ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA : SITUASI TERKINI RABIES DI SARAWAK PADA 24 JULAI 2017

Monday 24/07/2017



KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan  bahawa kes kelima rabies iaitu seorang lelaki berumur 52 tahun dari Kampung Remun, Sarawak yang telah dilaporkan oleh KKM pada 19 Julai 2017 setelah disahkan positif rabies pada 18 Julai 2017, telah meninggal dunia pada 23 Julai 2017, jam 10:43 malam. Penyebab kematian adalah rabies with underlying pulmonary tuberculosis
 
Sehingga 24 Julai 2017, terdapat lima (5) kes dalam kalangan manusia yang telah disahkan positif rabies di mana kesemuanya telah meninggal dunia. Kesemuanya adalah dilaporkan di Serian, Sarawak. Tiada kes baru dilaporkan buat masa ini
 
Sebanyak 20 kawasan di dalam tiga (3) bahagian iaitu Bahagian Serian, Bahagian Sri Aman dan Bahagian Kuching telah diisytiharkan kawasan jangkitan rabies dalam kalangan haiwan oleh Kerajaan Negeri Sarawak. Sehubungan itu, aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk pengesanan kes gigitan anjing mengikut prosedur sedia telah dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Pejabat Kesihatan Bahagian yang terlibat. Sehingga 23 Julai 2017, sebanyak 770 kes gigitan haiwan (anjing dan kucing) di dalam tiga (3) bahagian yang terlibat telah dikesan dan diberikan rawatan lanjut.
                                                                            
KKM menasihati orang awam yang tinggal di Bahagian Serian, Bahagian Sri Aman dan Bahagian Kuching, Sarawak agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan dari dijangkiti penyakit rabies: 

i. Cuci bahagian tubuh yang digigit dengan sabun dan air mengalir bagi menghilang kesan air liur;
ii. Dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika telah mengalami gigitan haiwan seperti anjing atau kucing peliharaan yang agresif atau anjing liar;
iii. Pastikan anjing atau kucing peliharaan telah mendapatkan suntikan antirabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan kontak bersama haiwan atau anjing liar;
iv. Jika anjing atau kucing peliharaan didapati tidak sihat atau agresif dapatkan rawatan di klinik haiwan dan laporkan ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan
Veterinar setempat;
v. Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
vi. Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas kontak dengan anjing peliharaan.
 
KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain di negeri berkaitan bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies  dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
 
Sekian, terima kasih.
 
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA    
 
SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Nor Suzaman Abdul Rahman
Tel : 03-8883 3470 / 013-399 7025
Emel : n.suzaman@moh.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.