ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  KENYATAAN MEDIA : YB DATO' DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI BERHUBUNG PENGIMPORTAN SEMULA MINYAK SAWIT MENTAH MALAYSIA OLEH INDIA

Thursday 21/05/2020



KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- India merupakan antara rakan dagang terpenting Malaysia dalam sektor agrikomoditi. Perkara ini terbukti di mana India telah menjadi pengimport terbesar minyak sawit dan produk berasaskan sawit pada tahun 2019 dengan jumlah sebanyak 4.5 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit berjumlah RM9.8 bilion. Jumlah eksport ini meningkat kira-kira 67% berbanding tahun 2018 dengan jumlah eksport sebanyak 2.7 juta tan.

Namun begitu, beberapa siri peristiwa telah mencetuskan trend kejatuhan mendadak dalam eksport minyak sawit Malaysia ke India. Sepanjang suku pertama tahun 2020, kebanyakan import minyak sawit oleh India adalah dari negara pengeluar lain. Berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), eksport minyak sawit Malaysia ke India pada bulan Januari – April 2020 telah menunjukkan penurunan drastik hampir 94% kepada 96,145 tan berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019, iaitu 1.6 juta tan.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersama MPOB dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah giat berusaha sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan mengadakan beberapa siri rundingan secara maya untuk menarik pengimport dari India agar membeli minyak sawit Malaysia.

Perubahan pendirian Kerajaan India yang tidak melanjutkan sekatan import terhadap minyak sawit ditapis juga telah membantu peningkatan import oleh negara berkenaan. Kerajaan Malaysia menyambut baik tindakan India untuk tidak memperbaharui arahan tersebut pada 4 Mac 2020. Di samping itu, kesediaan Kerajaan Malaysia untuk memastikan jurang dagangan yang sebelum ini menjadi isu juga merupakan faktor penting peningkatan tersebut.

Selain itu, salah satu sebab peningkatan import adalah kerana harga pasaran minyak sawit mentah yang kini berada di bawah paras percukaian duti eksport Malaysia. MPOC sentiasa memantau pasaran dan mendapati terdapat peningkatan signifikan sebanyak 47% minyak sawit yang didagangkan di Bursa Malaysia dengan peningkatan 66,427 lot semalam berbanding purata 45,200 lot setiap hari sepanjang minggu lalu.

Perkembangan hubungan diplomatik kini bertambah baik dengan kontrak belian minyak sawit bagi bulan Jun dan Julai 2020. Kerajaan menjangkakan situasi ini akan memberikan impak positif ke atas industri sawit dan ekonomi negara. Industri sawit negara memberikan pendapatan kepada hampir 500 ribu pekebun kecil sawit termasuk kira-kira 258 ribu pekebun kecil persendirian.

Kerajaan juga menjangkakan perkembangan baik ini akan mengukuhkan harga minyak sawit di pasaran dengan kembalinya pengimport India membeli minyak sawit daripada Malaysia. Semoga dengan perkembangan terbaharu ini, India akan terus mengimport minyak sawit Malaysia bagi memenuhi keperluan minyak sayuran dan lelemak negara tersebut.

Di kesempatan ini, saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia komited untuk menjaga hubungan baik dengan Kerajaan India bagi meningkatkan lagi hubungan diplomatik dan perdagangan kedua-dua negara. Hubungan ini perlu supaya kepentingan kedua pihak dapat dipelihara dan rakyat dapat menikmati hasilnya.

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
PUTRAJAYA
21 MEI 2020

SUMBER: Kementerian Perushaan Perladangan Dan Komoditi


UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Siti Hajar binti Zulkefle
Pegawai Komunikasi Strategik II
Unit Komunikasi Korporat (UKK)
Tel: 03-8880 3381/017-3915951
Faks: 03-8887 8205
Emel: hajarzulkefle@mpi.gov.my
 
--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.