ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  MALAYSIA SEDIA BANTU INDIA PENUHI KEPERLUAN MINYAK SAWIT

Thursday 04/08/2022



KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- MALAYSIA bersedia memenuhi permintaan India untuk minyak sawit memandangkan kemungkinan bekalan tidak menentu dari Indonesia. Dalam tempoh kurang daripada setahun, pengeluar minyak sawit terbesar dunia Indonesia, telah memperkenalkan beberapa dasar tentang eksport komoditi tersebut yang mengakibatkan ketidaktentuan pasaran dan kesukaran kepada negara pengimport seperti India.
 
India adalah antara pengguna minyak sawit terbesar dunia selepas Indonesia dengan tahap penggunaan 8.7 juta tan pada 2021 dan 8 juta tan sahaja pada suku pertama 2022. Seperti yang dinyatakan oleh presiden Persatuan Pengeluar Minyak Sayur India (IVPA) Sudhakar Desai pada Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 baru-baru ini, Malaysia telah mengekalkan dasar berkaitan perdagangan minyak sawit secara konsisten. Ini sekali gus memenuhi permintaan India semasa tempoh larangan eksport minyak sawit oleh Indonesia.
 
Sudhakar juga dipetik di dalam media menyatakan bahawa rantaian bekalan Malaysia yang stabil memainkan peranan penting dalam keselamatan minyak makan untuk permintaan India dalam dua bulan lepas. Kepercayaan India terhadap Malaysia – pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia – sebagai pembekal yang dipercayai telah diperkukuh lagi dengan memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara IVPA dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di MIACES 2022 baru-baru ini.
 
Secara umumnya, MOU itu bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara India dan Malaysia dalam industri minyak sawit, meningkatkan kerjasama untuk mempromosikan industri minyak sawit India, bertukar maklumat berkaitan usaha kemampanan serta penyelidikan dan pembangunan setakat tanaman emas berkenaan.
 
Bagi tujuan ini, saya setuju dengan Sudhakar bahawa IVPA dan MPOC mampu menangani isu berkaitan dasar secara dinamik untuk manfaat industri di kedua-dua negara. Pada masa ini, IVPA telah menganggarkan import minyak sawit India dari Malaysia kekal stabil pada separuh kedua 2022, iaitu kira-kira 55% daripada jumlah import minyak sawit India, walaupun Indonesia telah giat mempromosikan eksport komoditi tersebut kebelakangan ini.
 
Malah, IVPA telah meramalkan lonjakan permintaan kepada 800,000 tan sebulan bagi untuk enam bulan akan datang, atau peningkatan kira-kira 20% daripada separuh pertama 2022. Optimisme India terhadap minyak sawit Malaysia adalah tanda keyakinan terhadap tanaman emas negara. Kami berharap ini akan menggalakkan lebih banyak pasaran bukan tradisional untuk mula beralih kepada minyak sawit, yang telah terbukti lebih berkhasiat dan lebih mampan berbanding dengan alternatif.
 
Dalam hal ini, KPPK akan meningkatkan usaha untuk mempromosikan minyak sawit Malaysia, bukan sahaja di India tetapi di seluruh dunia, termasuk pasaran bukan tradisional selaras dengan kempen "Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit".
 
DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
04 OGOS 2022


Sumber: KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Muhammad Adam Bin Abu Bakar
Tel: 03-88878236
E-mel: adam@mpic.gov.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.