ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 19, 2024 -Jumaat

 
  MIDA BERTEMU SYARIKAT MULTINASIONAL (MNC) DAN PERUSAHAAN KECIL & SEDERHANA (PKS) DI WILAYAH SELATAN UNTUK TERUS MENGGALAKKAN HUBUNGAN PERNIAGAAN MAMPAN

Thursday 17/08/2017



JOHOR, 17 Ogos (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah menganjurkan Persidangan Rantaian Bekalan bagi Wilayah Selatan di Johor Bahru, hari ini. Persidangan tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Prof Datuk Ismail Ibrahim, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa  Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), yang mewakili Menteri Besar Johor. Persidangan ini adalah yang ketiga dalam siri bagi tahun 2017 selepas Pahang (Wilayah Pantai Timur) dan Pulau Pinang (Wilayah Utara). Menurut Datuk N. Rajendran, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA dalam ucapannya, siri rantaian bekalan ini telah bermula dengan persidangan di peringkat kebangsaan yang diadakan pada Disember tahun lalu di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Berikutan kejayaan persidangan tersebut, MIDA menganjurkan persidangan rantaian bekalan ini di pelbagai wilayah di Malaysia, dengan memberi tumpuan kepada kekuatan ekonomi di setiap wilayah.
 
"Kami percaya bahawa platform ini akan terus menggalakkan hubungan perniagaan yang mampan ke arah merangsang pertumbuhan rantaian bekalan antara Syarikat-syarikat Multinasional (MNC) dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di Malaysia. Kami juga berharap inisiatif ini akan membuka peluang yang tepat bagi syarikat-syarikat untuk membentuk kerjasama strategik yang saling menguntungkan. Dengan wujudnya peningkatan aliran pelaburan langsung asing pada tahun-tahun kebelakangan ini, kini terdapat lebih banyak peluang untuk PKS berbanding sebelum ini," kata Datuk Rajendran.
 
Wilayah Selatan telah menjadi pangkalan kepada banyak syarikat global seperti Lotte Chemical Titan, Hershey, Dyson, Seagate di Johor serta Infineon, Honda, Konika Minolta, Xinyi Solar di Melaka. Perniagaan mereka telah berkembang maju dengan sokongan para pemain tempatan sebagai pembekal bahan mentah, bahagian, komponen dan perkhidmatan sampingan. Modus operandi ini telah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan telah meningkatkan keteguhan ekonomi secara keseluruhannya.

Dalam persidangan tersebut, PKS telah digesa untuk meningkatkan tahap kecekapan mereka, memperkukuhkan hubungan antara firma dan bertindak balas dengan tepat pada masanya mengikut arus perubahan pasaran untuk terus berdaya saing. Syarikat-syarikat tempatan, terutamanya mereka yang berada dalam industri berintensif buruh seperti industri perabot, boleh mendapat banyak manfaat dengan menggunapakai teknologi Industri 4.0, termasuk perkilangan pintar, robotik dan internet of things (Iot) untuk meningkatkan jumlah pengeluaran dan mengurangkan kebergantungan pada buruh asing.

"Di bawah Bajet 2015, Elaun Modal Automasi telah diperkenalkan untuk menggalakkan penggunaan automasi dalam sektor perkilangan. Inisiatif ini menyediakan elaun modal automasi sebanyak 200% untuk industri berintensif buruh yang tinggi seperti produk getah, plastik, kayu, perabot dan tekstil. Bagi skim ini, MIDA telah meluluskan 32 permohonan pada tahun 2016. Selaras dengan pengumuman Kementerian Kewangan untuk memperkenalkan insentif khusus berhubung Industri 4.0 untuk bajet tahun ini, MIDA kini sedang dalam proses mengenal pasti insentif yang sesuai untuk membantu syarikat-syarikat dalam perjalanan transformasi teknologi mereka," kata Datuk Rajendran.
 
Johor tidak lama lagi akan mempunyai taman perindustrian khusus untuk industri perabot di Muar. Pengilangan perabot secara tradisinya adalah merupakan industri berintensifkan buruh dan didominasi oleh PKS. Selaras dengan hala tuju ke arah perkilangan pintar dan automasi, MIDA akan bekerjasama rapat dengan Perbadanan Johor (JCorp) dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan untuk memastikan Taman Perabot Muar yang baru akan mempunyai semua nilai yang tepat bagi memacu penggunaan Industri 4.0 di kalangan syarikat tempatan. Ini akan memperkukuh lagi kedudukan Johor sebagai pengeksport utama perabot kayu bernilai tambah tinggi Malaysia.
 
Johor juga akan menubuhkan Robotic Future City berikutan perjanjian yang ditandatangani antara JCorp dan Siasun Robot Investment semasa lawatan Perdana Menteri ke Beijing pada bulan Mei tahun ini. Setelah menjadi kenyataan, projek bernilai RM15 bilion ini bakal membangunkan industri robotik serta memacu pertumbuhan pelbagai rantaian bekalan di negara ini.

Persidangan Rantaian Bekalan MIDA menampilkan perbincangan panel dengan penceramah utama dari Perbadanan Pembangunan Petroleum Johor (JPDC), Hershey Malaysia, Lotte Chemical Titan (M) Sdn. Bhd., Persatuan Perabot Muar dan dimoderasikan oleh Encik Prakash Nagarajan, dari Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA). Sesi Pemadanan Perniagaan yang melibatkan lebih daripada 20 MNC juga diadakan pada sebelah petang. Syarikat-syarikat utama yang menyertai sesi ini termasuk Pokka Malaysia Sdn. Bhd. BASF (M) Sdn. Bhd. Altech Chemicals Sdn. Bhd., Ciba Vision Johor Sdn. Bhd., JVC Kenwood Electronics Malaysia Sdn. Bhd. dan Biocon Sdn. Bhd.

Johor adalah antara penerima pelaburan utama dalam sektor perkilangan. Setakat tahun 2016, sebanyak 4,464 projek dengan pelaburan bernilai RM145.2 bilion telah dilaksanakan di negeri ini. Lebih 500,000 penduduk tempatan telah mendapat manfaat daripada projek-projek ini melalui pekerjaan. Johor terus mengekalkan kedudukannya pada 2016 apabila ia muncul sebagai penerima terbesar projek perkilangan yang diluluskan pada tahun lepas dengan 165 projek bernilai RM26.4 bilion. Projek-projek ini bakal menghasilkan lebih 8,500 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

MIDA
MIDA merupakan agensi promosi utama kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyelia dan memacu pelaburan ke dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia. Memulakan operasi pada tahun 1967 dengan hanya 37 kakitangan, MIDA telah berkembang menjadi organisasi yang kukuh dan dinamik dan mempunyai lebih 700 pekerja. Beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA hari ini mempunyai 12 pejabat daerah dan 23 pejabat di luar negara. Tahun ini selaras dengan sambutan ulang tahun ke-50 penubuhannya, MIDA terus menjadi rakan strategik kepada perniagaan dalam merebut peluang yang muncul daripada revolusi teknologi era ini.
 
Sumber : Malaysian Investment Development Authority (MIDA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Encik Ahmad Tajudin Omar
Pengarah Bahagian Pelaburan Tempatan & Penyelarasan Rantaian Bekalan, MIDA
Tel : 03-2267 3627 
Emel : tajudin@mida.gov.my

--BERNAMA


 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.