ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 25, 2024 -Khamis

 
  MENTERI INDUSTRI UTAMA YB TERESA KOK AKAN MENGETUAI MISI EKONOMI, PROMOSI DAN PELABURAN MINYAK SAWIT KE REPUBLIK CHINA DAN AMERIKA SYARIKAT MULAI 21 - 28 OKTOBER 2018

Saturday 20/10/2018



KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- YB Teresa Kok, Menteri Industri Utama, akan mengetuai satu Misi Ekonomi, Promosi dan Pelaburan Minyak Sawit ke Republik China dan Amerika Syarikat (AS) mulai 21 hingga 28 Oktober 2018.

Rombongannya terdiri daripada pegawai dari Kementerian Industri Utama, Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Majlis Minyak Sawit Malaysia.

Misi ini bertujuan meneroka peluang pasaran, pelaburan dan menjalinkan kerjasama industri antara Malaysia dengan kedua-dua negara ini, pada masa yang sama menyediakan platform bagi Malaysia untuk membincang dan menangani isu-isu yang berkaitan perdagangan dan akses pasaran dengan negara-negara ini.

Di Nanjing, China, YB Teresa Kok akan merasmikan Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-China (POTS) 2018. POTS China 2018, yang bertemakan "Pengembangan perdagangan dengan memaksimakan peluang menerusi Minyak Sawit Malaysia”, merupakan salah satu acara dinanti-nantikan memperlihatkan ramai antara pakar-pakar terkemuka dalam bidang minyak dan lemak berkumpul. Acara ini juga memberi gambaran mengenai peluang perdagangan dan pelaburan dalam sektor minyak sawit.

YB Menteri juga akan melawat Pusat Penyelidikan & Pembangunan Global Wilmar serta River & Ocean Cereals and Oils Group Co. Ltd untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai operasi minyak dan lemak syarikat-syarikat ini di negara China.

Di San Francisco, Amerika Syarikat, beliau akan menjadi tetamu khas dalam acara "An Enchanted Evening with Martin Yan", iaitu majlis pelancaran siri televisyen baru Chef terkemuka Martin Yan bertajuk "Taste of Malaysia with Martin Yan" yang akan disiarkan dalam saluran KQED 9 di Amerika Syarikat.

Majlis pelancaran ini akan menampilkan jamuan lapan hidangan masakan klasik Malaysia di Restoran H.L. Peninsula di San Francisco Selatan. YB Teresa juga dijangka berinteraksi dengan penulis makanan untuk mempromosikan minyak sawit sebagai minyak masak semasa lawatan beliau di Amerika Syarikat.

Ketika beliau berada di sana, YB Menteri juga akan melawat Kilang Minyak dan Lemak Wilmar di Stockton, California, di samping bertemu dengan wakil-wakil Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Untuk mengakhiri misinya, YB Teresa Kok akan bertemu dengan Diaspora Malaysia di San Francisco.

Hubungan perdagangan antara Malaysia dengan Republik China adalah kukuh, terutamanya dalam minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit yang mencatat RM9.88 bilion bagi tahun 2017. Pada tahun tersebut, jumlah nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit Malaysia kepada Republik China adalah RM9.42 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 6.4% berbanding RM8.85 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Nilai perdagangan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat dicatatkan pada RM4.87 bilion pada tahun 2017. Jumlah nilai eksport produk berasaskan minyak sawit Malaysia ke Amerika Syarikat pada tahun 2017 adalah RM4.58 bilion, peningkatan sebanyak 16.2% berbanding RM3.94 bilion yang dicatatkan pada tahun 2016.

Kementerian Industri Utama
Malaysia
20 Oktober 2018

SUMBER : Kementerian Industri Utama

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Kementerian Industri Utama
Tel : 03-8880 3322
Faks : 03-8887 8205
Emel : pro@mpic.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.