ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  PENJELASAN LHDNM BERHUBUNG DAKWAAN BAYARAN KOMISEN YANG DITERIMA

Wednesday 13/12/2017



KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Hasil Dalam Negeri (JHDN) telah diperbadankan mulai 1 Mac 1996 selaras dengan pengenalan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1996 (Akta 533). Salah satu fungsi utama LHDNM di bawah Akta 533 ialah bertindak sebagai ejen untuk mengutip cukai langsung bagi pihak Kerajaan. Sejak awal penubuhannya, pihak Kerajaan dan LHDNM telah menandatangani Perjanjian Agensi yang antara lain memperuntukkan kaedah bayaran fi bagi perkhidmatan yang diberikan oleh LHDNM kepada Kerajaan.
 
Faktor utama yang diambil kira dalam penentuan kadar fi agensi adalah perbelanjaan operasi dan pembangunan LHDNM setiap tahun yang antara lain melibatkan bayaran seperti emolumen, sewaan bangunan, utiliti, senggaraan bangunan, perkhidmatan hospitaliti dan perolehan bangunan atau sistem teknologi yang baru. Sehubungan dengan itu, LHDNM menafikan fi agensi yang diterima selaras dengan peruntukan Akta 533 adalah berbentuk komisen yang ditentukan daripada jumlah kutipan cukai yang berjaya dikutip. Asas penentuan fi yang diterima oleh LHDNM adalah sangat jelas dan pihak LHDNM sentiasa memberikan justifikasi kepada Kerajaan apakah bajet sebenar yang diperlukan oleh LHDNM untuk menjalankan fungsinya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta 533.
 
Selain itu, segala urusan yang melibatkan fi agensi yang diterima dan perbelanjaan LHDNM dikawalselia oleh Lembaga Pengarah yang bertanggungjawab memastikan tadbir urus korporat yang tinggi. Anggota-anggota Lembaga Pengarah LHDNM adalah terdiri daripada wakil agensi kerajaan, korporat dan swasta yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang kewangan, komersial, percukaian atau undang-undang.
 
Pihak LHDNM juga menafikan aktiviti audit dan siasatan yang dijalankan pada setiap tahun adalah didorong oleh ganjaran yang bakal diterima hasil daripada kutipan cukai. Adalah ditegaskan bahawa tugas serta tanggungjawab utama LHDNM di dalam pelaksanaan sistem taksir sendiri adalah untuk memastikan pembayar cukai melapor atau melaporkan dengan betul cukai yang sepatutnya dibayar. Sistem taksir sendiri yang mula diperkenalkan dalam tahun 2001 memberi kebebasan sepenuhnya kepada pembayar cukai melapor dan menentukan jumlah cukai yang kena dibayar pada setiap tahun. Untuk memastikan tiada ketirisan cukai dalam pelaksanaan sistem ini, pihak LHDNM telah dan akan terus menguatkuasakan sepenuhnya peruntukkan Akta Cukai Pendapatan 1967 melalui aktiviti audit dan siasatan yang dijalankan. Selanjutnya juga, tindakan penguatkuasaan yang berterusan terhadap kes-kes ketidakpatuhan bertujuan untuk berlaku adil kepada pembayar cukai yang sentiasa mematuhi undang-undang percukaian dengan membuat pelaporan dan bayaran cukai yang betul pada setiap tahun.
 
LHDNM sentiasa fokus dalam memberikan perkhidmatan kepada pembayar cukai dengan berpegang kepada prinsip memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pembayar cukai yang patuh dan mengambil tindakan terhadap pembayar cukai yang membuat perancangan atau pelaporan yang tidak mematuhi undang-undang percukaian negara. LHDNM komited dalam memastikan wujudnya keadilan dalam pelaksanaan perundangan percukaian negara dengan menangani isu ketidakpatuhan cukai secara berkesan dan sentiasa terbuka dalam menerima pandangan dan cadangan pembayar cukai ke arah memperbaiki tahap perkhidmatan percukaian. 

Sumber : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Dato’ Sri Sabin bin Samitah  
Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 
Tel : 03-8313 8888 samb. 21658 / 21674 
Faks : 03-8313 7873
Hasil Care Line : 1-800-88-5436 (LHDN)
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.