ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 25, 2024 -Khamis

 
  SITUASI TERKINI RABIES DI SARAWAK

Friday 08/11/2019



KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan satu (1) kematian rabies encephalitis melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur 5 tahun dari Kampung Mambong, Jalan Penrissen, Kuching, Sarawak. Kanak-kanak tersebut meninggal dunia pada 2 November 2019 semasa dalam rawatan rapi di Hospital Umum Sarawak (HUS). Sampel untuk ujian rabies yang telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah disahkan positif rabies pada 6 November 2019. KKM mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Kanak-kanak tersebut kelihatan tidak aktif sejak 13 Oktober 2019 dan mengadu sakit tekak. Pada 15 Oktober 2019, beliau mengalami demam dan berkelakuan luar daripada kebiasaan, lalu dibawa ke klinik swasta untuk pemeriksaan. Keadaan beliau bertambah teruk dan dibawa pula ke Klinik Kesihatan pada 18 Oktober 2019 dan dirawat sebagai pesakit luar dengan diagnosa Upper Respiratory Tract Infection (URTI). Pada 21 Oktober 2019, beliau telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak apabila keadaannya semakin lemah.

Keluarga mendiang mempunyai dua (2) ekor anjing peliharaan di rumah. Kedua-dua haiwan ini tidak pernah mendapat vaksinasi anti-rabies dan bebas bergaul dengan anjing liar. Namun begitu, buat masa ini kedua-dua anjing ini masih hidup dan sihat. Mendiang tidak pernah mengadu digigit anjing atau haiwan lain. Kes rabies terbaru ini telah dimaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk tindakan lanjut.

Dengan pengesahan kes ini, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak rabies pada 1 Julai 2017 sehingga 6 November 2019 adalah 22 kes termasuk 21 kematian. Enam (6) daripada kes tersebut berlaku pada tahun 2019.

Ibu bapa diminta untuk menasihatkan anak-anak supaya berwaspada dan segera memaklumkan sekiranya digigit atau dicakar atau luka dijilat oleh anjing, samada anjing liar atau anjing milik sendiri. Ini terutama kerana Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak pernah melaporkan bahawa bagi setiap lima (5) ekor anjing di Sarawak, dua (2) daripadanya adalah positif virus rabies. Maka langkah pencegahan perlu sentiasa diamalkan.

KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus berkerjasama dengan Kerajaan Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Walau bagaimanapun, kejayaan mengawal dan mencegah jangkitan rabies dalam anjing dan manusia bergantung pada kerjasama dan komitmen padu segala lapisan masyarakat. Semua pihak dikehendaki memberi kerjasama dalam melaksanakan langkah-langkah kawalan yang telah dirancang dan ditetapkan oleh Kerajaan agar jangkitan dan kematian rabies dapat dicegah.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

8 November 2019

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Baharudin bin Mohamad

Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88834536 / 017-2635008​

--BERNAMA

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.