ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  MENDEPANI 2021 DENGAN SEMANGAT MDEC DIGITAL

Tuesday 12/01/2021



Table

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Puan Surina Shukri 


KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Belum terlambat rasanya untuk menitipkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2021 kepada pembaca blog MDEC. Alhamdulillah, cabaran hebat pada 2020 yang tidak pernah kita bayangkan berjaya diharungi oleh negara dan tidak terkecuali, Malaysia Digital Economy Digital (MDEC).
 
Di sebalik ‘kekacauan’ yang timbul akibat pandemik COVID-19, sebenarnya jika kita merenung dari sudut berbeza, terdapat pelbagai perkara baharu yang secara tidak langsung telah membantu negara melakukan lonjakan digital. Sesuatu yang telah lama diusahakan oleh kerajaan amnya dan MDEC khususnya.
 
Rakyat mula bercakap tentang normal baharu seperti penjarakan sosial, pembelajaran dalam talian, membeli belah secara e-dagang dengan lebih ketara berbanding sebelumnya.
 
Mengimbas kembali, sejurus selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), MDEC segera melancarkan Gerakan #DigitalvsCOVID bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang terjejas. Gerakan ini menyaksikan lebih 200 syarikat-syarikat teknologi tempatan bertaraf global tampil menawarkan penyelesaian digital secara percuma atau pemberian diskaun untuk membolehkan PKS tempatan terus beroperasi berikutan sekatan perjalanan yang dilaksanakan untuk mengekang penularan virus.
 
Walaupun PKP bersambung beberapa fasa sehingga menyebabkan ‘sebahagian besar pahlawan digital MDEC tidak dapat bertemu secara bersemuka untuk mengatur perlaksanaan inisiatif digital, namun penerapan polisi bekerja dari rumah yang diaktifkan untuk keselamatan petugas dan pelanggan, urusan MDEC berjalan seperti biasa.
 
Mesyuarat maya dilakukan pada hampir setiap hari sepanjang waktu #stayathome #kitajagakita #putuskanrantaianCovid-19 untuk meneruskan pelbagai perancangan serta bersama -sama kerajaan melandaikan lengkuk jangkitan dan meneruskan tanggungjawab mencorak ekonomi digital negara.
 
Suatu ketika, Malaysia merupakan negara paling teruk terjejas di Asia Tenggara namun memasuki Jun 2020, kita telah disenaraikan sebagai antara negara yang paling berjaya dalam peperangan menentang COVID-19. Jelaslah, kuncinya ialah bersatu padu yang sentiasa menjadi kekuatan kita.
 
Pada Mei pula, MDEC dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berjaya menganjurkan pula ekspo e-dagang (eDX) terbesar di bawah inisiatif Go eCommerce dengan menghimpunkan lebih 50,000 peserta terdiri daripada usahawan mikro, perniagaan tempatan dan pengeksport.
 
Penghujung tahun, MTM2020 atau Bulan Teknologi Malaysia 2020  yang merupakan acara terbesar MDEC juga berjaya dilaksanakan dengan matlamat  untuk memberi penekanan dan mengukuhkan peranan Malaysia dalam mengembangkan ekonomi digital dan menjadi peneraju di kalangan negara-negara anggota ASEAN.
 
MTM2020 juga berperanan untuk menarik perhatian masyarakat kepada kesediaan negara memanfaatkan peluang yang wujud pada era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
 
Saya percaya ramai yang ingin tahu apa pula hala tuju MDEC untuk tahun ini. Sudah pasti ingin agensi ini ingin menjadi sebahagian daripada penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara yang dijangka tumbuh sekitar tujuh peratus seperti diunjurkan Bank Dunia.
 
Persoalannya bagaimana? MDEC komited untuk melaksanakan tanggungjawab seperti diperincikan dalam Belanjawan 2021 dengan meneruskan inisiatif terkait digital untuk manfaat rakyat dan negara. Pada masa sama, kita juga akan mengenal pasti bidang-bidang yang mana Malaysia telah mempunyai kekuatan dan bersedia untuk menjadi pemain utama global.
 
MDEC juga akan berfungsi sebagai organisasi digital yang diselaraskan secara automatik serta didorong oleh data serta bersedia dengan kecerdasan buatan (AI). Saya memberi jaminan bahawa MDEC akan meneroka banyak bidang baharu dalam tempoh terdekat ini dengan pantas dan memanfaatkan modal insan yang dimiliki agensi.
 
Teknologi kewangan Islam sebagai contoh merupakan antara sektor yang mempunyai potensi cukup besar, tidak mustahil Malaysia mampu menjadi rujukan utama global.
 
Moody’s Investors Service dalam nota penyelidikan merumuskan pasaran produk kewangan Islam seperti sukuk yang diberi perhatian oleh negara kita kekal kukuh pada 2019.  Potensinya cukup besar kerana mencatakan peningkatkan kukuh 26 peratus di pasaran negara-negara Timur Tengah dan Malaysia pada tahun lalu.
 
Agensi penarafan itu turut menyatakan walaupun berdepan gangguan pandemik, kadar penembusan meningkat dengan stabil pada sembilan bulan pertama 2020 kerana sokongan kumpulan kewangan domestik untuk mengembangkan sektor ini.
 
Selanjutnya, kita jangan lupakan potensi besar dimiliki industri kandungan kreatif digital yang sering memberi kejutan apabila semakin banyak produk animasi digital berlabel Made in Malaysia diterima baik di pasaran antarabangsa. Senarai seperti Upin & Upin, Ejen Ali The Movie dan terbaharu siri televisyen Robozeta mengumpul peminatnya merentasi sempadan negara. Maka, tidaklah mengejutkan Malaysia mendominasi sektor ini di Asia Tenggara.
 
