ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 19, 2024 -Jumaat

 
  KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI, ZIKA DAN CHIKUNGUNYA DI MALAYSIA

Thursday 07/12/2017



(Bagi Minggu 48/2017 dari 26 November hingga 2 Disember 2017)

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Bagi menghalang kejadian kes Denggi meningkat pada penghujung tahun seperti tahun sebelum ini, kebersihan persekitaran adalah menjadi keutamaan semua masyarakat. Ketiadaan tempat nyamuk untuk membiak boleh mengurangkan populasi nyamuk Aedes seterusnya mengurangkan penyebaran virus Denggi. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga dipohon untuk meningkatkan aktiviti pencegahan dan kawalan Denggi serta memastikan kutipan sampah dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu di kawasan pengurusan mereka. Penglibatan komuniti untuk menjalankan aktiviti ‘cari dan musnah’ tempat pembiakan Aedes setiap minggu akan dapat meningkatkan kebersihan persekitaran di tempat mereka.

Pada minggu ke 48 iaitu dari 26 November hingga 2 Disember 2017, kes Denggi terus menunjukkan penurunan. Pengurangan sebanyak 129 kes (13.4%) dicatatkan di mana 832 kes Demam Denggi telah dilaporkan pada tempoh tersebut berbanding 961 kes direkodkan pada minggu sebelumnya. Jumlah kumulatif kes Demam Denggi sehingga 2 Disember 2017 adalah sebanyak 79,855 kes berbanding 95,665 kes pada tahun 2017, penyusutan sebanyak 15,810 kes (16.5%).

Bagi tempoh yang sama, jumlah keseluruhan kematian Demam Denggi di Malaysia juga turut menunjukkan pengurangan sebanyak 55 kematian (24.7%) di mana 168 kematian telah direkodkan pada tahun ini berbanding 223 kematian pada tahun 2016. Empat (4) kematian telah dilaporkan sepanjang 26 November hingga 2 Disember 2017.

Terdapat sebanyak 262 lokaliti wabak Demam Denggi yang masih aktif sehingga 2 Disember 2017. Selain itu, 20 lokaliti hotspot semasa yang direkodkan melibatkan lima (5) buah negeri iaitu di Selangor 16 lokaliti dan masing-masing satu (1) lokaliti di Pulau Pinang, WPKL & Putrajaya, Johor serta Sabah. Jumlah lokaliti wabak semasa berkurang 16 lokaliti (5.8%) dan satu (1) lokaliti (4%) untuk hotspot berbanding minggu sebelumnya. Prestasi ini perlu dikekal serta ditambahbaik supaya hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mewujudkan negara bebas Denggi dapat direalisasikan.

Tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Program “Gotong Royong Mega Bersepadu Perangi Aedes Siri 2" yang juga dijalankan secara serentak di seluruh negara pada 2 Disember 2017. Objektif utama program ini adalah untuk mengekalkan prestasi penurunan kes Denggi yang bermula sejak pertengahan bulan Ogos tahun ini. Denggi tidak boleh ditangani oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja. Komitmen dan kerjasama terutamanya daripada masyarakat setempat, agensi kerajaan lain, syarikat swasta dan badan-badan bukan kerajaan amatlah penting bagi menjayakan agenda ini. Aktiviti gotong-royong kali ini adalah salah satu contoh komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh kerajaan dan masyarakat serta agensi yang terlibat bagi membendung Denggi.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerima sebanyak satu (1) kes Chikungunya dari Kota Bharu, Kelantan. Jumlah kumulatif kes Chikungunya bermula dari 1 Januari hingga 2 Disember 2017 adalah sebanyak 268 kes iaitu 190 kes dari Kedah, 33 kes dari Selangor, 24 kes dari Johor, 17 kes dari Kelantan dan masing-masing dua (2) kes dari Perak dan Sarawak. Survelan berterusan untuk mengesan jangkitan Zika masih dilakukan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan juga lnstitut Penyelidikan Perubatan (IMR). Dari 1 Januari 2017 sehingga 2 Disember 2017 sebanyak 2,083 sampel darah dan 33 sampel air kencing telah diuji dan tiada jangkitan virus Zika yang dikesan setakat ini.

Tiada Aedes, Tiada Denggi, Zika dan Chikungunya

Sila klik di sini untuk LAMPIRAN

DATUK DR. NOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Nor Suzaman Abdul Rahman
Tel : 03-8883 3470 / 013-399 7025
Emel : n.suzaman@moh.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.