ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  KEBENARAN OPERASI SEKTOR PERLADANGAN DAN KOMODITI SEPANJANG PKP, DARURAT JAMINAN PEMULIHAN EKONOMI SERTA BEKALAN BARANGAN KEPERLUAN

Thursday 14/01/2021



KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam melaksanakan keputusan Kerajaan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah mulai 13 hingga 26 Januari 2021, akan memantau seterusnya memastikan semua aktiviti sektor perladangan dan komoditi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

KPPK juga menyambut baik perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga tarikh yang lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung penularan pandemik COVID-19.

Kerajaan juga telah membenarkan lima sektor ekonomi perlu termasuk perladangan dan komoditi beroperasi dalam tempoh PKP tersebut. Ia merangkumi semua aktiviti pengeluaran agrikomoditi iaitu sawit, getah, kayu-kayan termasuk sektor perabot, koko, lada, kenaf dan biodiesel serta rantaiannya bagi ladang dan pekebun kecil, dagangan, input pertanian, kilang pemprosesan di samping pensijilan. Aktiviti-aktiviti ini juga dibenarkan untuk terus beroperasi dalam tempoh darurat.

Keputusan Kerajaan itu adalah amat wajar bagi memastikan sumber pendapatan negara khususnya pekebun kecil agrikomoditi tidak terjejas, menjamin proses pemulihan semula ekonomi negara serta memastikan rakyat terus mendapat akses barangan keperluan sepanjang tempoh berkenaan.

Walau bagaimanapun semua peladang, pengilang dan syarikat yang beroperasi sepanjang tempoh PKP dan darurat perlu mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan yang boleh dirujuk di laman web KPPK demi memastikan keselamatan rakyat adalah terjamin. Sebarang pertanyaan berhubung SOP tersebut boleh dikemukakan kepada KPPK melalui talian hotline 03-88803498 pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang atau emel hotlinempic@mpic.gov.my.

Dengan adanya pelaksanaan langkah-langkah untuk mengimbangi kesejahteraan dan kesihatan rakyat serta pemulihan ekonomi, KPPK berharap semua pihak dalam sektor ini yang dibenarkan beroperasi, dapat menyesuaikan diri dengan amalan kebiasaan baharu terutamanya dalam mematuhi penjarakan sosial, kebersihan diri dan tempat kerja serta garis panduan yang ditetapkan dari semasa ke semasa.

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
14 Januari 2021


Sumber: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: SITI HAJAR ZULKEFLE

Pegawai Komunikasi Strategik
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK)
E-mel: hajarzulkefle@mpic.gov.my
Tel: 03-88803381
 
--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.