PIPOC 2007  
       
  LANGKAWI INTERNATIONAL DIALOGUE  
       
  IKIM :THE ROLE OF ISLAMIC  
       
  KL OIC HEALTH  
       
  PERAK ROYAL EVENT  
       
  DEVELOPING 8 (D8) MINISTERS MEETING ON FOOD SECURITY  

 
 
 

Disember 17, 2018 -Isnin

 
  KAWALAN DAN TINDAKAN OLEH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA KE ATAS PRODUK KOSMETIK DI PASARAN

Friday 07/12/2018



KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum terhadap artikel bertajuk “Kosmetik Beracun Terus Berleluasa di Pasaran” yang disiarkan oleh Berita Harian bertarikh 4 Disember 2018.

Semua produk kosmetik perlu dinotifikasi kepada KKM sebelum produk tersebut boleh dikilang, diimport, dibekal atau dijual di pasaran Malaysia. Produk kosmetik yang dikesan mengandungi bahan terlarang akan dibatal status notifikasi dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia. Senarai produk terlibat akan dipaparkan pada laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my. Produk kosmetik yang telah dibatalkan notifikasi kerana dikesan mengandungi bahan terlarang tidak lagi dibenarkan untuk dijual dengan menggunakan nama, label, atau bentuk/warna/saiz bekas yang sama atau menyerupai dengan produk kosmetik yang telah dibatalkan.

KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) telah menjalankan beberapa siri tindakan penguatkuasaan ke atas premis yang disyaki telah melanggar undang-undang di seluruh negara. Daripada Januari hingga November 2018, sebanyak 142,777 item produk kosmetik tidak bernotifikasi termasuk kosmetik yang mengandungi racun telah dirampas. Nilai rampasan adalah sebanyak RM 3.4 juta. Senarai produk-produk kosmetik yang mengandungi racun yang telah dirampas di pasaran adalah seperti di Lampiran A.

Kesemua premis yang didapati terlibat menjual produk kosmetik berkenaan akan disiasat di bawah Peraturan – peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3
tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. Sehingga Oktober 2018, sebanyak 280 kes telah didakwa di mahkamah dengan jumlah denda sebanyak RM 790,000.

KKM juga sentiasa menjalankan pemantauan berterusan ke atas produk-produk kosmetik yang telah dibatalkan notifikasi di pasaran termasuk secara dalam talian. Sehingga Oktober 2018, lebih 10,000 alamat laman sesawang, blog, akaun media sosial dan platform e-dagang telah disaring. Sebanyak 1,109 sekatan akses terhadap laman sesawang dan akaun media sosial telah dikemukakan kepada pihak berkaitan serta 3,684 notifikasi yang telah dikemukakan kepada syarikat platform e-dagang telah diambil tindakan.

Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati semasa membeli sesuatu produk kosmetik di pasaran dan tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan produk kosmetik serta testimonial yang disiarkan di media cetak dan media elektronik yang membuat tuntutan yang tidak munasabah. Orang ramai termasuk pihak media digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk kosmetik yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kosmetik yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam.

Aduan dan maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, KKM melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my. ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk kosmetik ini di pasaran.

Sila klik di sini untuk SENARAI PRODUK-PRODUK KOSMETIK YANG MENGANDUNGI RACUN YANG TELAH DIRAMPAS DI PASARAN

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA


SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : BAHARUDIN BIN MOHAMAD
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88834536 dan 017-2635008
Faks : 03-88886187

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2018 MREM . All rights reserved.