ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  KEMENTERIAN PERTIMBANG TINDAKAN BERSESUAIAN BAGI MENANGANI ISU SEKATAN OLEH AMERIKA SYARIKAT TERHADAP PRODUK AGRIKOMODITI NEGARA

Thursday 22/10/2020



KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali telah menerima kunjungan pegawai kanan pengurusan FGV Holdings Bhd (FGV) diketuai oleh Ketua Pegawai Komunikasi Strategik Kumpulan, Dato’ Najmuddin Abdullah. Pertemuan tersebut membincangkan isu membabitkan dakwaan Amerika Syarikat (AS) ke atas FGV yang dikatakan mengamalkan buruh paksa selain perkembangan terkini pembangunan industri sawit negara.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil maklum dan memandang serius susulan beberapa insiden yang melibatkan penahanan eksport produk agrikomoditi Malaysia oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS kebelakangan ini. KPPK berpandangan perlunya satu platform yang lebih adil bagi Malaysia dan AS berunding bagi menangani dakwaan serta tuduhan yang boleh menjejaskan aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara.

KPPK dimaklumkan bahawa FGV telah menunjukkan komitmen yang tinggi serta mengambil langkah perlu dalam usaha membatalkan WRO sejak petisyen dikemukakan. FGV juga telah mengambil tindakan sewajarnya untuk memperbaiki sistem pengambilan buruh asing serta menetapkan piawaian pekerja yang bersesuaian dalam memastikan kebajikan pekerja terpelihara selaras dengan hak asasi manusia.

Tidak dinafikan, AS merupakan pasaran penting bagi produk agrikomoditi Malaysia yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport negara. Bagi tempoh Januari-Ogos 2020, jumlah eksport agrikomoditi ke negara berkenaan bernilai RM14.10 bilion. Walau bagaimanapun dengan insiden yang semakin kerap berlaku, KPPK bersedia untuk mempertimbang tindakan yang sewajarnya bagi menangani isu tersebut.

Pada tahun 2018, KPPK dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) selaku perunding teknikal kajian telah melaksanakan kajian menyeluruh situasi buruh dalam sektor perladangan sawit Malaysia. Ia dijalankan bagi memastikan hasil kajian yang lebih komprehensif. Kajian ini telah dibentangkan dan diterima oleh Kabinet dan akan dikemukakan kepada Jabatan Buruh (DOL) AS sebagai salah satu inisiatif untuk mengeluarkan sektor perladangan sawit Malaysia daripada senarai Trafficking Victims Protection Reauthorization Act (TVPRA) yang menjadi rujukan kepada CBP AS dalam membuat keputusan. Langkah ini diharap dapat mengelakkan sekatan ke atas produk agrikomoditi negara pada masa hadapan.

Kementerian menyarankan agar pihak industri sawit termasuk FGV untuk terus meneroka pasaran baharu mengambil kira situasi pandemik COVID-19 masa kini dengan memfokuskan eksport sawit ke negara-negara lain yang berpotensi di benua Afrika seperti Nigeria, Asia Tengah dan sebagainya.

Di samping itu, bagi mengukuhkan lagi komitmen kerajaan, tiada lagi pengambilan baharu pekerja asing akan dilaksanakan pada masa ini. Oleh yang demikian, isu buruh paksa yang dibangkitkan dan dilaporkan oleh DOL merupakan isu lama dan telah pun diambil tindakan oleh pihak industri.

KPPK dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan sentiasa memberi perhatian mengenai pembangunan industri sawit negara dan mengambil berat kebajikan pekerja di sektor agrikomoditi demi menjamin kemakmuran sejagat dan kemaslahatan bersama.

YB DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
22 Oktober 2020

Sumber: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:

Nama: Siti Hajar Zulkefle
Pegawai Komunikasi Strategik
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Tel: 03 - 8880 3381
E-mel: hajarzulkefle@mpic.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.