ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 24, 2024 -Rabu

 
  KEMASKINI SITUASI SEMASA WABAK JANGKITAN 2019 NOVEL CORONAVIRUS (2019-NCOV) DAN STATUS KESIAPSIAGAAN BAGI MENGHADAPI POTENSI PENULARANNYA DI MALAYSIA

Friday 24/01/2020



KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum perkembangan terkini kejadian wabak jangkitan 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) berdasarkan pelaporan daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pelbagai sumber yang diperolehi setakat ini. Sehingga 22 Januari 2020, terdapat sejumlah 448 kes yang disahkan dijangkiti 2019-nCoV, dengan kebanyakan daripadanya dilaporkan oleh negara China dan tidak hanya terhad kepada penduduk setempat di Wuhan. Sembilan (9) daripada 448 kes tersebut merupakan kes yang dilaporkan dari luar negara China. Kes-kes yang dilaporkan dari luar Wuhan, China mempunyai sejarah perjalanan melawatinya, sejurus sebelum mereka jatuh sakit dan disahkan dijangkiti oleh virus tersebut.   

Sehingga kini, cara jangkitan 2019-nCoV masih tidak diketahui dengan jelas. Kes yang dikesan didapati mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas. Terdapat kemungkinan berlakunya penularan dari seorang individu kepada individu yang lain (human-to-human transmission), khususnya dalam kalangan kontak rapat. Namun, siasatan yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pelbagai pihak yang terlibat masih tidak dapat memberikan 2 jawapan yang jelas serta tidak dapat mengenalpasti bagaimana sebenarnya jangkitan virus tersebut menular kepada manusia. Namun, buat masa ini pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan lawatan dan perdagangan dengan negara China. 

Seterusnya, WHO telah menggesa negara-negara anggota untuk memantapkan tahap kesiapsiagaan di peringkat masing-masing bagi menghadapi potensi penularan virus ini. Kejadian wabak jangkitan ini dipandang serius oleh KKM, justeru langkah kesiapsiagaan dan respon berikut terus diperkukuhkan:

i. Tatacara mengenainya yang melibatkan fasiliti kesihatan awam dan swasta telah dikeluarkan baru-baru ini. Tatacara ini akan digunakan sebagai rujukan kepada semua anggota kesihatan di lapangan bagi mengesan, mengendali dan menguruskan individu yang disyaki dijangkiti 2019-nCoV;

ii. KKM juga telah memperkukuhkan aktiviti saringan kesihatan di semua Pintu Masuk Antarabangsa, dan sekiranya terdapat pengembara yang disyaki, beliau akan dirujuk untuk pemeriksaan selanjutnya;

iii. KKM juga bekerjasama dengan lain-lain agensi yang berkaitan di Pintu Masuk Antarabangsa bagi membolehkan pengesanan pantas pengembara yang bergejala;

iv. Saringan pesakit di Klinik Kesihatan dan Jabatan Kecemasan hospital diperkukuhkan bagi memastikan kes yang disyaki dirujuk serta dikendalikan dengan memenuhi langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi;

v. Terdapat sebanyak 26 buah hospital KKM yang telah dikenalpasti di seluruh negara bagi mengendalikan kes-kes yang disyaki tersebut – yang memerlukan pemeriksaan dan rawatan lanjut;

vi. Sampel yang diperolehi daripada pesakit akan dihantar untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV di Institut Penyelidikan  Perubatan (IMR) serta Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), yang merupakan makmal sedia ada yang berkeupayaan untuk menjalankan ujian tersebut;

vii. Sekiranya terdapat kes disyaki 2019-nCoV yang dikesan daripada mana-mana fasiliti kesihatan, kes akan dilaporkan / dinotifikasi dengan segera kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri dan Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan; 

viii. Bersiap sedia dengan Rapid Response Team (RRT) dan Rapid Assessment Team (RAT) di peringkat daerah yang akan diaktifkan sekiranya terdapat pemakluman mengenai kes yang disyaki 2019-nCoV daripada hospital merawat – bagi menjalankan aktiviti pengesanan kontak di lapangan; dan  

ix. Penggunaan personal protective equipment (PPE) bagi semua anggota kesihatan yang terlibat terus diberikan penekanan dan simpanan stok (stockpile) termasuklah ubat-ubatan bagi menghadapi kejadian wabak sentiasa dipastikan mencukupi untuk menampung keperluan di fasiliti kesihatan masing-masing. 

Setakat ini, pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima pelaporan untuk empat (4) kes yang disyaki dijangkiti 2019-nCoV. Sebaik dikesan, mereka telah dimasukkan ke wad pengasingan bagi membolehkan rawatan dan penyiasatan lanjut dijalankan. Ujian makmal yang dijalankan ke atas sampel milik tiga (3) orang pesakit pertama didapati negatif bagi jangkitan 2019-nCoV. Merujuk kepada kes disyaki terbaru yang dimasukkan ke wad pengasingan di sebuah hospital di Sabah pada 22 Januari 2020, beliau berada dalam keadaan stabil. Sampel bagi kes-kes tersebut telah dihantar ke IMR untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan. Keputusan ujian bakal diperolehi dalam masa yang terdekat.

KKM mengambil kesempatan ini untuk menyarankan orang ramai yang ingin melawat ke Wuhan, China agar menangguhkan perjalanan mereka kecuali untuk urusan penting yang tidak boleh dielakkan. Begitu juga, orang ramai adalah diingatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan berikut, khususnya kepada para pengembara semasa berada di Wuhan dan selepas pulang ke Malaysia: 

i. Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer);  

ii. Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk digunakan apabila perlu;

iii. Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala;

iv. Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan;

v. Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari memakan sebarang produk haiwan yang mentah / tidak dimasak dengan sempurna;

vi. Untuk segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit (iaitu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan tersebut. Begitu juga, maklumkan mengenai sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat.

Adalah jelas bahawa bilangan kes yang dilaporkan dalam kejadian wabak ini semakin meningkat. Justeru, pada 22 Januari 2020 sesi pertama Mesyuarat International Health Regulations (IHR) Emergency Committee telah diadakan oleh pihak WHO bagi mengkaji sama ada kejadian tersebut memenuhi status 
Public Health Emergency of International Concern (PHEIC) seperti yang diperuntukkan di bawah IHR (2005). Sesi mesyuarat ini akan disambung semula pada 23 Januari 2020. Pihak WHO akan memaklumkan mengenai sebarang perkembangan berhubung situasi wabak 2019-nCoV dan saranan hasil daripada mesyuarat ini kepada negara-negara anggota. 

Oleh itu, KKM akan terus memantau situasi kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO dan sebarang perkembangan mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan. 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
23 JANUARI 2020 

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia


UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Baharudin Bin Mohamad
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88834536 / 017-2635008

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.