ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 25, 2024 -Khamis

 
  MALAYSIA RANGKUL ANUGERAH EMAS PATA 2020

Monday 28/09/2020



PUTRAJAYA, 28 Sept (Bernama) -- Malaysia meraih Anugerah Emas Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) 2020 bagi kategori Pelancongan Untuk Semua menerusi inisiatif pelancongan maya untuk warga emas yang dipelopori oleh Taylor’s University.

Kemenangan Taylor’s University sebagai satu-satunya pemenang Anugerah Emas PATA dari Malaysia pada tahun ini, bakal melonjakkan lagi penjenamaan dan pemasaran negara sebagai destinasi pelancongan utama.

Penganugerahan itu diumumkan sewaktu penyampaian Anugerah Emas PATA secara dalam talian pada 24 September lalu yang merupakan sebahagian daripada penganjuran Virtual PATA Travel Mart 2020. Pada tahun ini, PATA mengiktiraf pencapaian 23 organisasi dan individu di Asia Pasifik.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof selaku Pengerusi PATA Malaysia Chapter berkata: “Bagi pihak PATA Malaysia Chapter, saya ingin memanjangkan ucapan tahniah kepada semua pemenang Anugerah Emas PATA 2020 selain merakamkan penghargaan kepada semua peserta terlibat. Pencapaian pemenang tahun ini diharap dapat mencambahkan inspirasi sekali gus menggalakkan industri kita untuk menggerakkan inisiatif lestari dan lebih bertanggungjawab sejajar dengan langkah pemulihan pandemik COVID-19.

“Tahun ini juga merupakan kali pertama PATA mengumumkan pemenang secara langsung dalam talian dan kami berbesar hati untuk meraikan kemenangan wakil Malaysia bagi Anugerah Emas PATA 2020 iaitu Taylor’s University,” katanya.

Anugerah Emas PATA merupakan satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan, inovasi dan standard pelancongan terbaik dalam industri kembara dan pelancongan sejak ia dimulakan pada tahun 1984. Pada tahun ini, sebanyak 121 penyertaan dari 62 buah organisasi dan individu diterima dari seluruh dunia.

Pada tahun 2008, Taylor’s University telah memenangi Anugerah Emas PATA bagi kategori Pendidikan dan Latihan sekali gus mengiktiraf usaha untuk mempromosi program Skim Perantis Industri Hotel kepada lepasan sekolah menengah melalui pemberian latihan dan pekerjaaan dalam industri hospitaliti.

Pada tahun 2015, Taylor’s University sekali lagi menerima Anugerah Berprestij PATA bagi kategori Pendidikan dan Latihan untuk kerjasama awam-swasta membabitkan aspek pendidikan dan latihan di kolej komuniti di Langkawi.

Untuk maklumat lanjut mengenai siaran media mahupun maklumat mengenai industri pelancongan Malaysia, boleh melayari laman sesawang Pusat Media Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA atau TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia telah mencatatkan ketibaan seramai 26.1 juta pelancong asing yang menyumbang kepada pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.


SUMBER: Tourism Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Muadz Samat
Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603 8891 8755
E-mel: muadz@tourism.gov.my 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.