerah Serian Sarawak yang disahkan melalui ujian makmal pada 30 Jun 2017.

KKM ingin memaklumkan perkembangan terkini bahawa kes keempat rabies iaitu seorang kanak-kanak berumur 5 tahun dari Kampung Ampungan, Serian Sarawak telah meninggal dunia pada pukul 2.05 petang 17 Julai 2017 akibat daripada rabies encephalomyelitis. Jumlah kes rabies adalah empat (4) di mana kesemuanya telah meninggal dunia. Tiada kes rabies baru dilaporkan.

KKM juga ingin merujuk kepada kenyataan media Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia bertarikh 16 Julai 2017 berhubung seekor anjing didapati positif rabies di Kuala Sepetang, Taiping Perak pada 15 Julai 2017. Anjing tersebut telah menggigit dua (2) orang kanak-kanak di kawasan tersebut pada 4 Julai 2017. Kedua-dua kes telah diberikan rawatan pesakit luar dan tidak mempunyai gejala klinikal serta dalam keadaan stabil. Jabatan Kesihatan Negeri Perak melalui Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang dan Selama sedang melaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk pengesanan kes gigitan anjing di kawasan terlibat bagi tujuan rawatan dan pemantauan lanjut.

Manakala bagi kes gigitan anjing yang dilaporkan oleh media sebelum ini iaitu seorang kanak-kanak lelaki berumur 6 tahun yang dimasukkan ke wad Hospital Melaka kerana mempunyai sejarah digigit anjing di Serian Sarawak, ujian awal makmal rabies yang dijalankan adalah negatif. Kes dalam keadaan stabil dan akan dibuat pemeriksaan serta pemantauan lanjut kerana tempoh inkubasi penyakit rabies adalah lama. 

Sehubungan itu, KKM ingin memaklumkan bahawa buat masa ini tiada kes positif rabies dalam kalangan manusia dilaporkan di Negeri Melaka dan Perak.

Bagi tujuan pemeriksaan risiko jangkitan rabies dan rawatan lanjut, orang awam yang mempunyai sejarah digigit haiwan (anjing atau kucing) di Daerah Serian, Sarawak dalam tempoh 1 April 2017 hingga 17 Julai 2017 atau orang awam yang mempunyai sejarah digigit anjing di kawasan sekitar Kuala Sepetang Perak dalam tempoh 4 Julai 2017 hingga 17 Julai 2017 adalah diminta hadir ke klinik kesihatan atau hospital berhampiran bagi tujuan tersebut.

KKM ingin menasihati orang awam yang tinggal di Daerah Serian atau kawasan sekitar Kuala Sepetang Perak agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada dijangkiti penyakit rabies:
  • Dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital berdekatan sekiranya mengalami gigitan anjing atau kucing (anjing/kucing peliharaan atau liar);
  • Pastikan anjing atau kucing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan kontak dengan anjing atau kucing liar;
     
  • Jika anjing atau kucing peliharaan didapati tidak sihat atau berkelakuan agresif dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar berdekatan;
     
  • Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing atau kucing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
     
  • Sentiasa kekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas kontak dengan anjing/kucing peliharaan atau liar.

KKM akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain yang berkaitan bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies di Malaysia dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
 
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia 


SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Nor Suzaman Abdul Rahman
Tel : 03-8883 3470 / 013-399 7025
Emel : n.suzaman@moh.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.