BANK MUAMALAT TAWAR BANTUAN KHAS BANJIR - MORATORIUM PEMBIAYAAN SEHINGGA ENAM BULAN, PENGGANTIAN KAD

Rabu 03/01/2024

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) hari ini mengumumkan penawaran bantuan khas banjir yang merangkumi bantuan moratorium untuk semua pembiayaan individu dan perniagaan sehingga enam bulan serta penggantian kad debit dan kad kredit tanpa sebarang bayaran kepada pelanggannya yang terjejas akibat situasi banjir baru-baru ini.
 
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya amat prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi pelanggannya termasuk individu serta perniagaan dan berharap bantuan khas banjir ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terlibat.

“Sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang sentiasa komited menyediakan ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’ pelanggannya, kami bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam menyokong dan membantu komuniti menempuhi waktu getir ini.

“Pelanggan yang menghadapi kesulitan kewangan berikutan bencana ini boleh memohon bantuan khas dengan memuat turun borang permohonan “Service Request Form” (SRF) yang tersedia di laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my dan menghantar dokumen sokongan yang berkaitan menerusi emel bantuanbanjir@muamalat.com.my. Langkah proaktif akan diambil bagi memastikan proses dokumentasi dan kelulusan permohonan dipermudahkan,” tambah Khairul.

Bagi pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat nasihat, boleh mengunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-2600 5500.

Mengenai Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat)
Bank Muamalat adalah perbankan Islam terkemuka yang komited untuk menyediakan "Kehidupan Lebih Baik, Bersama" dengan penyelesaian kewangan yang inovatif sejajar dengan prinsip Syariah. Dengan dedikasi untuk mencipta perubahan positif dalam industri kewangan dan fokus yang kukuh kepada kepuasan pelanggan, Bank Muamalat menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang disesuaikan untuk individu, perniagaan dan institusi.

SUMBER: Bank Muamalat Malaysia Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Syahida Azureen 
Tel: +6012 242 3696
Emel: syahida.azureen@muamalat.com.my 

Nama: Mohd Nazrul Hafizi 
Tel: +6017 921 1384
Emel: mohd.nazrul.hafizi@muamalat.com.my

--BERNAMA 
+