ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 19, 2024 -Jumaat

 
  PELABURAN YANG DILULUSKAN DALAM SEKTOR PERKILANGAN, PERKHIDMATAN DAN SEKTOR UTAMA BERNILAI RM201.7 BILION PADA 2018

Thursday 14/03/2019



Prestasi Sektor Perkilangan meningkat sebanyak 37.2%
 
KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- “Malaysia dijangka memanfaatkan trend peningkatan pelaburan swasta yang disokong oleh sentimen positif susulan daripada dasar sokongan dan arah ekonomi yang jelas oleh Kerajaan baru. Ini dibuktikan dalam jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, yang telah meningkat dari RM200.6 bilion pada 2017 kepada RM201.7 bilion pada 2018. Dari segi pecahan, pelaburan yang diluluskan untuk tempoh Januari hingga Jun 2018 bernilai RM86.1 bilion, sementara sejumlah RM115.6 bilion pelaburan diluluskan untuk tempoh Julai hingga Disember 2018,” kata YB Datuk Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
 
Nisbah pelaburan asing dan domestik adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan agar pelaburan domestik memainkan peranan yang penting dalam memacu agenda pelaburan Malaysia. Pelaburan langsung domestik (DDI) mencatat sebanyak 60.1% daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan iaitu dengan jumlah RM121.2 bilion, sementara pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak 39.9% atau RM80.5 bilion. Pelabur asing terus memanfaatkan ekosistem Malaysia yang unik dan sinergi serantaunya yang membawa kepada peningkatan FDI sebanyak 48% daripada RM54.4 bilion pada tahun 2017.
 
Sektor perkilangan muncul sebagai juara, mencatatkan margin yang besar dengan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM87.4 bilion pada 2018, peningkatan yang ketara iaitu 37.2% lebih tinggi, berbanding RM63.7 bilion pada tahun 2017. Sektor perkhidmatan dan utama mencatatkan pelaburan masing-masing sebanyak RM103.4 bilion dan RM10.9 bilion pada 2018.
 
Sektor Perkilangan
Malaysia terus menarik pelaburan asing yang tinggi dalam sektor perkilangan meskipun dalam kelembapan ekonomi global. Pelaburan asing dalam projek perkilangan yang diluluskan meningkat lebih daripada dua kali ganda kepada RM58.0 bilion pada 2018 berbanding RM21.6 bilion pada tahun 2017, yang membentuk 66.4% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan. Ini mencerminkan kejayaan negara dalam pendekatan sasarnya untuk menarik pelaburan dalam industri bernilai ditambah tinggi dan berintensifkan pengetahuan.
 
Majoriti FDI merupakan projek baru berjumlah RM40.3 bilion (69.5%), dengan baki sebanyak RM17.7 bilion (30.5%) dalam projek pembesaran dan pelbagaian. Ini menunjukkan bahawa di samping projek pembesaran atau kepelbagaian oleh syarikat asing sedia ada di negara ini, semakin ramai pelabur antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan mereka.
 
China, Indonesia, Belanda, Jepun dan Amerika Syarikat merupakan penyumbang terbesar kepada sektor perkilangan di Malaysia untuk tahun 2018. Lima negara ini menyumbang sebanyak RM44.3 bilion atau 76.4% daripada jumlah pelaburan asing yang diluluskan pada tempoh tersebut.
 
Pentax Medical dari Jepun adalah antara projek asing yang diluluskan dalam sektor perkilangan. Syarikat ini merupakan salah satu daripada tiga pengeluar sistem endoskopi dan pembedahan utama di dunia, dan akan menubuhkan kemudahan perkilangan barunya di Pulau Pinang. Projek ini dijangka mewujudkan 193 peluang pekerjaan, di mana 77% merupakan rakyat Malaysia terutamanya dalam kategori pengurusan, penyeliaan dan teknikal.
 
Antara projek lain yang diluluskan ialah Jinjing Technology dari China yang akan dilaksanakan di Taman Teknologi Tinggi Kulim. Syarikat ini akan menyumbang kepada pembangunan ekosistem solar dan kaca di Malaysia. Projek ini akan menyediakan 855 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, dengan gaji antara RM3,000 hingga RM10,000 sebulan.
 
