PIPOC 2007  
       
  LANGKAWI INTERNATIONAL DIALOGUE  
       
  IKIM :THE ROLE OF ISLAMIC  
       
  KL OIC HEALTH  
       
  PERAK ROYAL EVENT  
       
  DEVELOPING 8 (D8) MINISTERS MEETING ON FOOD SECURITY  

 
 
 

April 20, 2019 -Sabtu

 
  SITUASI SEMASA CHIKUNGUNYA DI MALAYSIA

Saturday 09/02/2019



KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Pada 29 Januari 2019, Kementerian Kesihatan telah menerima makluman berkenaan kejadian Chikungunya di kalangan penduduk di Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor. Tindakan pencegahan dan kawalan telah dilaksanakan dengan segera oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor. Bagi tempoh 29 Januari hingga 7 Februari 2019, sebanyak 23 kes telah disahkan dijangkiti penyakit Chikungunya. Gejala yang dialami adalah demam, sakit sendi dan ruam. Kesemua kes dirawat sebagai pesakit luar dan tiada kematian yang dilaporkan. 
 
Kementerian Kesihatan telah menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan di mana sehingga 7 Februari 2019, sebanyak 1740 rumah telah dibuat semburan kabus (fogging) terutamanya di kawasan kejadian kes. Kawasan ini mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi iaitu 3.8%, oleh itu gotong-royong bersepadu telah dilaksanakan pada 7 Februari 2019. Aktiviti promosi kesihatan mengenai Chikungunya juga telah dilaksanakan dengan mengedarkan 939 risalah kepada penduduk setempat.  
 
Pada keseluruhannya, daripada Januari hingga 7 Februari 2019 sebanyak 39 kes Chikungunya telah dilaporkan di seluruh negara. Negeri yang melaporkan kes adalah Selangor iaitu sebanyak 23 kes, Melaka sembilan (9) kes, Kelantan enam (6) kes dan satu (1) kes dari Perlis. 

Gejala-gejala penyakit Chikungunya adalah demam, ruam, sakit badan dan sakit sendi yang teruk. Bagi individu yang mempunyai gejalagejala ini, diminta mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berhampiran.   
 
Kementerian Kesihatan menyeru semua masyarakat dan jawatankuasa penduduk untuk meningkatkan aktiviti pembersihan persekitaran bagi memusnahkan tempat pembiakan Aedes di tempat masing-masing. Masyarakat juga diminta sentiasa melindungi diri daripada gigitan nyamuk dengan memakai pakaian berlengan panjang dan berseluar panjang serta menggunakan repelen.  Di samping itu, masyarakat juga disarankan menggunakan semburan Aerosol pembunuh nyamuk dewasa atau bahan pembunuh nyamuk yang lain seperti lingkaran nyamuk untuk membunuh nyamuk dewasa.     
 
Penglibatan masyarakat dalam memastikan persekitaran bersih dan bebas dari pembiakan Aedes akan dapat mencegah penularan penyakit Chikungunya, Denggi dan Zika.  

Tiada Aedes, Tiada Chikungunya, Denggi dan Zika
 
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Sila klik disini untuk Lampiran

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: BAHARUDIN BIN MOHAMAD
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Tel: 03-88834536 / 017-2635008

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2019 MREM . All rights reserved.