PIPOC 2007  
       
  LANGKAWI INTERNATIONAL DIALOGUE  
       
  IKIM :THE ROLE OF ISLAMIC  
       
  KL OIC HEALTH  
       
  PERAK ROYAL EVENT  
       
  DEVELOPING 8 (D8) MINISTERS MEETING ON FOOD SECURITY  

 
 
 

November 14, 2018 -Rabu

 
  SURUHANJAYA PERSAINGAN MALAYSIA CADANG DAGANG NET DIDENDA RM 17.4 JUTA KERANA SALAHGUNA KUASA MONOPOLI

Thursday 12/07/2018



KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Pada 10 Julai 2018, Suruhanjaya Persaingan Malaysia ("Suruhanjaya") telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap Dagang Net Technologies Sdn Bhd ("Dagang Net"). Dagang Net didapati telah melanggar Seksyen 10(1) yang dibaca Seksyen 10(2)(c) Akta Persaingan 2010 dengan menyalahgunakan kedudukan dominannya dalam penyediaan kemudahan perkhidmatan perdagangan bagi “National Single Window”, dimana Dagang Net didapati enggan membekalkan peti mel elektronik kepada pengguna Sistem Maklumat Kastam dan juga mengenakan sekatan kemasukan ke tahap yang boleh memudaratkan persaingan.

Suruhanjaya memulakan penyiasatan ke atas Dagang Net berdasarkan aduan-aduan yang diterima oleh Suruhanjaya. Hasil penyiasatan mendapati bahawa Dagang Net telah menyalahgunakan kedudukan monopolinya dengan enggan untuk membekalkan peti mel elektronik baru dan/atau tambahan kepada pengguna Sistem Maklumat Kastam yang menggunakan perisian “front-end” dari pembekal-pembekal penyelesaian perisian yang didakwa bukan merupakan rakan perniagaan Dagang Net yang sah.

Dagang Net juga didapati telah mengenakan klausa eksklusif kepada rakan-rakan perniagaannya yang memberi kesan seperti mengganggu proses persaingan di dalam pasaran yang akan datang dengan mewujudkan sekatan kemasukan bagi pesaing Dagang Net di dalam pasaran dan akan menjadikan pesaing - pesaing yang lain kurang cekap apabila bersaing bersama Dagang Net.

Pemberian konsesi yang boleh mengakibatkan berlakunya monopoli secara langsung atau tidak langsung adalah dalam bidang kuasa dan budi bicara Kerajaan. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat situasi penyalahgunaan kedudukan monopoli, Suruhanjaya akan bertindak selaras dengan kuasa di bawah seksyen 10 Akta Persaingan 2010 untuk mengekang pelakuan anti-persaingan tersebut. Kes ini menunjukkan usaha dan komitmen Suruhanjaya dalam usaha untuk membendung isu penyalahgunaan kedudukan monopoli di Malaysia seterusnya menyokong usaha Kerajaan untuk memastikan pasaran terbuka yang bertunjangkan ketelusan, tadbir urus korporat yang baik dan perlakuan perniagaan yang beretika.

Rejim Persaingan yang utuh akan memberikan manfaat yang signifikan dan menyeluruh kepada pengguna dalam jangka masa yang panjang dan pendek seperti harga yang kompetitif, penambahbaikan kualiti produk dan perkhidmatan, galakan inovasi dan memastikan kepelbagaian pilihan untuk pengguna.

Dalam kes terhadap Dagang Net, Suruhanjaya mencadangkan untuk mengenakan penalti kewangan sebanyak RM17,397,695.30. Di samping itu, Suruhanjaya mencadangkan untuk mengenakan arahan kepada Dagang Net untuk berhenti dan menghentikan pelanggaran dan apa-apa tingkah laku yang boleh mengganggu proses persaingan di dalam pasaran masa kini dan masa hadapan. Suruhanjaya juga mencadangkan agar pengarah-pengarah dan pihak pengurusan kanan Dagang Net dan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Dagang Net menjalani program pematuhan undang-undang persaingan dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh Keputusan Cadangan.

Keputusan Cadangan tersebut adalah notis bertulis yang membentangkan fakta-fakta di mana Suruhanjaya telah membuat penilaian yang diperlukan di dalam mengeluarkan Keputusan Cadangan tersebut. Keputusan Cadangan tersebut dikeluarkan kepada perusahaan berkenaan untuk membantu mereka didalam membuat representasi dan memberikan maklumat lain bagi menyokong representasi mereka kepada Suruhanjaya.

Di dalam hal ini, syarikat berkenaan mempunyai tiga puluh hari (30) dari tarikh penerimaan Keputusan Cadangan tersebut dan membuat representasi mereka kepada Suruhanjaya. Suruhanjaya kemudiannya akan membuat keputusan muktamad setelah mempertimbangkan representasi tersebut serta semua maklumat dan bukti yang ada.

Akta Persaingan 2010 telah mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2012 dan dengan demikian, perusahaan sepatutnya mematuhi peruntukan yang termaktub didalam Akta tersebut.

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (Suruhanjaya)

Ditubuhkan pada April 2011, Suruhanjaya ialah satu badan bebas bertanggungjawab untuk menguatkuasakan Akta Persaingan 2010, yang dilaksanakan untuk menggalakkan persaingan sihat yang seterusnya akan merangsang produktiviti dan inovasi, lantas mewujudkan pilihan produk atau servis yang lebih banyak kepada pengguna dan kualiti yang lebih baik pada harga yang berpatutan.

Akta ini digunapakai kepada semua aktiviti komersil yang ditanggung didalam dan diluar Malaysia yang boleh menjejaskan persaingan di pasaran Malaysia. Ia memberikan satu rangka kerja kawal termasuk kuasa menyiasat, menghakimi dan mengenakan penalti-penalti kepada pesalah undang-undang persaingan.

Untuk maklumat lanjut tentang Akta dan Suruhanjaya, sila rujuk laman sesawang www.mycc.gov.my.

Sila klik di sini untuk Nota Untuk Pengarang

SUMBER :  Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 

Nama : Noorliza Abdul Latiff
Bahagian Hal Ehwal Korporat
Suruhanjaya Persaingan Malaysia
Tel +603 2273 2277 (ext 111)
Email: noorliza@mycc.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2018 MREM . All rights reserved.