ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  OMCORP SDN BHD, CONTOH SME HALAL PEMBEKAL KEPADA SYARIKAT MULTINASIONAL

Friday 06/10/2017



KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Halal Industry Development Corporation (HDC) hari ini mengadakan lawatan ke Omcorp Sdn Bhd (Omcorp) bersama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri YB Datuk Haji Ahmad Haji Maslan untuk memperkenalkan syarikat SME Halal tempatan yang telah berjaya menjadi pembekal kepada syarikat Multinasional atau MNC.

Ditubuhkan pada tahun 1994 dengan hasrat untuk menghasilkan produk makanan berasaskan daging lembu dan ayam yang Halal, bersih dan berkualiti, Omcorp telah dipilih untuk dibimbing di bawah program kerjasama HDC bersama syarikat multinasional (MNC/LLC-SME Partnership).

Melalui program tersebut, HDC bersama Nestlè Malaysia Berhad (Nestlè) telah membimbing Omcorp untuk menjadi pembekal bahan ramuan  kering halal seperti serbuk ayam, lemak ayam dan ekstrak, serbuk daging dan lemak dan ekstrak daging lembu untuk Nestlè Malaysia Berhad.  Antara bimbingan yang telah diberikan adalah seperti nasihat teknikal, penambahbaikan proses dan produk, nasihat berkenaan Halal dan perniagaan. 

Pembekalan pertama telah berjaya dikeluarkan oleh Omcorp pada bulan Julai 2016, dengan jumlah 6 metrik ton sebulan dan jumlah ini dijangka meningkat kepada 10 metrik tan sebulan pada Disember tahun 2017  seterusnya kepada 15 metrik ton sebulan pada tahun 2018.

Dari segi pendapatan jualan pula, ianya meningkat daripada RM 1.5 juta (Ogos 2015) kepada RM 3.6 juta (Ogos 2017) dengan menjadi pembekal kepada Nestlè dan dijangka meningkat kepada RM 6 juta pada tahun 2018.  

Lawatan ke Omcorp hari ini juga menekankan aspirasi YAB. Timbalan Perdana Menteri semasa sesi Dialog Perdana Industri Halal yang telah diadakan pada 11 September lalu, disusuli pula dengan sesi Meja Bulat bersama MNC pada 4 October baru-baru ini di mana dalam kenyataan beliau, syarikat tempatan digesa untuk bekerjasama dengan syarikat multinasional (MNC) untuk terus membangun dan membolehkan mereka memasarkan produk dan perkhidmatan halal mereka di peringkat antarabangsa. 

Secara keseluruhannya, HDC diamanahkan untuk membangunkan dan melaksanakan salah satu daripada prinsip utama Pelan Induk Industri Halal bagi meningkatkan sumbangan ekonomi daripada industri berkaitan Halal dengan mengenal pasti program pembangunan kapasiti yang akan meningkatkan pertumbuhan eksport dan mengurangkan import (meningkatkan kadar sara diri negara) dalam industri yang berkaitan Halal.

HDC telah banyak membantu syarikat tempatan untuk menerokai pasaran Halal. Visi HDC adalah sentiasa memupuk syarikat-syarikat Halal tempatan untuk melopori pasaran yang lebih besar dan melalui  Program Usahasama LLC/MNC-SME HDC dapat menggalakkan perkongsian industri di antara syarikat besar seperti Multinasional dengan syarikat Halal tempatan. Antara  MNC/LLC yang menyertai program ini ialah Nestlè Malaysia Sdn Bhd, Mondelez Malaysia Sales Sdn. Bhd, Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd dan Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd.

MENGENAI HALAL INDUSTRY DEVELOPMENT CORPORATION SDN BHD (HDC)

Halal Industry Development Corporation (HDC) ditubuhkan pada 18 September 2006  berperanan untuk mengendalikan dan memantau keseluruhan pembangunan industri Halal Malaysia baik di dalam mahupun pasaran luar negara. HDC adalah agensi di bawah naungan Kementerian Perdagangan Antarabangsan dan Industri (MITI).

HDC adalah pendekatan holistik Malaysia terhadap permintaan produk dan perkhidmatan Halal dunia yang semakin meningkat. Objektif utama HDC adalah adalah sebagai penggerak utama bagi industri Halal Malaysia untuk berkembang dengan pengenalan piawaian Halal dalam produk dan perkhidmatan yang boleh digunapakai di serata pelusuk dunia. Kini, dianggarkan terdapat lebih daripada 1.8 billion Muslim di seluruh dunia manakala dianggarkan juga pasaran global Halal kini adalah dalam lingkungan USD 2.3 trillion yang meliputi pelbagai sektor.

Dalam usaha untuk memperkasakan industri Halal dan para pelabur tempatan dan luar negara dalam lapangan antarabangsa berteraskan Halal – HDC menawarkan sokongan menyeluruh bagi mana-mana pihak yang berminat untuk menceburi bidang industri ini. Kepakaran HDC adalah bersumberkan keterlibatan Malaysia sendiri dalam arena perniagaan Halal baik di dalam mahupun luar negara. Sila layari www.hdcglobal.com untuk maklumat lanjut.

SUMBER : Halal Industry Development Corporation (HDC) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama : Norsida Ahmad
Perhubungan Awam & Media, HDC
Tel : +6012 324 9703 
Emel : norsida.ahmad@hdcglobal.com

--BERNAMA 

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.