ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 25, 2024 -Khamis

 
  TEKNOLOGI MIMOS UNTUK TANGANI ISU ALAM SEKITAR

Wednesday 11/09/2019



MIMOS pamer penyelesaian termaju untuk alam sekitar di sambutan Hari Ozon

BUKIT JALIL, 11 Sept (Bernama) -- Lebih banyak penyelesaian teknologi untuk menangani isu alam sekitar kini sedang dalam perancangan, kata pusat penyelidikan dan pembangunan negara MIMOS.

Antara penyelesaian MIMOS untuk pemuliharaan alam sekitar termasuk sistem berasaskan Internet Benda (IoT) untuk pengurusan hutan gambut, perlindungan tumbuh-tumbuhan dan haiwan, dan pemantauan kualiti air sungai.

Ketua Pegawai Teknologi MIMOS Thillai Raj berkata teknologi baharu seperti IoT, kecerdasan buatan (AI) dan analisis data boleh memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan mampan dan masyarakat sihat di seluruh dunia.

"Cuaca kering yang berlarutan dan pembakaran sisa pertanian di kawasan hutan sering menyebabkan kebakaran hutan di banyak tempat di dunia termasuk Malaysia, dan jerebu hanyalah satu daripada akibatnya," katanya.

"Terdapat juga peningkatan dalam aktiviti pemburuan haram atau pencerobohan di kawasan hutan simpan, serta isu kualiti air sungai di beberapa kawasan dalam negara.

"Kemajuan teknologi bukan sahaja memacu perniagaan dan industri.  Ia juga merupakan harapan terbaik kita dalam membantu menyelesaikan isu alam sekitar," kata Raj.

Penyelesaian MIMOS untuk pengurusan hutan gambut merupakan sistem amaran awal untuk pengesanan kebakaran hutan gambut. Sistem ini membolehkan pihak berkuasa pengurusan hutan memahami dengan lebih baik tentang ekosistem hutan paya gambut menerusi data mikro, seterusnya memberikan peringatan untuk tindakan pihak berwajib.

Sama seperti sistem pengurusan hutan gambut, penyelesaian MIMOS untuk perlindungan tumbuh-tumbuhan dan haiwan merupakan sistem pemantauan berasaskan IoT yang dipasang di kawasan hutan simpan, yang memberikan pemberitahuan segera untuk tindakan manusia. Selain daripada IoT, penyelesaian itu juga menggunakan analitik video berasaskan AI untuk pengawasan pintar.

MIMOS juga telah menghasilkan penyelesaian untuk pemantauan kualiti air sungai.


Kesemua penyelesaian teknologi alam sekitar ini akan dipamerkan pada acara sambutan Hari Ozon yang akan diadakan di Taman Teknologi Malaysia di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari 8 pagi hingga 1 petang, esok (12 Sept 2019).

Dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar, acara itu diadakan bersempena dengan Hari Antarabangsa untuk Pemeliharaan Lapisan Ozon 2019.

Terdapat juga ceramah dan pusat pengumpulan sisa elektronik untuk kitar semula.
 
Tentang MIMOS

MIMOS adalah pusat Penyelidikan dan Pembangunan Gunaan nasional Malaysia.  Sebagai sebuah agensi strategik di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), MIMOS menyumbang ke arah mentransformasi industri tempatan menerusi produk, penyelesaian dan platform teknologi yang dipatenkan.  Dalam jangkamasa 12 tahun terakhir ini, MIMOS telah memfailkan lebih daripada 1,300 Harta Intelek dalam pelbagai bidang teknologi dan merentasi sektor-sektor sosio-ekonomi utama negara.  Mendukung peranan teras dalam kembara transformasi digital negara, MIMOS beriltizam mewujudkan suatu budaya inovasi dengan memupuk jalinan antara pemegang-pemegang kepentingan dalam semangat perkongsian pintar dan model pertumbuhan menyeluruh. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang MIMOS, sila kunjungi www.mimos.my 

Sumber: MIMOS Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 

Nama: Laurence Sebastian
Tel: +603 8995 5000 / +601 9236 4938
Emel: laurence@mimos.my
www.mimos.my 

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.