ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 19, 2024 -Jumaat

 
  SITUASI SEMASA JAPANESE ENCEPHALITIS (JE) DI MALAYSIA

Wednesday 17/07/2019



KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Merujuk kepada artikel oleh Free Malaysia Today (FMT) bertajuk ‘Sabah Minister confirms JE virus found in pig’ dan The Star Online bertajuk ‘JE virus detected in pig farm in Tambunan’ bertarikh 16 Julai 2019, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa situasi kes Japanese Encephalitis (JE) di Malaysia termasuk Sabah dipantau dengan rapi di peringkat Kementerian dan Jabatan Kesihatan Negeri.

Pada tahun 2019, bagi tempoh Januari sehingga 13 Julai, sejumlah 15 kes JE dilaporkan di Malaysia melibatkan tiga (3) kes kematian JE iaitu dua (2) di negeri Sarawak dan satu (1) di Perak. Kesemua kes adalah kes sporadik dan tiada wabak JE dilaporkan. Daripada jumlah 15 kes JE yang dilaporkan, empat (4) kes adalah dari negeri Sabah iaitu masing-masing satu (1) kes di daerah Manggatal, Ranau, Papar dan Tambunan. Tiada tren peningkatan kes dikesan di negeri Sabah di mana bagi tempoh yang sama pada tahun 2018, sebanyak lima (5) kes JE telah dilaporkan di negeri Sabah.  

Seperti yang dinyatakan oleh The Star Online, kes terbaru di daerah Tambunan dilaporkan pada 12 Julai 2019 melibatkan seorang lelaki dewasa berumur 20 tahun. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Keningau pada 8 Julai 2019 dan kini masih menerima rawatan di wad perubatan hospital terbabit. Manakala kes JE yang dinyatakan oleh FMT melibatkan kanak-kanak berumur tujuh (7) tahun dari Taman Sentoria, Kota Samarahan Sarawak merupakan kes yang dilaporkan pada tahun 2017 dan disahkan bukan kes JE.

Untuk makluman, JE merupakan sejenis penyakit bawaan vektor disebabkan oleh flavivirus yang boleh mengakibatkan gejala ‘viral encephalitis’. Kebanyakan negara di Asia seperti India, Thailand, Filipina, Cambodia, Vietnam termasuk Malaysia merupakan negara endemik JE. Khinzir dan burung liar merupakan ‘natural reservoir’ bagi virus ini dan ia boleh disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Culex. Walau bagaimanapun, manusia merupakan ‘dead-end host’ di mana transmisi jangkitan tidak boleh berlaku daripada seorang individu kepada individu yang lain.  

Tanda-tanda dan gejala JE adalah seperti demam, sakit kepala, loya, muntah, perubahan keadaan mental, gejala neurologi, lemah dan gangguan pada pergerakan. Bagi individu yang mengalami tanda-tanda tersebut perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan segera. Selain itu, amalan perlindungan diri seperti penggunaan repelen dan memakai pakaian cerah yang menutup anggota dapat mengurangkan risiko gigitan nyamuk. 

Sekian, terima kasih 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 

17 JULAI 2019 

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia


UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Baharudin Bin Mohamad
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88834536 dan 017-2635008

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.