ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 19, 2024 -Jumaat

 
  ENHANCE TRACK SDN BHD DAN NANOMALAYSIA BERHAD MELANCARKAN PENGECAS TANPA WAYAR NANOTECH YANG PERTAMA DI MALAYSIA

Tuesday 29/09/2020



Keupayaan mengecas bukan induktif tanpa sentuhan pada jarak sejauh beberapa meter untuk peranti mudah alih berasaskan 5V
 
KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Enhance Track Sdn Bhd dan NanoMalaysia Berhad dalam usaha untuk memacu pengkomersialan nanoteknologi hari ini melancarkan Malaysia Energy Transmission Technology, atau dikenali sebagai METT – pengecas telefon mudah alih tanpa wayar yang pertama di Malaysia. Peranti ini membolehkan keupayaan mengecas bukan induktif tanpa sentuhan pada jarak sejauh beberapa meter untuk peranti mudah alih berasaskan 5V. METT boleh digunakan untuk semua jenis telefon mudah alih dan tablet. Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berbahagia Datuk Ir Dr Siti Hamisah Binti Tapsir.
 
METT beroperasi pada julat gelombang frekuensi radio dan terdiri daripada dua komponen: penghantar dan penerima. Penghantar perlu disambungkan ke poin kuasa (palam) dan penerima yang mengandungi sistem pengecas perlu dipasang pada peranti mudah alih. Sistem pengecas kemudiannya akan mengesan isyarat RF dan mengubahnya menjadi tenaga elektrik untuk mengecas bateri. Secara prinsipnya, ini adalah sama seperti cara telefon kita menerima gelombang radio dari menara telekomunikasi dan mengubahnya menjadi bunyi pada pembesar suara. Apabila sistem ini digunakan, pengguna boleh memasuki mana-mana zon pengecas dan telefon mereka akan dicaskan secara automatik.
 
YB Khairy Jamaluddin berkata: “Pelancaran METT pada hari ini bukan sahaja menjadi penanda aras dalam industri nanoteknologi, malah menjadi arah tuju yang tepat untuk negara selaras dengan visi Malaysia menjadi sebuah negara ke arah Industri 4.0. Untuk mencapai wawasan ini, National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) telah diperkenalkan oleh MOSTI baru-baru ini bertujuan menghidupkan semula pertumbuhan ekonomi negara menerusi teknologi inovatif dan disruptif.”
 
Pengarah Urusan Enhance Track Sdn Bhd, Dr Benedict Foo pula berkata: “Hari ini setiap orang memiliki telefon selular dan mereka memerlukan kaedah yang cekap untuk mengecas peranti tanpa perlu disambung ke mana-mana dinding. Teknologi inilah yang diperkenalkan oleh METT. Permintaan yang diterima sangat menggalakkan. METT beroperasi menggunakan teknologi yang fleksibel dan boleh diperluaskan bagi membolehkannya digunakan dalam pelbagai bidang dan aplikasi yang lain.”
 
Teknologi termaju METT telah dicipta dan dibangunkan bersama oleh Enhance Track dan NanoMalaysia Berhad melalui pembangunan produk dan dana pembesaran projek. Buat masa ini, sasaran awal pasaran ialah perniagaan dan juga individu. Kedua-duanya mempunyai kos pembangunan yang lebih rendah dan menyediakan jumlah penggunaan yang besar bagi memperoleh kejayaan komersial dan kadar penggunaan yang tinggi pada peringkat permulaan. Usaha untuk membangunkan sistem pengecas tanpa wayar bagi kenderaan elektrik juga terdapat dalam agenda tetapi usaha untuk aplikasi berteknologi tinggi ini hanya akan dimulakan mengikut fasa sebagai sahaja modal yang mencukupi diperoleh daripada pasaran sasaran awal.

Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Berhad, Dr Rezal Khairi Ahmad yakin bahawa kejayaan melancarkan pengecas tanpa wayar dengan potensi penggunaan yang pelbagai dalam sektor ekonomi digital akan turut menggalakkan dan mempercepatkan pembangunan penyelesaian nanoteknologi lain yang berkaitan. Ini adalah selaras dengan aspirasi Industri 4.0 Malaysia. Beliau menambah: “Pengecas tanpa wayar merupakan inovasi berimpak tinggi yang mampu meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam amalan teknologi hijau pada masa yang akan datang. Dunia sedang melalui anjakan paradigma ke arah transformasi digital dan PKS perlu menyertainya demi kejayaan mereka. Nanoteknologi merupakan pemangkin dalam mencipta teknologi baharu ini yang akan meningkatkan kedudukan Malaysia semasa anjakan ini.”
 
METT dijangka akan memasuki pasaran menjelang pertengahan tahun 2021. Harga komponen penerima dianggarkan antara RM300 – RM 500 dan komponen penghantar pula antara RM1,000 – RM 2,000. Sebuah penghantar boleh digunakan untuk berbilang penerima. METT dijangka dapat menjana hasil jualan hampir RM1.9 bilion dan mewujudkan sehingga 2,800 peluang pekerjaan bagi para pekerja yang memiliki pengetahuan dan kemahiran teknikal STEM. Ini membuktikan bahawa nanoteknologi menjadi bidang penting dalam menggalakkan dan memacu kemajuan ekonomi, selari dengan visi dan keutamaan negara pada masa ini.
 
Tentang NanoMalaysia Berhad
NanoMalaysia Berhad telah ditubuhkan pada tahun 2011 sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan (SBMJ) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk bertindak sebagai sebuah entiti perniagaan yang diamanahkan dengan aktiviti mengkomersialkan dan perindustrian nanoteknologi. Nanoteknologi terus memainkan peranan menyediakan penyelesaian yang efisien dan dipertingkatkan bagi pelbagai aplikasi termasuk untuk kehidupan pintar, pembuatan pintar, pertanian, peranti elektronik serta tenaga dan persekitaran. NanoMalaysia percaya bahawa “Internet of Nano-Things” atau IoNT akan menjadi pemacu teras bagi Industri 4.0 dan menjadi pemangkin perubahan termaju dalam industri, perniagaan dan masyarakat.
 
Tentang Enhance Track Sdn Bhd
Enhance Track Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 2005 dan secara aktif menyediakan bekalan peralatan dan perkhidmatan pembuatan ke seluruh dunia Syarikat juga menawarkan peralatan makmal, bahan kimia, perkhidmatan pembuatan peralatan analitik makmal, dan perkhidmatan perundingan dalam bidang Sains & Kejuruteraan. Pada tahun 2008, syarikat itu menceburkan diri dalam perkhidmatan penyelenggaraan elektrik untuk industri minyak dan gas dan kini terlibat dalam teknologi baru dan pengkomersialannya.

SUMBER: NanoMalaysia Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Audra
Tel: +6012 6915 024 

Nama: Poon Li-Wei 
Tel: +6012 391 2028

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.