Testhub adalah syarikat Malaysia yang menjadi contoh dalam industri E&E. Ia merupakan satu-satunya entiti Malaysia yang mempunyai keupayaan untuk merekabentuk dan mengeluarkan papan ujian dan program ujian, serta menyediakan satu pusat sehenti penyelesaian ujian  kepada MNC global. Syarikat berasaskan pengetahuan ini, yang terletak di Melaka, menggunakan tenaga kerja tempatan yang mahir dalam bidang kejuruteraan E&E serta fizik.
 
“Projek-projek berintensifkan modal, yang melibatkan teknologi canggih dan tenaga kerja mahir, menguasai landskap sektor perkilangan, merangkumi 81 projek yang diluluskan dengan pelaburan sebanyak RM100 juta atau lebih, iaitu 43.2% lebih tinggi berbanding tahun 2017. Pelaburan dalam projek-projek ini mencecah RM75 bilion atau menyumbang 85.9% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan. Ini adalah selaras dengan penekanan negara ke arah pelaburan yang lebih strategik dan berkualiti tinggi,” kata YB Menteri MITI.
 
“Sektor perkilangan tetap menjadi penyumbang utama kepada eksport negara. Daripada 721 projek perkilangan yang diluluskan, 30.7% atau 221 projek akan menjadikan Malaysia sebagai hab mereka untuk pasaran antarabangsa, di mana sekurang-kurangnya 80% produk mereka akan dieksport," tambah YB Menteri.
 
Produk petroleum termasuk industri petrokimia dengan pelaburan sebanyak RM32.9 bilion telah menyumbang sebahagian besar kepada keseluruhan prestasi perkilangan pada tahun 2018. Projek yang ketara dalam industri ini ialah Sarawak  Petchem yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak untuk membangunkan Bintulu sebagai hab petrokimia. Ini adalah tambahan kepada pelaburan oleh syarikat Pengerang Energy Complex dan Petronas Chemicals Isononanol yang akan ditempatkan di Johor.

Industri lain yang mempunyai pelaburan tinggi yang diluluskan termasuk produk logam asas, produk E&E, kertas, percetakan dan penerbitan, bahan kimia dan produk kimia, produk getah, produk mineral bukan logam and jentera dan peralatan.
 
Projek-projek perkilangan yang diluluskan pada 2018 dijangka mewujudkan peluang pekerjaan untuk 59,294 orang. Daripada jumlah ini, 22,449 orang adalah dalam kategori pekerja pengurusan, teknikal, penyeliaan dan pekerja mahir.
 
Sektor Perkhidmatan
Sektor perkhidmatan terus menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2018. Sektor ini merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu sebanyak RM103.4 bilion daripada 4,103 projek. Pelaburan domestik menyumbangkan 84.1% atau RM86.9 bilion manakala pelaburan asing merangkumi selebihnya atau RM16.5 bilion.
 
Pelabur asing lebih kukuh dalam subsektor perdagangan pengedaran, dan subsektor penubuhan global yang mewakili RM4.8 bilion dan RM4.4 bilion masing-masing. Kedua-dua subsektor ini menyumbang 55.8% kepada jumlah pelaburan asing dalam sektor perkhidmatan.
 
Malaysia mempunyai kedudukan yang baik untuk menarik MNC untuk menubuhkan pangkalan global dan serantau mereka di negara ini. Setakat ini, MIDA secara kumulatif telah meluluskan sejumlah 35 projek Hab Prinsipal (PH), dengan jumlah perbelanjaan perniagaan komited sebanyak RM35.1 bilion, yang juga melibatkan penggunaan perkhidmatan sampingan tempatan bernilai RM5.5 bilion dan mewujudkan 2,686 pekerjaan bernilai tinggi. Bagi tahun 2018 sahaja, sebanyak lapan projek Hab Prinsipal baru diluluskan, dengan perbelanjaan perniagaan sebanyak RM7.1 bilion. Antara projek PH yang diluluskan adalah Smart Modular Technologies, Frencken Group, Onwards Media Group (OMG) dan Jobstreet.
 
