ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  SITUASI TERKINI WABAK POLIO DI SABAH

Monday 16/12/2019



KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Pada 8 Disember 2019, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memaklumkan kejadian satu kes yang disahkan dijangkiti virus polio di Sabah. Kes melibatkan seorang bayi lelaki warganegara Malaysia berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah. Bayi tersebut masih dirawat di Bilik Isolasi hospital dan berada dalam keadaan stabil serta masih diberi bantuan pernafasan.

Sejak kes polio tersebut dikesan, sehingga kini, tiada kes baru polio dilaporkan. Sehingga 14 Disember 2019, langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang telah dilakukan dan sedang diteruskan adalah seperti berikut:

(i) Aktiviti pengesanan kes-kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) yang menunjukkan gejala seakan-akan poliomyelitis (iaitu proksi kepada penyakit poliomyelitis) di kawasan sekitar tempat tinggal kes sedang diperluaskan ke kawasan berhampiran dan kawasan berisiko. Seramai 1,553 orang telah diperiksa, dan tiada yang bergejala AFP dikesan; 

(ii) Pengambilan sampel najis daripada 20 orang kontak rapat bayi tersebut telah dijalankan untuk ujian makmal dan sedang menunggu keputusan; 

(iii) Enam (6) sampel persekitaran dari kawasan terlibat dan kawasan berisiko telah diambil bagi pengesanan kehadiran virus polio dan sedang menunggu keputusan makmal;

(iv) Pemantauan kehadiran virus polio dalam persekitaran melalui persampelan air kumbahan juga diteruskan di enam (6) loji rawatan air kumbahan terpilih di Sabah. Sehingga kini, tiada virus polio liar (wild) atau vaccine-derived poliovirus (VDPV) dikesan dalam sampel persekitaran; 

(v) Aktiviti pemberian imunisasi untuk kanak-kanak yang tercicir imunisasi di kawasan tempat tinggal kes dan kawasan berhampiran dilaksanakan bagi memastikan liputan imunisasi polio ditingkatkan. Sehingga 14 Disember 2019, seramai 59 orang kanak-kanak berumur 2 bulan hingga 15 tahun di kawasan tersebut yang tercicir imunisasi telah diberikan vaksin polio. Kesemua mereka ini merupakan kanak-kanak bukan warganegara; 

(vi) Bagi memastikan penularan virus polio dapat dihentikan, aktiviti imunisasi tambahan akan diberikan kepada semua kanak-kanak berumur bawah lima tahun di Sabah secara berperingkat. Perancangan rapi sedang dibuat dan pemberian imunisasi tambahan ini akan dijalankan secepat mungkin;

(vii) Pendidikan kesihatan mengenai penyakit polio dan langkah-langkah pencegahan sedang giat dijalankan di kawasan terlibat dan kepada umum melalui pelbagai pendekatan seperti melalui media sosial, pendidikan individu, edaran bahan pendidikan kesihatan, ceramah dan lain-lain; dan

(viii) Semua fasiliti kesihatan telah diarahkan untuk memastikan semua kes AFP dipantau dan dijalankan ujian pengesanan virus polio. 

KKM juga terus berhubung dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mendapatkan maklumat terkini situasi polio secara global. Satu kerjasama bersama pihak Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Children's Fund, UNICEF) sedang diperhalusi bagi mendapatkan bekalan vaksin pada kos yang rendah (disubsidi oleh UNICEF) untuk program imunisasi kanak-kanak bukan warganegara di Sabah. Pemberian vaksinasi tersebut akan dilaksanakan melalui kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) yang terpilih. Selain itu, KKM juga akan memantapkan kerjasama dua hala dengan kerajaan Filipina termasuk program imunisasi bagi kanak-kanak warganegara negara tersebut yang berada di Sabah. 

KKM ingin menekankan bahawa cara terbaik untuk mencegah penyakit polio adalah melalui imunisasi. Penyakit berjangkit seperti polio tidak mengenali sempadan. Ibu bapa diseru untuk memastikan anak-anak yang telah tercicir imunisasi dibawa ke Klinik Kesihatan yang berhampiran. Penjadualan semula imunisasi bagi kanak-kanak cicir imunisasi akan dibuat mengikut kesesuaian. 

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
15 Disember 2019


SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Baharudin bin Mohamad

Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88834536 / 017-2635008

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.