ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  HASIL LAWATAN KERJA PYT JULIE BISHOP MENTERI LUAR NEGERI AUSTRALIA KE MALAYSIA 14-15 MAC 2017

Thursday 16/03/2017



PUTRAJAYA, 16 Mac (Bernama) -- PYT Julie Bishop, Menteri Luar Negeri Australia telah mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada 14-15 Mac 2017. Semasa lawatan beliau, PYT Julie Bishop dan YB Dato’ Sri Anifah Haji Aman, Menteri Luar Negeri Malaysia telah mengadakan Mesyuarat Menteri Luar Negeri pada 15 Mac 2017 di Wisma Putra, Putrajaya.
 
Semasa mesyuarat tersebut, kedua-dua pemimpin berbincang secara produktif mengenai pelbagai isu yang melibatkan kepentingan bersama. YB Dato’ Sri Anifah Haji Aman mengulangi komitmen Malaysia terhadap Perkongsian Strategik Malaysia-Australia yang telah diumumkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dan TYT Malcolm Turnbull, Perdana Menteri Australia di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke 27 di Kuala Lumpur pada 22 November 2015.
 
Dalam bidang kerjasama pendidikan, PYT Julie Bishop memaklumkan bahawa seramai 300,000 orang rakyat Malaysia telah menamatkan pengajian di universiti-universiti di Australia manakala kira-kira 800 pelajar dari Australia telah mendapat tempat pengajian di Malaysia di bawah New Colombo Plan untuk tahun 2015-2017. Pihak Australia turut menawarkan kursus-kursus latihan diplomasi bagi diplomat Malaysia di Australia bagi meningkatkan hubungan strategik kedua-dua negara.
 
Isu pertahanan dan keselamatan juga dibincangkan semasa mesyuarat tersebut di mana Malaysia dan Australia mempunyai hubungan pertahanan yang istimewa sejak Perang Dunia Kedua, dan terus berkembang di bawah Five Power Defence Arrangements (FPDA) dan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia-Australia. Kedua-dua negara telah bersetuju untuk mengeratkan kerjasama bagi mencegah keganasan untuk kepentingan bersama.
 
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan mengenai kerjasama perdagangan dan pelaburan yang telah memberi manfaat kepada kedua-dua negara di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA) yang telah ditandatangani pada 22 Mei 2012.
  
Selain hubungan dan kerjasama dua hala, kedua-dua pemimpin juga berkongsi pandangan mengenai situasi global semasa termasuklah interaksi kuasa-kuasa besar di rantau ini, perkembangan di Semenanjung Korea dan isu di Laut China Selatan. Malaysia dan Australia turut menyentuh mengenai insiden MH370 dan MH17 dan langkah seterusnya dalam menyelesaikan isu berkenaan.
 
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik Malaysia-Australia dan lawatan kerja PYT Julie Bishop merupakan tanda komitmen teguh kedua-dua negara untuk melonjakkan hubungan dua hala kedua-dua negara ke peringkat lebih tinggi. 
 
Bagi memperingati ulangtahun ke 60 hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Australia, Australia telah bersetuju untuk mengambil bahagian di dalam pameran yang dianjurkan oleh Kementerian Luar Negeri Malaysia yang akan diadakan di Muzium Negara pada 20 April hingga 20 Julai 2017. Australia juga bersetuju untuk membantu dalam penyediaan pakar hubungan antarabangsa untuk perbincangan meja bulat dan syarahan umum di Malaysia sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Sumber : Kementerian Luar Negeri

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : NIZAM HALIMI
Assistant Secretary
Division of Communications and Public Diplomacy
Emel : nizamhalimi@kln.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.