Smart Modular Technologies yang berpusat di AS telah menjadikan Malaysia sebagai pangkalannya untuk menjalankan pengurusan rantaian bekalan daripada pembekal pihak ke-3 kepada pelanggan pihak ke-3. Projek ini mewujudkan peluang pekerjaan untuk 90 rakyat Malaysia. Syarikat ini akan memanfaatkan data besar, pengkomputeran awan dan teknologi analitik masa nyata untuk menguruskan rantaian bekalan global dengan cekap, yang melibatkan lebih daripada satu juta komponen, 220 pembekal dan syarikat rangkaian di 1,000 lokasi.
 
Satu lagi projek adalah dari Frencken Group, pembekal perkhidmatan untuk ‘capital equipment’ berteknologi tinggi dan ‘consumer equipment’. Melalui Hab Prinsipal yang baru ditubuhkan, Frencken Group telah memindahkan pengurusan rantaian bekalan global bagi Bahagian Perkhidmatan Perkilangan Bersepadunya dari Singapura ke Malaysia. Syarikat ini akan membelanjakan sebanyak RM89.9 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang dan bakal melatih 30 pekerja dalam bidang seperti pengurusan rantaian bekalan strategik dan perancangan kewangan.
 
“Penubuhan global dan perkhidmatan pengurusan rantaian bekalan ‘end-to-end’ adalah komponen utama kepada ekonomi negara. Perkhidmatan ini mewujudkan kecekapan perdagangan dan kelebihan daya saing untuk industri-industri Malaysia yang lain. Memandangkan sektor perkhidmatan didominasi oleh pemain industri domestik, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menyediakan lebih banyak peluang perniagaan untuk penyedia perkhidmatan rakyat Malaysia. Antara inisiatif termasuk pengenalan mekanisma bagi menggalakkan hubungan yang lebih baik dengan penyedia perkhidmatan tempatan di dalam bidang seni bina, kejuruteraan profesional, pengangkutan, perbankan, insurans, undang-undang dan ICT,” kata YB Datuk Darell Leiking.
 
Sektor Utama
Pelaburan dalam sektor utama mencatatkan penurunan 12.2% daripada RM12.4 bilion pada 2017 kepada RM10.9 bilion pada 2018. Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pelaburan yang lebih rendah dalam aktiviti penerokaan minyak dan gas, di bawah subsektor perlombongan. Pelaburan selebihnya dalam sektor utama terdiri daripada subsektor perladangan dan komoditi, dan subsektor pertanian, masing-masing mencatatkan pelaburan berjumlah RM601.8 juta dan RM68.8 juta.
 
Menuju Kehadapan
Ekonomi Malaysia dijangka kekal positif pada tahun 2019 memandangkan asas-asas makroekonomi negara masih kukuh meskipun terdapat cabaran domestik dan luaran. Keyakinan ini telah dikongsi oleh Bloomberg dalam analisa baru-baru ini mengenai pasaran baru muncul, di mana Malaysia menduduki tempat pertama disebabkan oleh prospek pertumbuhannya, keadaan akaun semasa, ‘sovereign credit ratings’ dan penilaian saham dan bon.
 
“Kerajaan telah membentangkan Belanjawan Negara 2019 untuk merancang hala tuju Malaysia. Ia merangkumi campuran rangsangan, insentif, dan perlindungan untuk memudahkan perniagaan dan meningkatkan daya saing negara. Di samping itu, tahun 2018 menandakan peringkat penting dalam perjalanan automasi negara dengan pelancaran Industry4WRD, dasar kebangsaan mengenai Industri 4.0. Strategi dan pelan tindakan yang luas di bawah rangka kerja ini akan menyumbang kepada transformasi industri yang progresif, melonjakkan nama Malaysia sebagai pemain utama di pentas dunia," kata YB Menteri MITI.
 
MITI dan MIDA percaya bahawa dengan dasar sedia ada, Malaysia akan terus mencetuskan keyakinan pelabur dan pemilik perniagaan, dan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti pada tahun ini. Sehingga kini, MIDA mempunyai 399 projek perkilangan dan perkhidmatan dengan pelaburan berjumlah RM23.7 bilion, yang masih dalam peringkat perbicangan," kata YB Menteri MITI.

Photos from the event can be downloaded at the following link: https://we.tl/t-k0qRPPRMUS

SUMBER : Malaysian Investment Development Authority (MIDA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Puan Zalina Zainol
Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat, MIDA
Tel : 03- 2263 2437
Email : zalina@mida.gov.my  

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.