ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 25, 2024 -Khamis

 
  PRODUK TIDAK BERDAFTAR DAN KOSMETIK TIDAK BERNOTIFIKASI YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG DIRAMPAS

Wednesday 14/08/2019



KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah berjaya merampas beberapa jenis produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai hampir RM200 ribu dalam satu operasi yang dijalankan serentak pada 1 Ogos 2019 di tiga buah premis iaitu masing-masing di Ipoh, Seri Manjung dan Lumut.

Maklumat awal berkaitan penjualan produk-produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi ini telah dikesan melalui aktiviti pemantauan di media sosial yang dijalankan oleh pihak CPF Negeri. Risikan terhadap maklumat awal ini menunjukkan suspek memiliki 3 premis yang menjalankan aktiviti jualan tersebut. Semua premis berkaitan merupakan salah satu rangkaian pengedar terbesar bagi produk-produk tersebut di sekitar negeri Perak.

Hasil operasi ini telah menemui lebih 8,000 unit produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi. Produk yang telah dirampas adalah merangkumi pelbagai jenis produk tidak berdaftar dan makanan yang disyaki dicemari perangsang seks seperti Candy B+ Complex, Soloco, Hickel dan Vimax; ubat kurus tidak berdaftar seperti Surut Ayu dan Li Da; dan produk kesihatan dicemari steroid seperti Al-Barakah Ayam Selasih dan Bella Formula Sinus Care.

Individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual produk-produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah  952. Jika disabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya. Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

KKM mengingatkan kepada mana-mana individu atau syarikat yang menjual produk-produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi agar menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta memandangkan produk-produk tersebut tidak terjamin daripada segi kualiti dan keselamatannya. KKM menyarankan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membeli produk kesihatan atau kosmetik melalui media sosial. Orang ramai perlu menyemak status pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik sebelum membeli dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status” ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400. Selain itu, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi tujuan semakan tersebut.

Sebarang aduan berkaitan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, KKM melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk-produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi di pasaran.

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
14 OGOS 2019

SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:

Nama : Baharudin bin Mohamad
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88834536 / 017-2635008 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.