ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 17, 2024 -Rabu

 
  KEPUTUSAN CADANGAN TERHADAP TUJUH PUSAT TUISYEN DAN PUSAT PENJAGAAN HARIAN BAGI KEGIATAN PENETAPAN HARGA

Thursday 08/02/2018



KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (Suruhanjaya) telah mengeluarkan keputusan cadangan terhadap tujuh (7) pusat tuisyen dan pusat penjagaan harian kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (AP 2010) dengan secara kolektif bersetuju untuk menetapkan dan menyelaraskan yuran yang dikenakan untuk perkhidmatan tuisyen dan pusat penjagaan harian di kawasan SS19, Subang Jaya. Perjanjian untuk menetapkan yuran itu telah dimeterai pada bulan Mei 2017 dan sehubungan itu satu notis telah dikeluarkan oleh pihak tersebut. 

Selepas Suruhanjaya mengambil kira fakta dan perihal kes serta peruntukan yang berkaitan di dalam Akta dan Garis Panduan Suruhanjaya mengenai Penalti Kewangan, Suruhanjaya mencadangkan untuk mengenakan penalti kewangan terhadap tujuh pusat tuisyen dan pusat penjagaan harian ini yang berjumlah RM33,068.85 untuk tempoh pelanggaran tetapi tidak melebihi 10% daripada nilai perolehan mereka diseluruh dunia.

Keputusan sementara ini juga memerlukan pihak terbabit untuk segera "Berhenti dan Menghentikan" kegiatan penetapan harga dan menolak perjanjian penetapan harga dengan serta-merta serta dikehendaki untuk mendaftar dan melengkapkan kursus e-Pembelajaran mengenai Pematuhan Persaingan bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam tempoh satu (1) bulan dari keputusan cadangan dikeluarkan.

Suruhanjaya telah memberikan keputusan terperinci termasuk dengan sebab-sebabnya seperti yang dikehendaki oleh Seksyen 36 AP 2010 untuk membolehkan kesemua tujuh pusat tuisyen dan penjagaan harian diberi peluang untuk memberi maklum balas sewajarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya, Dato’ Abu Samah Shabudin berkata, penetapan harga adalah dianggap sebagai pelanggaran yang amat serius di bawah AP 2010, dan dengan itu Suruhanjaya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap semua perusahaan sama ada kecil atau besar yang didapati terlibat di dalam amalan antipersaingan berkenaan. Ini diharap akan memberi mesej yang jelas dan menghindar perusahaan-perusahaan lain daripada melakukan pelanggaran yang sama.

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (Suruhanjaya Persaingan) 

Ditubuhkan pada April 2011, Suruhanjaya Persaingan ialah satu badan bebas bertanggungjawab untuk menguatkuasakan Akta Persaingan 2010, yang dilaksanakan untuk menggalakkan persaingan sihat yang seterusnya akan merangsang produktiviti dan inovasi, lantas mewujudkan pilihan produk atau servis yang lebih banyak kepada pengguna dan kualiti yang lebih baik pada harga yang berpatutan.

Akta ini digunapakai kepada semua aktiviti komersil yang ditanggung didalam dan diluar Malaysia yang boleh menjejaskan persaingan di pasaran Malaysia. Ia memberikan satu rangka kerja kawal termasuk kuasa menyiasat, menghakimi dan mengenakan penalti-penalti kepada pesalah undang-undang persaingan.

Untuk maklumat lanjut tentang Akta dan Suruhanjaya Persaingan, sila rujuk laman web www.mycc.gov.my.

Nota Untuk Pengarang:

1. Butiran Seksyen 4(1),(2)(a) dan (3) Akta Persaingan 2010 adalah seperti berikut:

Perjanjian mendatar dan menegak yang dilarang:

4. (1) Suatu perjanjian mendatar atau menegak antara perusahaan dilarang setakat yang perjanjian itu mempunyai matlamat atau kesan menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan secara signifikan dalam apa-apa pasaran bagi barangan atau perkhidmatan.

(2) Tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), suatu perjanjian mendatar antara perusahaan yang mempunyai matlamat untuk—
(a) menetapkan, secara langsung atau tidak langsung, suatu harga belian atau jualan atau apa-apa syarat perdagangan yang lain; 

(3) Mana-mana perusahaan yang merupakan suatu pihak kepada suatu perjanjian yang dilarang di bawah seksyen ini adalah bertanggungan bagi pelanggaran larangan itu.​


2. Butiran Seksyen 36 Akta Persaingan 2010:

Cadangan keputusan oleh Suruhanjaya

36. (1) Jika, selepas selesai penyiasatan, Suruhanjaya bercadang untuk membuat suatu keputusan bahawa salah satu larangan di bawah Bahagian II telah atau sedang dilanggar, Suruhanjaya hendaklah memberikan notis bertulis mengenai keputusan yang dicadangkannya kepada setiap perusahaan yang mungkin tersentuh secara langsung oleh keputusan itu.

(2) Notis itu hendaklah—
(a) menyatakan sebab bagi keputusan yang dicadangkan oleh Suruhanjaya dengan perincian yang mencukupi bagi membolehkan perusahaan yang kepadanya notis itu diberikan mempunyai prospek yang benar dan mencukupi untuk membolehkannya membuat komen mengenai keputusan yang dicadangkan berdasarkan maklumat yang diketahui;


(b) menyatakan apa-apa penalti atau tindakan pembetulan yang dicadangkan untuk dipakai oleh Suruhanjaya; dan

(c) memberitahu setiap perusahaan yang kepadanya notis itu diberikan bahawa perusahaan itu boleh, dalam apa-apa tempoh yang munasabah sebagaimana yang dinyatakan dalam notis itu—

(i) mengemukakan representasi bertulis kepada Suruhanjaya; dan

(ii) menunjukkan sama ada perusahaan itu berhasrat untuk membuat representasi lisan di hadapan Suruhanjaya.


SUMBER :  Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama : Noorliza Abdul Latiff
Bahagian Hal Ehwal Korporat
Suruhanjaya Persaingan Malaysia
Tel : +603 2273 2277 (ext 111)
Emel : noorliza@mycc.gov.my

--BERNAMA 


 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.