ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 18, 2024 -Khamis

 
  PELAKSANAAN DASAR BAHARU LESEN IMPORT (AP) TERBUKA

Thursday 14/03/2019



KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah melaksanakan Dasar Baharu Lesen Import (AP) Terbuka bermula pada 1 Januari 2019. Pelaksanaan ini adalah selaras dengan keputusan Kerajaan pada 23 Disember 2015 untuk meneruskan dasar ini dengan beberapa penambahbaikan termasuk memberi peluang kepada usahawan Bumiputera baharu menceburkan diri dalam industri ini. Dasar baharu ini yang sepatutnya bermula pada 1 Januari 2017 telah ditangguhkan selama hampir 2 tahun berikutan keadaan pasaran domestik automotif yang tidak menentu.
 
AP Terbuka adalah kemudahan import permit yang diberikan oleh MITI khusus untuk syarikat-syarikat Bumiputera yang layak untuk mengimport kenderaan terpakai untuk dijual di pasaran domestik. Syarikat-syarikat ini tertakluk kepada syarat-syarat pematuhan dan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh MITI.
 
Objektif dasar baharu ini adalah bertujuan:
i) menggalakkan pembangunan usahawan Bumiputera baharu di dalam industri automotif;
ii) memastikan dasar ini terus menyumbang kepada matlamat sosioekonomi negara; dan
iii) menyuntik persaingan di dalam pasaran yang akan memberi manfaat kepada pembeli terutamanya dari segi harga kenderaan dan perkhidmatan.
 
Ketika tawaran permohonan dibuka pada 23 Mei 2016 hingga 21 Jun 2016, MITI telah menerima hampir 300 permohonan untuk menjadi syarikat AP Terbuka. Tawaran ini telah dibuat melalui kenyataan media bertarikh 13 Mei 2016 di portal MITI dan media massa.
 
Setelah penilaian dibuat, yang turut melibatkan kerja-kerja pengauditan oleh sebuah syarikat juruaudit bebas bertauliah, bilangan syarikat yang layak adalah sebanyak 164 syarikat, iaitu 128 syarikat sedia ada dan 36 syarikat baharu. Di antara syarat-syarat yang perlu dipenuhi ialah syarikat mesti dimiliki 100 peratus oleh Bumiputera, termasuk jawatan-jawatan penting di peringkat pengurusan, mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 2 tahun dalam bidang penjualan dan pengedaran kenderaan serta mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.
  
Di bawah dasar baharu ini, tiada had untuk keseluruhan AP yang akan diluluskan sepanjang tahun. Semua syarikat sama ada sedia ada atau baharu, boleh memohon tambahan AP berdasarkan prestasi jualan. Pada masa ini, kebanyakan syarikat baharu masih belum beroperasi sepenuhnya kerana perlu memenuhi beberapa keperluan teknikal dan sedang membuat persiapan pengendalian operasi.
 
Proses pemantauan dan pengauditan ke atas syarikat-syarikat AP Terbuka ini akan dilakukan berterusan oleh pihak MITI. Di bawah dasar baharu ini, sekiranya pihak MITI mendapati terdapat pelanggaran terhadap mana-mana syarat AP Terbuka yang ditetapkan, tindakan tegas akan diambil termasuk:
i) menarik balik atau membekukan AP yang telah diperuntukkan dan diluluskan;
ii) menyenarai hitam syarikat termasuk setiap pemegang saham dan ahli lembaga Pengarah syarikat daripada mengemukakan apa-apa permohonan memperolehi AP Terbuka pada masa hadapan; dan
iii) mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat.
 
Pada 2018, MITI telah menyenarai hitam 9 syarikat sedia ada kerana tidak mematuhi syarat-syarat AP Terbuka yang ditetapkan oleh Kementerian pada masa ini.
 
Syarat-syarat semasa mengenai kelayakan sebagai syarikat AP Terbuka dan senarai terkini syarikat yang telah dilantik sebagai syarikat AP Terbuka di bawah Dasar Baharu AP Terbuka boleh dirujuk di portal MITI www.miti.gov.my. MITI mengalu-alukan sebarang aduan atau maklum balas mengenai isu berkaitan penjualan AP Terbuka kereta atau motosikal. Aduan boleh diemelkan kepada ap@miti.gov.my dan identiti pengadu akan dirahsiakan.
 
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
 
Pengarah
Seksyen Kawalan Eksport dan Import
Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri
Tingkat 7, Menara MITI
No. 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah
50480 Kuala Lumpur
MALAYSIA
 
Telefon : (603) 6208 4970
Faks : (603) 6206 2823
Emel : ap@miti.gov.my
 
Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri
13 Mac 2019
 
Tentang MITI:
MITI adalah pemacu utama dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan berkualiti dan meningkatkan status negara ini sebagai sebuah negara perdagangan yang kompetitif di peringkat global. Objektif dan peranannya adalah berorientasikan ke arah memastikan pembangunan ekonomi yang pesat di Malaysia dan membantu mencapai matlamat yang dinyatakan di negara ini untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.
 
Sumber: Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 

Unit Komunikasi Strategik
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Tel: +603 6200 0083
Faks: +603 6206 4293
Emel: allpegkomunikasikorporat@miti.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.