Beralih kepada trend terkini, kita tidak dapat lupakan IR4.0, data raya, AI, dan teknologi dron. Semua ini berada dalam perancangan MDEC untuk diteruskan dan sudah pasti menerusi kerjasama awam dan swasta yang sentiasa menjadi amalan MDEC.
 
Pandemik juga menyaksikan lebih banyak negara bercakap tentang isu keselamatan makanan akibat rantaian bekalan turut terganggu. Ditambah bencana alam seperti banjir yang berlaku di beberapa negara yang merupakan pengeksport makanan dan hasil pertanian seperti India penghujung tahun lepas, impaknya turut dirasai rakyat negara ini apabila berlaku pengurangan bekalan di pasaran tempatan.
 
Kecoh juga apabila harga bawang dan cili melambung. Teknologi yang dibawa MDEC bersama rakan strategiknya diyakini akan membantu meningkatkan hasil terutamanya tanaman cili selain boleh diperluaskan untuk nanas. Apabila teknologi terkini mula diaplikasi dalam sektor pertanian, MDEC percaya ia akan menarik minat golongan belia atau graduan untuk memasuki sektor ini.
 
MDEC menggalakkan petani mengusahakan ladang dengan menggunakan teknologi terkini termasuklah bagi perkhidmatan logistik dan penjualan hasil tanaman menggunakan media digital. Dengan kaedah tersebut, hasil dan kualiti tanaman akan meningkat seterusnya menjana pendapatan yang lebih tinggi.
 
Apa pula ceritanya dengan syarikat pemula atau mesra disebut startup? Pada tahun lepas, Kuala Lumpur disenaraikan di kedudukan ke-11 bagi ekosistem permulaan yang baharu muncul di dunia dengan nilai USD15 bilion. Oleh itu, tahun ini MDEC akan memperkemaskan lagi Hab Digital Malaysia bagi memastikan lebih banyak syarikat pemula mendapat manfaat terutamanya untuk npertumbuhan dan peluang global.
 
Selaras dengan keutamaan strategik MDEC untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan kemahiran digital bagi menyumbang kepada ekonomi digital Malaysia, inisiatif seperti latihan untuk peningkatan tenaga kerja baharu dan memberi insentif kepada syarikat untuk mengambil pekerja digital baharu juga antara yang akan diberi tumpuan. Nantikan perkembangan selanjutnya.
 
Saya juga ingin berkongsi rasa bersyukur dan terharu apabila disenaraikan sebagai antara 50 tokoh paling berpengaruh dunia dalam merevolusikan sistem tadbir urus kerajaan oleh Agile 50 yang dilaksanakan bersama Forum Ekonomi Dunia berhubung tadbir urus cekap.
 
Sebenarnya ia bukanlah mengenai saya sahaja kerana pengiktirafan ini mencerminkan usaha MDEC untuk meletakkan ekonomi digital negara pada tahap yang boleh dibanggakan dan seterusnya memacu Malaysia menjadi Nadi Digital ASEAN.
 
Pada kesempatan ini, MDEC turut merakamkan terima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Dato’ Saifuddin Abdullah yang menyokong misi ini untuk merealisasikan Malaysia 5.0 yang merupakan langkah penting untuk membawa ekonomi digital kepada rakyat dan berkongsi kemakmuran untuk rakyat  pada 2021 dan tempoh mendatang.
 
MDEC kini memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu Bakat Digital, Perniagaan Digital, Pelaburan Digital dan MDEC Digital untuk memacu capaian digital berimpak tinggi serta hasil untuk masyarakat dan ekonomi negara.
 
Saya melihat 2021 sudah pasti akan membuka lembaran serta peluang baharu untuk mencipta kejayaan. Bagaimanapun, kita sedar pasti ada cabaran turut menanti di hadapan kita namun saya yakin, semuanya akan diharungi bersama seperti yang telah dibuktikan pasukan MDEC sebelum ini.
 
Selamat Tahun Baharu 2021.
 
#MalaysiaNadiDigitalASEAN #MDECDigital
 
(Nota, penulisan ini disiarkan dalam blog rasmi MDEC di pautan berikut https://mdec.my/blog/)

Oleh Surina Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC
 

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation 
 
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi digital negara. Ditubuhkan pada 1996, mandat MDEC termasuk memacu penerapan mengguna pakai teknologi digital di kalangan rakyat, pembangunan bakat yang mampu memenuhi kehendak industri, merangka dasar-dasar ekonomi digital serta mewujudkan juara dalam bidang ekonomi digital di peringkat global.
 
Untuk memastikan masa depan Malaysia menghadapi era digital terjamin, MDEC akan bersandarkan rekod prestasinya yang kukuh, kredibiliti di kalangan industri dan kepimpinan yang berpengalaman untuk mengaitkan, memangkinkan dan mengkomersialkan inisiatif-inisiatif digital yang bertujuan untuk menggiatkan kemajuan ekonomi digital yang sedang berkembang dengan pesat dan mampan serta menjadikan kepelbagaian dan keterangkuman sebagai terasnya.
 
MDEC juga akan terus memacu pertumbuhan ekonomi digital berimpak tinggi selaras dengan Wawasan Kemakmuran Negara 2030 dan mengukuhkan reputasi negara sebagai Nadi Digital ASEAN.

#LetsBuildTogether #DigitalMalaysiaForward #DigitalvsCovid

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif-inisiatif ekonomi digital yang dilaksanakan oleh MDEC sila layari www.mdec.my atau ikuti kami di:
 
Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/
Twitter: @mymdec
 

SUMBER : Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Mohd Firdaus Ismail
Tel : +60133423860
E-mel : firdaus.ismail@mdec.com.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.