ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

September 27, 2024 -Jumaat

 
  KENYATAAN MEDIA INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA BERKENAAN MENJAWAB DAKWAAN TERHADAP RADIO IKIMFM

Monday 23/09/2024



KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Pihak Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) memandang serius dakwaan yang dilemparkan terhadap Radio IKIM (IKIMfm) yang muncul di platform media sosial. Ingin kami tegaskan bahawa pihak Pengurusan IKIM sentiasa menghormati perbezaan pendapat dan meraikan kepelbagaian mazhab yang ada dalam Islam. Perkara ini telah ditekankan berulang kali oleh YAB Perdana Menteri dan YB Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam beberapa siri pertemuan dengan Pengurusan IKIM, dan juga menjadi dasar kerajaan yang mentadbir negara ini hari ini.
 
Penegasan sama turut disokong oleh ulama luar negara seperti TYT Sheikhul Al-Azhar dalam lawatan beliau ke Malaysia baru-baru ini yang turut bertemu ilmuwan termasuk dari IKIM yang menyeru untuk sentiasa mengamalkan semangat menjaga keharmonian dan perpaduan antara sesama Islam.
 
Justeru itu, kandungan radio IKIMfm sentiasa dipastikan segar dengan kupasan ilmiah dan kupasan isu-isu terkini dan semasa dan bersama tetamu-tetamu yang pakar dalam bidang masing-masing. IKIMfm mempunyai lebih 40 program seminggu dalam pelbagai bentuk yang bersifat mendidik, dan menghibur para pendengar dari khalayak masyarakat yang pelbagai bidang dan taraf pendidikan.
 
Perlu disedari bahawa IKIMfm terikat dengan garis panduan, peraturan, dan akta-akta yang dikanunkan bagi menjaga kemurniaan Islam, dan keharmonian hidup masyarakat berbilang bangsa dan agama seperti mana Garis Panduan Hiburan JAKIM, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Akta Pengiklanan dan seumpamanya.
 
Dalam masa yang sama, IKIMfm juga perlu menghormati dasar negara ini yang berpegang teguh kepada manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) sebagai amalan negara ini dan mengelak daripada mengeluarkan pandangan yang menyalahi keputusan Muzakarah MKI dan fatwa negeri-negeri kerana IKIMfm boleh didengari di seluruh negara.
 
Sejak IKIMfm ditubuhkan pada 6 Julai 2001, Pengerusi pertama IKIM, Allahyarham Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid telah menggariskan beberapa dasar yang perlu dipatuhi agar IKIMfm menjadi radio yang dihormati dan disegani dan bukan menjadi ejen propaganda dan dakyah mana-mana pihak sesuai dengan peranan IKIM sebagai sebuah badan pemikir.
 
Antaranya tetamu radio IKIMfm yang diundang bersiaran hendaklah bermanhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah bagi menghormati amalan majoriti masyarakat di negara ini dan untuk tidak mengelirukan orang awam.
 
Seterusnya, IKIMfm juga menetapkan untuk menjaga sensitiviti 3R iaitu tidak menyentuh apa-apa perkara yang berhubungan dengan kedaulatan dan Kuasa Yang di-Pertuan Agong serta mana-mana Raja sebagai Ketua Agama Islam, agama dan kaum.
 
Sekian. Terima kasih.

Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia
 
21 September 2024
 
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
UNIT PERHUBUNGAN KORPORAT
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail 
Tel: 016-2195345
E-mel: nikhasnah@ikim.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.