ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA ISU KEKURANGAN BEKALAN UBAT-UBATAN DI HOSPITAL KERAJAAN

Saturday 19/08/2017



KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai satu artikel yang telah dipaparkan dalam The Malaysian Insight yang bertajuk ‘Drug Shortage Ails Patients in Government Hospitals’ bertarikh 14 Ogos 2017. Menurut artikel tersebut, terdapat masalah bekalan ubat-ubatan di hospital-hospital kerajaan di mana ubat-ubatan dibekal untuk tempoh kurang daripada sebulan dan seterusnya membebankan pesakit  kerana perlu kerap ke hospital untuk mengambil bekalan ubat susulan. 
  
Peruntukan yang mencukupi bagi perolehan ubat-ubatan bagi tahun 2017 telah disalurkan kepada semua hospital berdasarkan jumlah perbelanjaan pada tahun 2016. Walau bagaimanapun, diakui terdapat insiden gangguan bekalan bagi beberapa jenis ubat disebabkan oleh masalah pengilangan yang dihadapi oleh syarikat pengeluar. Di samping itu, terdapat juga peningkatan bilangan pesakit yang datang ke fasiliti KKM pada tahun ini.  
  
Bagi memastikan bekalan ubat mencukupi, tindakan secara close monitoring dan juga mengenalpasti sumber bekalan alternatif bagi ubat-ubatan yang terlibat telah diambil. Peruntukan kewangan tambahan untuk pembelian ubat-ubatan juga telah diagihkan kepada hospital-hospital bagi memastikan bekalan ubat-ubatan kepada pesakit mencukupi dan tidak membebankan pesakit. 
  
Polisi pembekalan ubat-ubatan di fasiliti KKM adalah untuk tempoh sebulan telah dilaksanakan sejak 2016 di mana ianya adalah untuk memastikan kefahaman serta kepatuhan pesakit terhadap ubat-ubatan yang diberi, dan ia juga bagi mengelakkan pembaziran. Semasa sesi temujanji mendapatkan ubat-ubatan tersebut, pegawai Unit Farmasi boleh memberikan nasihat dan maklumat kepada pesakit mengenai ubat yang diberi.
 
Bagi pesakit-pesakit yang menerima bekalan ubat separa, beberapa perkhidmatan tambah nilai telah disediakan untuk memudahkan pesakit mendapatkan bekalan ubat. Antara perkhidmatan tambah nilai yang ditawarkan adalah Sistem Kad Temujanji, SMS dan Ambil, Locker4u (yang boleh didapati di beberapa negeri) dan lain-lain, Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB) dan perkhidmatan Ubat Melalui Pos 1Malaysia (UMP1M). Pesakit boleh merujuk kepada pegawai farmasi di fasiliti berkaitan untuk maklumat dan penjelasan lanjut. Ini dapat mengatasi masalah pesakit perlu kerap ke hospital untuk mengambil ubat susulan dan tidak perlu menunggu lama di Jabatan Farmasi untuk mengambil ubat.  
 
Pihak KKM sentiasa prihatin dengan keperluan kesihatan rakyat dan komited dalam kesinambungan rawatan pesakit. Untuk memastikan bekalan ubat yang berterusan, keperluan peruntukan sentiasa dikaji dan sebarang tambahan peruntukan akan disalurkan dari semasa ke semasa.
  
Sekian, terima kasih.
 
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Nor Suzaman Abdul Rahman
Tel : 03-8883 3470 / 013-399 7025
Emel : n.suzaman@moh.gov.my

--BERNAMA

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.