PIPOC 2007  
       
  LANGKAWI INTERNATIONAL DIALOGUE  
       
  IKIM :THE ROLE OF ISLAMIC  
       
  KL OIC HEALTH  
       
  PERAK ROYAL EVENT  
       
  DEVELOPING 8 (D8) MINISTERS MEETING ON FOOD SECURITY  

 
 

Oktober 19, 2017 -Khamis

 
  HASIL LAWATAN RASMI TYT SALEUMXAY KOMMASITH MENTERI LUAR NEGERI LAO PDR KE MALAYSIA 17 MAC 2017

Saturday 18/03/2017



PUTRAJAYA, 18 Mac (Bernama) -- TYT Saleumxay Kommasith, Menteri Luar Negeri Lao PDR telah mengadakan Lawatan Rasmi beliau yang pertama ke Malaysia pada 17 Mac 2017. Lawatan pengenalan ke Malaysia ini memberi peluang kedua-dua negara meningkatkan lagi hubungan dua hala yang sedia ada.
 
Semasa di Malaysia, TYT Kommasith dan YB Dato’ Sri Anifah Hj. Aman, Menteri Luar Negeri, telah mempengerusikan bersama mesyuarat dua hala, di mana kedua-dua menteri telah mengadakan perbincangan yang produktif mengenai pelbagai isu berkepentingan bersama. Dalam pertemuan itu, pelbagai bidang kerjasama telah dikenal pasti untuk diterokai pada masa akan datang. Ia termasuk kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, kewangan dan perbankan, pengangkutan dan pelancongan, pendidikan, sumber manusia, kesihatan dan pertahanan.
 
Semasa mesyuarat tersebut, TYT Kommasith telah memaklumkan mengenai cadangan Lawatan Rasmi TYT Dr. Thongloun Sisoulith, Perdana Menteri Lao PDR ke Malaysia dalam bulan Mei tahun ini. YB Dato’ Sri Anifah Hj. Aman menyambut baik cadangan tersebut dan yakin bahawa lawatan tersebut akan memperkasakan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Lao PDR.
 
YB Dato’ Sri Anifah Haji Aman pula telah memaklumkan TYT Kommasith bahawa YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, berhasrat mengadakan lawatan rasmi ke Lao PDR. Lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Lao PDR sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 29 Julai 2015.
 
Mesyuarat dua hala yang berlangsung telah menyentuh isu perdagangan dan pelaburan dimana jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Lao PDR pada tahun 2016 yang berjumlah USD 30.96 juta telah meningkat secara mendadak iaitu sebanyak 120% daripada tahun 2015 yang berjumlah USD 14.03 juta. Malaysia juga merupakan negara pelabur kelima terbesar di Lao PDR dengan pelaburan berjumlah                     USD 1 billion.
Mengenai isu perbankan dan kewangan, TYT Kommasith telah menyatakan terdapat  empat bank komersial Malaysia yang telah beroperasi di Lao PDR iaitu CIMB Bank, Maybank, Public Bank dan RHB Bank. Dalam hal ini, Kerajaan Lao PDR mengalu-alukan bank-bank Malaysia yang lain memulakan operasi di Lao PDR bagi membantu memperkukuhkan institusi kewangan di negara tersebut.   
 
Dalam bidang kerjasama pendidikan, TYT Kommasith telah menyatakan bahawa Malaysia merupakan antara destinasi utama para pelajar Lao bagi melanjutkan pendidikan mereka. Beliau menjangkakan bilangan pelajar Lao di Malaysia akan terus meningkat pada masa akan datang. Malaysia mengalu-alukan pelajar-pelajar Lao yang berkelayakan untuk memohon Biasiswa Antarabangsa Malaysia (Malaysian International Scholarship -MIS). Buat masa ini, terdapat lebih 100 orang pelajar Lao di Malaysia.
 
Isu pembangunan insan juga dibincangkan semasa mesyuarat tersebut dimana TYT Kommasith memaklumkan bahawa pembangunan modal insan di kalangan diplomat Lao PDR merupakan salah satu agenda utama beliau sebagai Menteri Luar Negeri Lao PDR. Sehubungan itu, beliau berhasrat agar Institut Luar Negeri Lao PDR (IFA) dapat mewujudkan kerjasama yang lebih erat dengan Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) dan berharap kerjasama ini akan mengukuhkan hubungan sedia ada antara kedua-dua Kementerian Luar ke tahap kerjasama yang lebih tinggi. YB Dato’ Sri Anifah Hj. Aman menyambut baik cadangan tersebut dan menyatakan bahwa IDFR akan berbincang dengan IFA mengenai cadangan ini. Beliau menekankan bahawa Malaysia akan terus menawarkan latihan di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (Malaysian Technical Cooperation Program -MTCP) kepada peserta Lao PDR.
 
Isu pertahanan juga disentuh semasa mesyuarat tersebut. Kedua-dua negara berharap persetujuan dapat dicapai bagi memuktamadkan Memorandum Persefahaman dalam bidang kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Lao PDR.
 
Selain daripada isu-isu dua hala, kedua-dua pihak juga telah berbincang mengenai isu-isu ekonomi dan keselamatan di rantau ini. Kedua-dua pemimpin mengalu-alukan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke 30 di bawah pimpinan Filipina untuk berbincang mengenai perkembangan terkini pelaksanaan ASEAN Vision 2025. Memandangkan 2017 merupakan ulang tahun ke 50 ASEAN, beberapa aktiviti akan dianjurkan untuk meraikan peristiwa bersejarah ini.
 
Selain daripada mesyuarat dua hala yang diadakan, TYT Kommasith telah mengambil kesempatan untuk melawat Institut Diplomasi dan Hubungan Luar di Kuala Lumpur.
 
Lanjutan daripada ulangtahun ke-50 jalinan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Lao PDR pada tahun 2016, lawatan TYT Kommasith ini membuktikan komitmen teguh kedua-dua negara untuk terus meningkatkan hubungan dua hala sedia ada ke tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang. 

 
SUMBER : Kementerian Luar Negeri

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : AZREEY ABU KASIM
Assistant Director
Department of Communications and Public Diplomacy
Emel : azreey@kln.gov.my

--BERNAMA
 

 
 
 

Copyright @ 2017 MREM . All rights reserved.