ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  KENYATAAN AKHBAR OLEH DATO' DR OOI ENG HOCK PENGERUSI FMM PULAU PINANG : FMM PULAU PINANG MENGALU-ALUKAN PELAKSANAAN PROJEK LRT BAYAN LEPAS

Friday 18/08/2017


Delegasi FMM Pulau Pinang bersama Ketua Jurutera Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang Special Purpose Vehicle (PSV) Dato' Ir. Ang Aing Thye (barisan duduk, tengah) selepas taklimat Laporan EIA LRT Bayan Lepas



GEORGE TOWN, 18 Ogos (Bernama) -- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Cawangan Pulau Pinangdiketuai Pengerusinya Dato’ Dr Ooi Eng Hock, telah mengadakan sesi penglibatan yang berhasil dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengenai Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) LRT Bayan Lepas pada 11 Ogos.

“Bagi pihak FMM Pulau Pinang, kami amat menggalakkan LRT Bayan Lepas. Kami rasa ini merupakan masa yang sesuai bagi Kerajaan Negeri untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) dengan melangsungkan projek pertamanya yang telah lama ditunggu-tunggu iaitu LRT Bayan Lepas. Kami percaya bahawa LRT adalah satu penyelesaian yang optimum untuk mengurangkan trafik di bahagian Pulau Pinang yang terpadat dengan kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing setiap hari.

“Selain itu, ia akan membentuk sebahagian daripada enjin pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang untuk masa 20 tahun akan datang. Kami percaya bahawa pelaburan, sama ada dalam bentuk FDI atau dari syarikat-syarikat tempatan dan luar, akan bertambah dengan pelaksanaan sistem LRT ini, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi negeri, dan juga Malaysia. Seterusnya, ia juga akan meningkatkan hasil cukai untuk negara,” ujar Dato’ Dr Ooi.

“FMM Pulau Pinang bersetuju bahawa peningkatan penggunaan pengangkutan awam dan memperbaiki kebolehaksesan ke kawasan-kawasan kediaman, komersil dan perindustrian adalah penyelesaian yang paling optimum untuk masalah kesesakan yang dijadikan lebih teruk oleh pertumbuhan penduduk dan penggunaan kenderaan persendirian yang makin meningkat,” katanya.

Semasa taklimat tersebut, FMM Pulau Pinang telah dimaklumkan bahawa fasa 1 projek LRT ini disasarkan untuk memulakan pembinaan pada tahun depan sekiranya ia diluluskan dan akan mengambil masa 6 tahun untuk disiapkan. 

FMM Pulau Pinang amat bersukacita apabila diberitahu bahawa akan terdapat dua stesen LRT yang sedang dirancang di FIZ, dengan satu stesen di kawasan-kawasan Fasa 1 dan Fasa 2 FIZ (FIZ Utara dan FIZ Selatan) sebelum ia berlangsung ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas.

“Kami mempunyai lebih daripada 100,000 pekerja di sekitar kawasan FIZ Bayan Lepas. Kami yakin bahawa projek LRT ini bukan hanya akan memanfaatkan pekerja FIZ dengan kemudahan yang lebih bagus, tetapi juga dapat mengurangkan kos pengangkutan bagi syarikat-syarikat yang menyediakan pengangkutan untuk pekerja-pekerja mereka.”

“Apabila siap kelak, LRT sebagai mod pengangkutan yang boleh diharap dan selamat akan mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya, apabila orang ramai dan pengunjung serantau dan luar negeri mula berulang-alik menggunakan LRT. Ini akan mengurangkan pergantungan kepada rangkaian lebuh raya dan jalan raya secara beransur-ansur, terutamanya bagi pengguna kenderaan peribadi.

“Bersama dengan persimpangan LRT Bayan Lepas yang dirancang dengan Terminal Bas Ekspres Sg. Nibong, Hab Bas Rapid Penang di SPICE dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, serta hab pertukaran (interchange) dengan jajaran rel masa depan, penggunaan pengangkutan awam akan dipermudahkan lagi untuk semua. Kami mengalu-alukan prospek pelaksanaannya secepat mungkin."

FMM Pulau Pinang berbesar hati untuk menyertai maklum balas awam bagi Laporan EIA LRT Bayan Lepas dan ingin memberi beberapa cadangan dan pengesyoran kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi menjayakan pelaksanaan projek tersebut untuk kepentingan sektor perindustrian di Pulau Pinang:

- Untuk memastikan kemudahan parkir yang mencukupi dengan jajaran LRT Bayan Lepas FIZ bagi memastikan pemindahan pekerja-pekerja kilang yang lancar.

- Langkah-langkah pencegahan, terutamanya pengurusan trafik dan bunyi dan getaran, haruslah mematuhi piawaian yang tinggi untuk mengurangkan kesulitan kepada orang awam semasa pembinaan LRT dan apabila beroperasi pada masa depan.

- Waktu operasi LRT harus mengambil kira waktu penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bagi mereka yang perlu menaiki penerbangan awal pagi atau lewat malam.

- Memastikan tambang LRT yang berpatutan untuk memenuhi keperluan semua golongan masyarakat.

- LRT perlu dilengkapkan dengan rangkaian bas perantara yang cekap untuk memastikan sambungan terakhir di setiap stesen.

- Syarikat-syarikat tempatan boleh mendapat manfaat dengan menyertai pembangunan, pelaksanaan dan pengendalian projek LRT ini.

SUMBER : Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Cawangan Pulau Pinang
 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama : Dato' Dr. Ooi Eng Hock
Pengerusi FMM Pulau Pinang
Tel : 019-411 1229

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.