ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  KENYATAAN AKHBAR YB DATUK SERI DR. DZULKEFLY AHMAD MENTERI KESIHATAN MALAYSIA SEMPENA HARI KANSER SEDUNIA 2019

Monday 04/02/2019



KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Hari Kanser Sedunia adalah sebuah inisiatif peringkat global bertujuan untuk menyatukan komuniti dunia untuk memerangi wabak kanser. Disambut pada 4 Februari setiap tahun, Hari Kanser Sedunia bertujuan untuk mencegah berjuta-juta kematian akibat kanser yang boleh dielakkan dengan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan individu, keluarga dan komuniti.

Pada tahun ini, the Union for International Cancer Control (UICC) telah memperkenalkan satu tema baru yang bakal digunakan untuk tempoh tiga tahun (2019 hingga 2021) iaitu:
“I Am and I Will”
“Saya Akan dan Saya Boleh”
 
Tema ini menyaran dan memperkasakan semua individu untuk menyuarakan komitmen masing-masing dalam mengambil tindakan untuk memerangi wabak kanser. Semua rakyat Malaysia mempunyai kekuatan untuk mengurangkan kesan kanser untuk diri sendiri, ahli keluarga yang disayangi dan komuniti.

Kanser kini merupakan penyebab kedua tertinggi kematian dalam kalangan rakyat Malaysia. Tiga jenis kanser yang tertinggi di kalangan lelaki di Malaysia adalah kolorektal (16.4%), paru-paru (15.8%) dan nasopharynx (8.1%); manakala di kalangan wanita adalah payudara (32.1%), kolorektal (10.7%) dan serviks (7.7%). Beban penyakit kanser dijangka akan meningkat disebabkan oleh prevalen faktor-faktor risiko penyakit tidak berjangkit (Non-Communicable Diseases atau NCD) yang tinggi dan populasi menua (aging population) di Malaysia.

Satu aspek penting yang perlu ditekankan adalah kepentingan pengesanan kanser pada peringkat awal. Dianggarkan 60% kanser di Malaysia dikesan pada tahap yang lewat (Tahap III dan IV). Di antara faktor yang menyumbang kepada perkara ini ialah kurangnya kesedaran mengenai kepentingan menjalankan ujian saringan dan pengesanan awal.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan perkhidmatan saringan untuk empat jenis kanser iaitu payudara, serviks, kolorektal dan oral di klinik kesihatan KKM di seluruh negara. Manakala saringan bagi individu berisiko tinggi untuk kanser tertentu seperti hati, prostat dan nasopharynx boleh didapati di hospital KKM.

Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang akan mula dilaksanakan pada Mac 2019 menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan, bantuan perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan. Manakala Skim Perlindungan Nasional B40 mySalam telah diperkenalkan untuk membantu Kumpulan B40 dengan memberi perlindungan perubatan dalam bentuk bantuan kewangan apabila berlaku kecemasan atau masalah kesihatan untuk 36 jenis penyakit kritikal, yang turut merangkumi kanser. Kerajaan telah memperkenalkan kedua-dua skim ini untuk memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, mengurangkan bebanan kos rawatan dan meningkatkan kualiti hidup Kumpulan B40.

Marilah kita bersama-sama mengambil tindakan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkaitan kepentingan menjalani ujian saringan, dan mengenali tanda-tanda dan gejala-gejala awal kanser. Kita juga perlu bersama-sama memerangi mitos, informasi yang tidak benar dan salah faham yang menyebabkan rakyat Malaysia enggan menjalani saringan, enggan atau melambat-lambatkan rawatan awal, dan percaya kepada terapi atau rawatan yang tiada bukti keberkesanan.

Sempena Hari Kanser Sedunia 2019, pelbagai aktiviti telah dirancang oleh KKM dan organisasi-organisasi bukan kerajaan, persatuan-persatuan dan kumpulan sokongan pesakit kanser di seluruh negara dan di pelbagai peringkat. Setiap rakyat Malaysia perlu memainkan peranan masing-masing demi mengurangkan beban kanser yang saban tahun semakin meningkat.
 
#IamAndIWill
#SayaAkanDanSayaBoleh
 
YB DATUK SERI DR DZULKEFLY AHMAD
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
4 FEBRUARI 2019

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Khairul Nizawati binti Amat Mustajab
Penolong Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel: : 03-8883 3675/019-3265122

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.