ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  INDONESIA MENGGESA, MENGUTUS PERUTUSAN DI SIDANG KEMUNCAK G7

Friday 01/07/2022

AsiaNet 96803

JAKARTA, Indonesia, 1 Julai, 2022/Agensi Berita Antara-AsiaNet/ --
 
Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) telah tiba di tempat Sidang Kemuncak G7 ke-48 di Schloss Elmau, Jerman pada tengah hari Isnin (27 Jun) waktu tempatan (UTC+1) untuk menghadiri mesyuarat itu di atas kapasiti sebuah negara rakan dan sebagai Presiden G20.
 
G7 ialah sebuah forum tidak formal yang menghimpunkan pemimpin bagi negara-negara perindustrian terkemuka dunia dari Kesatuan Eropah dan negara seperti Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Jokowi telah disambut oleh Canselor Jerman Olaf Scholz.

Semasa sesi alu-aluan rasmi oleh canselor itu, Jokowi hadir bersama pemimpin negara-negara rakan G7, termasuk Presiden Argentina Alberto Fernandez, Perdana Menteri India Narendra Modi, Presiden Senegal Macky Sall, dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa.

Tambahan pula, semasa sesi bergambar, beliau telah bergambar dengan diiringi Canselor Jerman dan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden.

Semua ketua kerajaan menghadiri dua sesi mesyuarat G7 itu.

Presiden Jokowi menjemput negara-negara G7 untuk menyumbang bagi memanfaatkan peluang-peluang pelaburan di dalam sektor tenaga bersih di Indonesia.

Presiden Jokowi menyampaikan kenyataan itu semasa menghadiri sesi makan tengah hari sambil bekerja pada Sidang Kemuncak G7 berdasarkan kepada topik perubahan iklim, tenaga, dan kesihatan di Elmau, Jerman, Isnin (27 Jun).

“(Ini) terutamanya (berkenaan) peluang-peluang pelaburan di dalam sektor tenaga bersih di Indonesia, termasuk pembangunan sebuah ekosistem kereta elektrik dan bateri litium,” kata presiden itu.

Menurut Presiden Jokowi, potensi Indonesia sebagai sebuah penyumbang kepada tenaga bersih, sama ada di perut bumi, di darat, mahupun di laut, adalah sangat besar. Indonesia memerlukan pelaburan besar dan teknologi rendah karbon untuk menyokong satu peralihan yang pantas dan berkesan kepada tenaga bersih.

“Indonesia memerlukan sekurang-kurangnya AS$25-30 bilion untuk peralihan tenaga dalam tempoh lapan tahun akan datang. Kita boleh mengoptimumkan peralihan ini sebagai sebuah penggerak bagi pertumbuhan ekonomi, membuka peluang-peluang perniagaan, dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu,” kata Presiden Jokowi.

Selain itu, presiden menyatakan bahawa di Indonesia dan juga di negara-negara membangun yang lain, risiko perubahan iklim adalah sangat nyata, lebih-lebih lagi ia adalah negara kepulauan, dengan 17 ribu pulau. Risiko itu bukan sahaja memudaratkan kepada kesihatan malah turut menyusahkan petani dan nelayan.

“Kami amat mengharapkan sokongan daripada semua negara G7 semasa Kepresidenan Indonesia pada G20 itu. Jumpa anda di Bali. Terima kasih,” kata presiden itu.

Semasa sesi II pada sidang kemuncak G7 mengenai topik keselamatan makanan dan kesaksamaan gender, Presiden Jokowi telah menggesa negara G7 dan G20 untuk bersama-sama mengatasi krisis makanan yang pada masa ini mengancam rakyat di negara-negara membangun untuk jatuh ke dalam kancah kebuluran dan kemiskinan yang melampau.

“(Kira-kira) 323 juta orang pada tahun 2022, menurut Program Makanan Sedunia, berisiko menghadapi ketakjaminan makanan yang teruk. G7 dan G20 mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengatasi krisis makanan ini. Marilah kita menunaikan tanggungjawab kita sekarang dan dari sekarang,” kata Presiden Jokowi.

Menurut presiden itu, makanan adalah isu hak asasi manusia yang paling asas. Tidak dinafikan, wanita daripada keluarga miskin paling menderita akibat daripada kekurangan makanan untuk anak-anak dan keluarga mereka.

“Kita mesti bertindak cepat untuk mencari satu penyelesaian konkrit. Pengeluaran makanan perlu dipertingkatkan. Rantaian bekalan makanan dan baja global mesti kembali ke tahap normal,” kata presiden itu.

Dalam ucapan beliau, Presiden Jokowi menekankan pentingnya sokongan negara G7 untuk penyepaduan semula eksport gandum Ukraine dan eksport komoditi makanan dan baja Rusia dalam rantaian bekalan global.

Terdapat dua cara untuk merealisasikan perkara ini, dengan yang pertama ialah memudahkan eksport bijirin Ukraine yang boleh dimulakan serta-merta.

Menurut presiden itu, pendekatan kedua ialah komunikasi proaktif dengan orang ramai di seluruh dunia bahawa komoditi makanan dan baja dari Rusia tidak dikenakan sekatan.

“Komunikasi intensif ini amat diperlukan, agar tidak timbul keraguan yang berpanjangan dalam (fikiran) masyarakat antarabangsa. Komunikasi intensif ini juga perlu diperkukuhkan dengan komunikasi dengan pihak-pihak yang berkaitan, seperti bank, insurans, perkapalan, dan lain-lain,” jelas presiden itu.

Presiden Jokowi telah memberikan perhatian yang signifikan kepada kesan perang terhadap rantaian bekalan makanan dan baja.

"(Ini) terutamanya untuk baja, kerana jika kita gagal mengendalikannya, satu krisis beras yang melibatkan dua bilion orang, terutama di negara-negara membangun, boleh berlaku," kata presiden itu.

Di akhir ucapan beliau, presiden itu sekali lagi berkata mengenai betapa pentingnya negara G7 dan G20 untuk bersama-sama mengatasi krisis makanan ini sambil turut mengundang pemimpin G7 untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Bali.

“Saya sedang menunggu pemimpin G7 untuk menghadiri sidang kemuncak G20. Jumpa anda di Bali, pada 15-16 November 2022,” kata Presiden Jokowi.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Luar Retno Marsudi menyatakan bahawa presiden mengadakan kira-kira sembilan pertemuan dua hala dengan: Perdana Menteri India; Presiden Perancis; Perdana Menteri Kanada; Canselor Jerman; Perdana Menteri Britain; Perdana Menteri Jepun; Presiden bagi Suruhanjaya Eropah; Presiden bagi Majlis Eropah; dan Pengarah Urusan IMF.

Semasa mesyuarat dua hala itu, selain menjemput negara lain untuk menyelesaikan masalah rantaian bekalan makanan, presiden Jokowi turut menekankan persiapan bagi Sidang Kemuncak G20.

“Dalam pertemuan ini, kita dapat melihat dengan jelas bahawa sokongan untuk Presiden Indonesia masih sangat kuat,” kata Marsudi.

Pada tahun 2022, Jerman mengambil alih jawatan Presiden G7 dan menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak G7 ke-48 yang diadakan pada 26-28 Jun 2022, di Schloss Elmau.

G7, asalnya G8, telah ditubuhkan pada tahun 1975.

Sidang kemuncak tahunan G7 itu telah, selama bertahun-tahun, berkembang menjadi sebuah platform untuk menentukan perjalanan bagi wacana pelbagai hala dan membentuk tindak balas politik terhadap cabaran global.
 
SUMBER: Kementerian Komunikasi dan Informatika Republik Indonesia

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.