ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  AGROBANK SAMBUT BAIK PROGRAM PEMULIH NEWBIZ, BANTU RAKYAT MALAYSIA DEPANI CABARAN EKONOMI SEMASA

Monday 08/08/2022



Table

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank  

 
SERDANG, Selangor, 8 Ogos (Bernama) -- Agrobank menyambut baik mandat dan tanggungjawab yang diberikan oleh Kerajaan dalam memulihkan sektor pertanian dan agromakanan negara dan sekaligus membantu rakyat Malaysia mendepani cabaran ekonomi semasa, menerusi Program Pembiayaan Pemulih NewBiz, sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu.
 
Pengumuman mengenai Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri ketika berucap dalam merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, Agrobank menyambut baik pengumuman Perdana Menteri yang memperuntukan RM50 juta kepada Agrobank bagi membantu kira-kira 10,000 individu yang berminat untuk memulakan perniagaan mikro berasaskan makanan.

Mengulas lanjut mengenai Program Pembiayaan Pemulih NewBiz, beliau berkata, program terbaharu Agrobank ini adalah berbeza daripada program pembiayaan yang lain dan ia diolah khusus bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan oleh situasi dan cabaran ekonomi semasa, seperti hilang pekerjaan, graduan yang masih menganggur, individu asnaf, mereka yang ingin menambah pendapatan isi rumah dan suri rumah serta ibu tunggal.

“Kemudahan pembiayaan tanpa cagaran ini ditawarkan untuk tujuan pembelian aset tetap dan modal pusingan kepada aktiviti perniagaan yang ditetapkan seperti pembelian motosikal untuk aktiviti pengedaran dan penghantaran makanan melalui platform e-hailing,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.
 
Program Pemulih NewBiz juga terpakai bagi mereka yang menjalankan aktiviti perniagaan di rumah (home-based) seperti:

a) Pengedaran dan penghantaran makanan termasuk bagi tujuan pembelian bahan mentah, mesin dan motosikal yang bersesuaian dengan keperluan aktiviti tersebut.

b) Pemprosesan dan penyediaan makanan atau bahan asas bagi menyediakan makanan sebelum dihantar ke tapak atau mana-mana premis perniagaan yang dibenarkan.

c) Menjalankan aktiviti perniagaan di gerai yang berlesen seperti gerai burger atau mana-mana yang seumpamanya.

Tengku Ahmad Badli Shah turut menambah, program pembiayaan ini ditawarkan dalam dua peringkat iaitu pembiayaan sehingga RM5,000 diberikan bagi peringkat pertama manakala pembiayaan peringkat kedua sehingga RM10,000 akan ditawarkan selepas tempoh 12 bulan dari tarikh kemudahan pembiayaan peringkat pertama dikeluarkan.

“Bagi program pembiayaan ini, Agrobank turut menyediakan kemudahan moratorium bagi tempoh enam (6) bulan pertama pembiayaan dan bagi bulan ketujuh dan seterusnya, mereka hanya dikenakan kadar keuntungan serendah 3% sahaja dengan tempoh maksimum pembiayaan sehingga 60 bulan atau lima tahun.

“Tempoh moratorium ini adalah untuk memberi ruang kepada para usahawan untuk kekal fokus dalam mengatur strategi perniagaan mereka, sambil menimba ilmu dan pengalaman dalam mendalami selok-belok dunia perniagaan serta menstabilkan modal pusingan perniagaan baharu yang sedang mereka usahakan sebelum memulakan pembayaran semula pembiayaan mereka.”

“Ini kerana kami tidak mahu membebani usahawan kami dengan tekanan untuk terus sahaja membuat bayaran pembiayaan mereka sebaik sahaja ia diluluskan dan akhirnya mereka gagal dalam perniagaan yang baru sahaja mereka usahakan,” tambahnya.

Tengku Ahmad Badli Shah turut menambah, bagi mereka yang baharu sahaja terlibat dalam perniagaan makanan atau usahawan muda mahupun mereka yang mempunyai minat untuk memulakan perniagaan makanan, boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE) untuk pelbagai cabang khidmat nasihat termasuklah untuk mengetahui rancangan pengurusan perniagaan ataupun aliran tunai, sekaligus dapat membimbing mereka menjadi usahawan makanan yang berjaya.

“Program Pemulih NewBiz adalah salah satu inisiatif berterusan Agrobank, dalam memainkan peranannya sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dalam sektor pertanian, untuk memenuhi tanggungjawab ‘melangkaui perbankan’ dengan menawarkan pelbagai kemudahan yang dapat membantu komuniti terpinggir dan tidak mendapat liputan (unserved and underserved communities) seperti asnaf selain menyokong individu yang tidak mempunyai pekerjaan namun sentiasa mencari peluang baharu untuk menjana pendapatan dan sekaligus menambahbaik taraf sosio-ekonomi diri dan keluarga.”
 
“Agrobank amat mengalu-alukan rakyat Malaysia yang terkesan dek cabaran ekonomi semasa untuk terus berkunjung ke cawangan Agrobank terdekat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Program Pembiayaan Pemulih NewBiz secara lebih terperinci melalui pegawai-pegawai Agrobank kami di seluruh Malaysia,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai juga boleh melayari laman web Agrobank di www.agrobank.com.my, hubungi pusat perkhidmatan pelanggan kami di 1300-88-2476 atau merujuk media social Agrobank.

Mengenai Agrobank

Agrobank adalah peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai (VBI)* di Malaysia. Ditubuhkan pada 1969, Agrobank terlibat secara aktif mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia dengan menawarkan produk dan solusi kewangan yang patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, konsumer, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro. Agrobank merupakan sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 1 Julai 2015.
 
Sebagai sebuah IKP (Institusi Kewangan Pembangunan) yang berorientasikan pelanggan, fokus utama Agrobank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian. Justeru itu, Agrobank beriltizam untuk bergerak seimbang dalam melaksanakan peranan pembangunan dan komersialnya bagi memanfaatkan sektor pertanian. Agrobank menyediakan solusi pembiayaan yang menyeluruh untuk komuniti pertanian; merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan untuk aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan jualan produk pertanian kepada pengguna.
 
Agrobank juga menawarkan penyelesaian pembiayaan perbankan runcit untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti-pertanian. Ini dapat dilaksanakan menerusi kesemua 207 buah rangkaian untuk pelanggan Bank merangkumi 140 cawangan, 32 kiosk, 19 pusat perdagangan dan 16 rangkaian perbankan.
 
Pada tahun 2019, Agrobank meraikan ulang tahun Jubli Emas menandakan 50 tahun penubuhannya membangunkan industri agro.
 
www.agrobank.com.my
 
*VBI atau perantaraan berasaskan nilai merupakan satu inisiatif daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertujuan untuk menambah nilai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam bagi menggalakkan keusahawanan, kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi tanpa mengabaikan pulangan kepada para pemegang saham.
 
Dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi Korporat, Agrobank
 
SUMBER: Agrobank

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:

Nama: Shahreen Rahim
Ketua Bahagian Perhubungan Awam
Jabatan Komunikasi Strategik
Agrobank
Tel: 03-2731 1660 / +6012-943 6217 
E-mel: shahreen.rahim@agrobank.com.my
 
Nama: Rasheffa Rashid
Eksekutif, Perhubungan Awam
Jabatan Komunikasi Korporat
Agrobank
Tel: 03-2731 1650 / +60 19-272 9907
E-mel: rasheffa@agrobank.com.my
 
--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.