PIPOC 2007  
       
  LANGKAWI INTERNATIONAL DIALOGUE  
       
  IKIM :THE ROLE OF ISLAMIC  
       
  KL OIC HEALTH  
       
  PERAK ROYAL EVENT  
       
  DEVELOPING 8 (D8) MINISTERS MEETING ON FOOD SECURITY  

 
 
 

Februari 25, 2020 -Selasa

 
  KESIAPSIAGAAN DAN RESPONS KKM DALAM MENGHADAPI POTENSI PENULARAN NOVEL CORONAVIRUS, WUHAN, CHINA

Thursday 16/01/2020



KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai wabak novel coronavirus yang dilaporkan di Wuhan, China.

Pada 31 Disember 2019 yang lalu, pihak berkuasa China telah melaporkan mengenai satu kejadian kluster radang paru-paru (pneumonia) yang tidak diketahui punca jangkitannya, melibatkan masyarakat setempat di Wuhan, China. Pihak berkuasa China juga telah melaporkan kepada WHO pada 5 Januari 2020 bahawa jangkitan tersebut bukanlah jangkitan influenza, avian flu, adenovirus, Middle East Respiratory Syndrome coronavirus (MERS-CoV) ataupun Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS).

Seterusnya pada 12 Januari 2020, WHO telah mengesahkan bahawa wabak yang berlaku di Wuhan, China ini adalah disebabkan oleh jangkitan daripada coronavirus baharu (novel coronavirus). Coronavirus baharu (novel coronavirus) adalah manamana strain baharu virus tersebut yang sebelum ini tidak pernah dikenalpasti atau dikesan pada manusia. Cara jangkitan dan cara penularan novel coronavirus ini adalah masih dalam siasatan. Sehingga kini, sebanyak 41 kes radang paru-paru (pneumonia) yang dilaporkan di Wuhan, China adalah positif novel coronavirus, dan daripada jumlah itu, satu (1) kematian telah dilaporkan dengan tujuh (7) kes berada dalam keadaan yang kritikal, dan kes-kes lain adalah stabil. Kes kematian yang dilaporkan di Wuhan, China ini merupakan seorang lelaki berusia 61 tahun dan mempunyai beberapa masalah kesihatan kronik yang lain (severe underlying medical conditions). Pihak WHO juga memaklumkan buat masa ini, tiada penularan yang berterusan di kalangan manusia (no sustained human-to-human transmission) dilaporkan.

Pada 13 Januari 2020, Thailand telah melaporkan kes import pertama novel coronavirus ini. Kes merupakan seorang wanita yang berasal dari Wuhan, China yang dikesan dengan gejala demam dan jangkitan radang paru-paru (pneumonia). Pesakit berada dalam keadaan stabil. WHO memaklumkan bahawa insiden ini sedang dipantau rapi oleh mereka, Walau bagaimanapun, pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan untuk pergi ke negara yang terlibat.

Untuk makluman, berdasarkan kepada pemantauan yang dijalankan, buat masa ini, tiada kes yang disyaki novel coronavirus dilaporkan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Antara langkah-langkah kesiapsiagaan yang telah dan terus dilaksanakan bagi menghadapi potensi penularan penyakit ini adalah:

i. Anggota KKM di semua peringkat termasuk Pintu Masuk Antarabangsa Negara dimaklumkan berkaitan kejadian kluster ini dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi;
ii. Memberi penekanan dan memperkukuhkan aktiviti saringan demam sedia ada dalam kalangan pengembara oleh anggota-anggota yang bertugas di Pintu Masuk Antarabangsa Negara;
iii. Pengembara yang dikesan mengalami demam dan bergejala, pemeriksaan akan dilakukan semula di pusat kuarantin kesihatan atau tempat pemeriksaan yang terletak di Pintu Masuk Antarabangsa Negara;
iv. Saringan pesakit di Klinik Kesihatan dan Jabatan Kecemasan hospital diperkukuhkan bagi memastikan kes-kes yang disyaki akan dirujuk dan dikendalikan dengan mematuhi langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi;
v. Seseorang yang mengalami gejala penyakit respiratori akut dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari Wuhan, China, dinasihatkan agar pergi ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk menjalani pemeriksaan;
vi. Sekiranya terdapat kes disyaki yang dikesan dari mana-mana fasiliti kesihatan, kes perlu dilaporkan / dinotifikasi dengan segera kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri dan Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) KKM;
vii. Memperkukuhkan keupayaan bagi menjalankan ujian pengesanan dan pengesahan novel coronavirus. Untuk makluman, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) merupakan makmal sedia ada yang berkeupayaan untuk menjalankan ujian tersebut;
viii. Anggota KKM dinasihatkan untuk menggunakan personal protective equipment (PPE) dan simpanan stok (stockpile) bagi PPE serta ubat-ubatan bagi menghadapi wabak perlu dipastikan mencukupi untuk menampung keperluan di fasilti kesihatan masing-masing; dan
ix. KKM akan sentiasa bekerjasama rapat dengan semua agensi yang berkaitan secara berterusan bagi memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan respons KKM bagi menghadapi potensi penularan jangkitan dalam Malaysia.

Sehubungan itu berdasarkan maklumat di atas, KKM ingin menegaskan bahawa situasi jangkitan influenza yang dilaporkan di Malaysia sekarang ini tiada kaitan dengan kejadian novel coronavirus di Wuhan, China dan situasi influenza adalah terkawal. KKM akan terus memantau situasi kejadian penyakit radang paru-paru ini dan sebarang perkembangan daripada pihak WHO akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
16 JANUARI 2020

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia


UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Baharudin bin Mohamad 
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88834536 / 017-2635008

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2020 MREM . All rights reserved.