|
|
|
|
|
|
NEXUS PRODUKTIVITI PERUNCITAN DAN MAKANAN & MINUMAN MELANCARKAN TIGA PROGRAM PERDANA YANG MENSASARKAN PERTUMBUHAN PRODUKTIVITI BURUH SEBANYAK 7.2% BAGI MENCAPAI SASARAN PRODUKTIVITI NEGARA IAITU RM92,300 PADA 2020
Friday 09/02/2018
KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Nexus Produktiviti ingin menjayakan inisiatif untuk meningkatkan produktiviti modal insan negara di mana inisiatif ini akan di dahului oleh Produktiviti Nexus Peruncitan dan Makanan & Minuman. Ia mensasarkan pertumbuhan produktiviti buruh sebanyak 7.2% bagi subsektor peruncitan dan makanan & minuman untuk mencapai sasaran produktiviti negara iaitu RM92,300 pada tahun 2020. Perkara ini diumumkan semasa majlis perasmian Program Perdana yang telah diadakan di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada 8 Feb 2018.
Menerusi program ini, platform yang dipacu oleh sektor swasta dan disokong oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mensasarkan untuk memperkasakan persatuan-persatuan industri menjadi ejen perubahan yang penting di dalam pembangunan ekonomi negara. Ini kerana, penyatuan persatuan-persatuan industri melalui platform nexus produktiviti akan memperkukuhkan jaringan hubungan industri bagi menghubungkan enterpris dengan pakar-pakar industri dalam bidang berkaitan. Majlis ini dirasmikan oleh YBhg Dato’ Dr Mohd Ghazali Bin Abas, Ketua Setiausha Kementerian Sumber Manusia mewakili Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri (Dr) Richard Riot Anak Jaem.
Pada masa ini, subsektor Peruncitan dan Makanan & Minuman menggaji tidak kurang dari 2.7 juta pekerja, mencatatkan nilai tambah sebanyak RM89 bilion. Ia juga merekodkan sumbangan sebanyak 8.3% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP). Walaubagaimanapun, produktiviti dalam subsektor ini masih di kalangan yang terendah. Kewujudan Nexus Produktiviti adalah sebagai platform yang menyediakan perkongsian amalan terbaik melalui kaedah perkongsian ekonomi dan dibantu oleh pakar-pakar industri. Sebanyak 80 hingga 100 buah syarikat terpilih dijadualkan terlibat dalam inisiatif ini.
Tidak dapat dinafikan pendigitalan merupakan halatuju pada masa hadapan. Menyedari faktor ini, Pengerusi Nexus Produktiviti Peruncitan dan Makanan & Minuman, Dato’ Bruce Lim berkata, ”Inisiatif-inisiatif produktiviti untuk Peruncitan dan Makanan & Minuman adalah bertujuan untuk menyokong pendigitalan operasi perniagaan dan meningkatkan kemampuan e-dagang di kalangan enterpris.”
”Dengan memperkasakan daya saing enterpris di subsektor Peruncitan dan Makanan & Minuman melalui pengukuhan kompetensi, menyediakan bantuan sepanjang transformasi ini, enterpris akan berpeluang untuk berkembang di peringkat global, berbekalkan kemahiran-kemahiran yang jitu” tambah beliau.
Program-program perdana tersebut dibahagikan kepada tiga iaitu Program Pendigitalan Peruncitan, Program Penerokaan Pertumbuhan O2O, dan Perubahan Ke Arah Kecemerlangan. Program pertama yang diterajui oleh Pengerusi E-Dagang Malaysia, Encik Ganesh Kumar Bangah menumpukan untuk membimbing dan melengkapkan para usahawan runcit terpilih supaya memahami, menyesuaikan dan menguasai revolusi di atas talian. Program ini mensasarkan untuk memperolehi pertumbuhan yang lestari dan juga meningkatkan jualan dengan membawa perniagaan mereka di atas talian.
Program Penerokaan Pertumbuhan O2O yang diterajui oleh Pengasas Fave, Encik Joel Neoh pula menekankan penerokaan saluran perniagaan di atas talian baru dan model perniagaan untuk meningkatkan jualan. Ia juga memberi pendidikan dalam peggunaan pekakasan digital baru dan maklumat pengguna. Manakala, program Perubahan Ke Arah Kecemerlangan direka khas untuk pengurusan atasan di subsektor Peruncitan dan Makanan & Minuman yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus para pekerja ke arah penghasilan output dan menghasilkan persekitaran kerja yang baik. Program ini diterajui oleh Ketua Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan PKT Logistic Group Sdn Bhd, Dato’ Michael Tio. Program ini telah bermula sejak Januari lalu sehingga Mac tahun ini.
YB Dato’ Sri (Dr) Richard Riot menegaskan, ”Masa telah tiba untuk produktiviti tenaga buruh kita ditingkatkan dengan penerimaan ekosistem ekonomi berasaskan digital. Program-program perdana ini merupakan agen perubahan bagi subsektor Peruncitan dan Makanan & Minuman serta rakyat Malaysia secara keseluruhan. Saya amat berbangga melihat negara kita mampu mencapai dan memanfaatkan peluang-peluang ekonomi yang ada pada masa hadapan.”
Pelaksanaan inisiatif Nexus Produktiviti Peruncitan dan Makanan & Minuman ini disokong oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Korperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Inisiatif ini juga dijadualkan untuk menerima sokongan dari tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).
Inisiatif yang dipacu oleh pihak swasta ini juga merupakan kerjasama dengan persatuan industri iaitu Organisasi Peruncit Bumiputera (BRO), Persatuan Francais Malaysia (MFA), Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) dan Persatuan Peruncit Malaysia (MRA).
Pihak K-Pintar telah dilantik sebagai Pengurus Projek dan ditugaskan untuk mengukur tahap produktiviti syarikat-syarikat yang terlibat di dalam program ini serta memantau pelaksanaan keseluruhan projek.
Mengenai Nexus Produktiviti Peruncitan dan Makanan & Minuman (F&B)
Nexus Produktiviti Peruncitan dan Makanan & Minuman ialah platform setempat yang menyediakan program peningkatan produktiviti kepada enterpris ke arah peningkatan inovasi dan memanfaatkan peluang pertumbuhan. Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan menekankan kepada pembangunan sistem secara holistik untuk meningkatkan penggunaan teknologi baru dan memperkasakan pemain industri yang utama.
Nexus Produktiviti diterajui oleh individu dari kalangan persatuan industry yang berkemahiran dan berkepakaran tinggi, komited untuk mentadbir dan melaksanakan usaha-usaha peningkatan produktiviti yang di bawah naungan Majlis Produktiviti Negara (NPC).
Nexus Produktiviti mensasarkan untuk mengukuhkan kerjasama antara persatuan-persatuan industri dan pakar-pakar industri bagi memperkasakan infrastruktur sokongan dan menyuburkan kerjasama antara industri melalui pelbagai inisiatif produktiviti.
SUMBER : Global Creative Media Agency (GCMA)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: Nama : Samentha James PR & Corporate Communications at Global Creative Media Agency (GCMA) Tel : 03 7733 4262 / 017 518 7186 Emel: samentha.james@gcma.tv
--BERNAMA |
|
|
|
|
|