ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA : GARIS PANDUAN PENGUSAHA FOOD TRUCK

Friday 21/04/2017



PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum artikel bertajuk “Bentang Garis Panduan Pengusaha Food Truck” yang disiarkan melalui akhbar Sinar Harian bertarikh 20 April 2017. Laporan tersebut menyatakan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal membentangkan cadangan mewujudkan garis panduan khusus bagi pengusaha food truck bertujuan membuat penyelarasan dan penyeragaman berikutan terdapat peningkatan tinggi dalam perusahaan tersebut.

KKM menyambut baik hasrat KPKT untuk mewujudkan garis panduan berkaitan dengan pengusaha food truck. Dalam hal ini, KKM akan bekerjasama dengan KPKT untuk mewujudkan garis panduan tersebut.

Sebelum ini KKM telah mewujudkan Garis Panduan Penyediaan dan Penjualan Makanan di Premis Outlet Makanan Bergerak sebagai panduan kepada pengusaha outlet makanan bergerak seperti food truck pada tahun 2016 untuk memenuhi keperluan kebersihan dan keselamatan makanan sebagaimana yang ditetapkan di dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 di bawah Akta Makanan 1983. Selain itu, KKM turut memperkenalkan Pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) kepada pengusaha premis outlet makanan bagi menggalakkan pengusaha mengekalkan premis yang bersih, menyediakan makanan yang selamat dan pilihan makanan yang lebih sihat kepada pelanggan.

Pengiktirafan BeSS mula diperkenalkan kepada konsep perniagaan makanan bergerak atau lebih dikenali sebagai food truck mulai Mac 2016. Ia merupakan kerjasama di antara KKM dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui Program 1 Malaysia Mobile Hawkers (1MMH).

Memandangkan food truck semakin berkembang pesat pada masa kini, pelaksanaan pengiktirafan BeSS diteruskan kepada pengusaha food truck di
seluruh Malaysia. Sehingga Mac 2017, KKM telah memberi pengiktirafan kepada 18 pengusaha food truck manakala 68 lagi sedang dibimbing ke arah pengiktirafan BeSS.

Sila klik di sini untuk FoSIM Domestik

Sementara itu, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 mewajibkan pengusaha premis outlet makanan bergerak berdaftar dengan KKM. Pendaftaran boleh dilakukan melalui laman sesawang http://fosimdomestic.moh.gov.my. Kegagalan mendaftarkan premis boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA


SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Nor Suzaman bin Abdul Rahman 
Tel : 013-399 7025

Emel : n.suzaman@moh.gov.my 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.