ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 23, 2024 -Selasa

 
  KENYATAAN BALAS TERHADAP LAPORAN FREE MALAYSIA TODAY YANG DISIARKAN SECARA ONLINE PADA JAM 10.06 MALAM, 10 JUN 2019

Tuesday 11/06/2019



KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Laporan dengan tajuk utama, “Cabbies in the dark about Socso, says taxi boss,” adalah dirujuk. 
 
PERKESO sudah mula mendekati golongan sasar sejak tahun 2017. Sehingga Mei lalu, 1,324 sesi libat urus telah diadakan di seluruh negara. Sesi membabitkan kesemua 406 persatuan pemandu teksi dan kereta sewa di seluruh negara yang berdaftar dengan SPAD serta pemandu persendirian. Antara aktiviti yang dianjurkan, sesi taklimat kepada pemandu-pemandu teksi, pembukaan kaunter PERKESO serta pengedaran risalah di terminal-terminal teksi.  
 
Malahan, pada 8 Mei lalu, program libat urus diadakan bersama ahli-ahli Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se-Malaysia (GTSM). Tumpuan diberi kepada usaha mempromosikan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri. Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) telah diwarta dan dikuatkuasakan pada Jun 2017 dan sebagai permulaan, ia dilaksanakan kepada pemandu teksi dan pada 1 November 2018, kepada semua pemandu e-hailing. Pada pertemuan itu, semua yang hadir memahami manfaat di sebalik caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri. 
 
Skim ini memberi perlindungan kepada orang berinsurans yang bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan. Penyakit pekerjaan adalah penyakit yang berpunca atau terbit daripada pekerjaan yang dinyatakan dalam Jadual Kelima kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Skim ini menyediakan faedah tunai kepada pemandu teksi dan tanggungannya di samping menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional. Dengan mencarum seminimum RM13.10 sebulan, faedah yang layak diterima adalah :- 
 
1. Faedah Perubatan – PERKESO tanggung sepenuhnya kos rawatan perubatan di klinik panel PERKESO atau klinik/hospital kerajaan seandainya pencarum ditimpa bencana kerja. 
2. Faedah Hilang Upaya Sementara – Pencarum menerima bayaran antara RM30.00 hingga RM105.33 sehari (bergantung kepada pilihan caruman) bagi bayaran cuti sakit akibat bencana kerja. 
3. Faedah Hilang Upaya Kekal – Bayaran berkala atau pukal bergantung kepada  peratusan penilaian kecacatan. 
4. Faedah Elaun Layanan Sentiasa – Menerima elaun bulanan sebanyak RM500 bagi pencarum yang tidak upaya secara teruk hingga sentiasa memerlukan layanan peribadi orang lain. 
5. Faedah Orang Tanggungan – Orang tanggungan yang layak akan menerima bayaran secara berkala sepanjang hayat setelah pencarum meninggal dunia akibat bencana kerja. Bagi balu/duda, bayaran tetap akan diterima meskipun setelah berkahwin semula. 
6. Faedah Pengurusan Mayat – Bayaran sebanyak RM2000 kepada waris 
7. Faedah Pemulihan – PERKESO tanggung kos rawatan pemulihan seperti fisioterapi, implan, rawatan hemodialysis dan lain-lain. Perkeso turut membekalkan alat pemulihan, menyediakan latihan vokasional serta menawarkan khidmat rawatan di Pusat Rehabilitasi PERKESO secara PERCUMA. Bagi yang sudah pulih, PERKESO turut menawarkan program kembali bekerja atau “Return To Work”. 
8. Faedah Pinjaman Pendidikan – kemudahan dalam bentuk pinjaman atau biasiswa buat anak penerima faedah berkala PERKESO; bergantung kepada syarat-syarat ditetapkan. 
  
Untuk maklumat terperinci, sila layari 
 
Laporan mengenai penerima-penerima faedah tersebut banyak disiarkan media. Antaranya, nasib waris kepada Allahyarham Nyak Fauzul Abdul Aziz, pemandu teksi di Lembah Kelang. Allahyarham mula mencarum sebanyak RM49.40 sebulan (Pilihan ke4) sejak 4 September 2018. Beliau meninggal dunia pada 29 September lalu akibat bencana kerja. Sehubungan itu, balu dan anak menerima faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000.00 serta faedah orang tanggungan dalam bentuk pencen bulanan sebanyak RM3,555.00. 
 
Sejak skim ini diperkenalkan sehingga 10 Jun 2019, terdapat 123 penerima pelbagai faedah di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri. 
 
Mengenai keluhan Presiden Persatuan Pemandu-pemandu Grab Malaysia, Arif Asyraf, caruman PERKESO untuk Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri hanya 1.25% daripada pendapatan bulanan pilihan yang diinsuranskan. Terdapat empat pilihan caruman dengan kadar antara RM13.10 sebulan hingga RM49.40 sebulan.  
 
Pemandu teksi, kereta sewa dan e-hailing diberi tempoh sehingga akhir bulan ini untuk mencarum dengan PERKESO. Jika masih gagal berbuat demikian, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk dikenakan kompaun maksimum RM4,000. Sehingga 10 Jun 2019, 15,264 daripada 200,000 pemandu teksi dan e-hailing yang mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri. 
 
Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri juga telah diperluaskan kepada pemandu bas mulai 1 Februari 2019. 
 
Pertubuhan Keselamatan Sosial 
11 Jun 2019 

SUMBER : PERTUBUHAN KESELAMATAN SOSIAL

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : FATEN NABILA BINTI ROSLAN
Pegawai Tadbir
Bahagian Perancangan dan Hal Ehwal Korporat
Pertubuhan Keselamatan Sosial
Emel : nabila.roslan@perkeso.gov.my
Tel : 03-4264 5000 (ext: 5712)
 
--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.