ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 25, 2024 -Khamis

 
  PELANTIKAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF MYCC YANG BAHARU

Friday 19/10/2018


Iskandar Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC



KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Iskandar bin Ismail telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Yang Berhormat Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, berkuat kuasa pada 15 Oktober 2018. Iskandar sebelum ini memegang jawatan Pengarah Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan MyCC dari Februari 2013 dan memangku tugas Ketua Pegawai Eksekutif selama enam bulan sejak persaraan bekas KPE, YBhg. Dato’ Abu Samah Shabudin pada 16 April 2018.
 
Iskandar berkelulusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan juga memegang Sarjana dalam Undang-undang Perbandingan dan Antarabangsa dari George Washington University Law School, Washington DC. Beliau dipanggil sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya pada bulan Ogos 1998 dan kemudiannya berkhidmat di Bank Negara Malaysia sebagai Pegawai Pendakwa. Beliau adalah sebahagian daripada pasukan pendakwaan perintis di Jabatan Undang-undang Bank Negara Malaysia sehingga tahun 2005.
 
Sebelum menyertai Suruhanjaya sebagai Pengarah, beliau adalah salah seorang Pendakwaraya untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk Rwanda di Tanzania selama 8 tahun, mendakwa kes pembunuhan beramai-ramai dalam menghapuskan kaum dan pelanggaran undangundang hak asasi antarabangsa. Beliau kini disenaraikan dalam senarai pakar Justice Rapid Response yang menyediakan khidmat profesional kepada entiti dan mempunyai kuasa atau mandat untuk menyiasat, mencari fakta atau menjalankan pertanyaan di mana punca kekejaman massa berlaku.

Sebagai Pengarah Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan, Iskandar telah memimpin dan menyelia penyiasatan kes-kes utama MyCC seperti Malaysian Airline System Berhad dan AirAsia Berhad, Pengendali-pengendali Depoh Kontena di Pulau Pinang, MyEG Services Bhd, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan 22 ahlinya, Dagang Net Technologies Sdn Bhd dan beberapa perusahaan yang lain.
 
Beliau juga sering dijemput untuk menjadi penceramah atau pelatih di beberapa persidangan, forum dan seminar tempatan dan antarabangsa memandangkan pengalaman dan pengetahuan praktikal beliau dalam penyiasatan dan penguatkuasaan Undang-Undang Persaingan.
 
"Ia merupakan suatu penghormatan kerana diberi peluang untuk memimpin MyCC yang memainkan peranan penting di dalam memastikan budaya persaingan yang sihat dalam landskap perniagaan di Malaysia. Saya berharap untuk membawa MyCC ke tahap yang lebih tinggi dan menjadi salah satu daripada agensi kerajaan terkemuka di Malaysia dalam melindungi kepentingan perniagaan, pengguna dan ekonomi secara keseluruhan. Akhir sekali, sejajar dengan dasar-dasar kerajaan semasa, Suruhanjaya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap semua perusahaan sama ada kecil atau besar yang didapati terlibat di dalam amalan antipersaingan seperti kartel dan penyalahgunaan kuasa monopoli " kata Iskandar Ismail.
 
Untuk maklumat lanjut mengenai Akta Persaingan 2010 dan MyCC, sila log masuk www.mycc.gov.my.


Suruhanjaya Persaingan Malaysia (Suruhanjaya Persaingan)
 
Ditubuhkan pada April 2011, Suruhanjaya Persaingan ialah satu badan bebas bertanggungjawab untuk menguatkuasakan Akta Persaingan 2010, yang dilaksanakan untuk menggalakkan persaingan sihat yang seterusnya akan merangsang produktiviti dan inovasi, lantas mewujudkan pilihan produk atau servis yang lebih banyak kepada pengguna dan kualiti yang lebih baik pada harga yang berpatutan.
 
Akta ini digunapakai kepada semua aktiviti komersil yang ditanggung didalam dan diluar Malaysia yang boleh menjejaskan persaingan di pasaran Malaysia. Ia memberikan satu rangka kerja kawal termasuk kuasa menyiasat, menghakimi dan mengenakan penalti-penalti kepada pesalah undang-undang persaingan. Untuk maklumat lanjut tentang Akta dan Suruhanjaya Persaingan, sila rujuk laman web www.mycc.gov.my.

SUMBER : Suruhanjaya Persaingan Malaysia (Suruhanjaya Persaingan) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Bahagian Komunikasi Korporat 
Suruhanjaya Persaingan Malaysia
Nama : Noorliza Abdul Latiff
Tel : +603 2273 2277 (ext 111)
Emel : noorliza@mycc.gov.my
 
--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.