ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  SITUASI SEMASA CHIKUNGUNYA DI MALAYSIA

Wednesday 16/01/2019



KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum situasi Chikungunya yang sedang melanda di negara Thailand. KKM telah pun memantau kes Chikungunya yang dilaporkan di seluruh negara sejak tahun 2008 melalui bilik Gerakan Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) Kebangsaan, KKM. 
 
Malaysia pernah mengalami Wabak Chikungunya pada tahun 2008 dan 2009 di mana kes dilaporkan yang tertinggi adalah sebanyak  5,430 kes pada tahun 2009. Selepas itu, kes yang dilaporkan menurun dengan ketara setiap tahun dan pada tahun 2018, hanya 87 kes yang dilaporkan (Rujuk Lampiran 1). Selain itu, tiada kes kematian yang disebabkan jangkitan Chikungunya dilaporkan sejak tahun 2008 hingga 2018. 
 
Bagi tahun 2018, enam (6) negeri telah melaporkan kes iaitu 77 kes di negeri Kelantan, lima (5) kes di Kedah, dua (2) kes di Selangor dan masing-masing satu (1) kes di negeri Perlis, Sarawak dan Sabah. Bagi tahun 2019 sehingga 14 Januari, sebanyak dua (2) kes Chikungunya telah dilaporkan di negeri Kelantan. 

Pemantauan di pintu masuk antarabangsa di antara Malaysia Thailand, Singapura dan Indonesia diperkukuhkan dengan kaedah saringan suhu badan untuk mengesan kes disyaki Chikungunya daripada pelawat yang memasuki Malaysia. Di samping itu, aktiviti pencegahan dan kawalan vektor seperti pemantauan kadar pembiakan nyamuk Aedes di Pintu Masuk, pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes, larviciding dan semburan ruang diteruskan. Pendidikan kesihatan kepada pelawat dipertingkatkan khususnya mengenai penyakit Chikungunya.  
 
KKM sentiasa berkongsi maklumat mengenai situasi semasa penyakit Chikungunya melalui platfom International Health Regulations (IHR) bersama negara jiran seperti negara Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia.  
 
Penyakit Chikungunya adalah disebabkan oleh virus Chikungunya yang disebarkan oleh nyamuk Aedes, iaitu nyamuk yang sama menyebarkan penyakit Denggi. Pesakit yang dijangkiti Chikungunya akan mengalami demam, ruam, sakit badan dan sakit sendi yang teruk sehingga boleh menggangu pergerakan pesakit. Pesakit yang mempunyai gejala-gejala ini, diminta mendapatkan ujian dan rawatan lanjut dengan segera di fasiliti kesihatan berhampiran.   
 
Bagi mencegah wabak Chikungunya berlaku, masyarakat diminta melaksanakan aktiviti pencegahan seperti berikut:
 
1. Membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat  pembiakan aedes di kediaman dan premis masing-masing setiap minggu;
2. Menggunakan semburan  aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah;
3. Elakkan gigitan nyamuk dengan menggunakan repelan dan memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang terutama apabila berada di luar rumah;
4. Menggunakan bahan pembunuh jentik-jentik di dalam bekas takungan air kekal atau sukar dibersihkan;
5. Memasang jaring nyamuk (mosquito mesh) di tingkap dan pintu rumah bagi menghalang nyamuk memasuki kediaman; dan
6. Elakkan dari melawat kawasan wabak Chikungunya. 
 
KKM menyeru kerjasama semua pihak terutama masyarakat setempat dalam tindakan pencegahan untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes demi mencegah jangkitan Chikungunya, Denggi dan Zika. 
 
“Tiada Aedes, Tiada Chikungunya, Denggi dan Zika”
 
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
15 Januari 2019


SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : BAHARUDIN BIN MOHAMAD
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88834536 / 017-2635008
Faks : 03-88886187

--BERNAMA



 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.