SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI DI MALAYSIA MINGGU EPIDEMIOLOGI 52 (24 DISEMBER - 30 DISEMBER 2023)

Isnin 08/01/2024

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Pada minggu epidemiologi terakhir bagi tahun 2023 iaitu Minggu Epidemiologi ke- 52, sebanyak 2,715 kes demam denggi yang dilaporkan berbanding 2,913 kes pada minggu sebelumnya, iaitu penurunan sebanyak 198 kes (6.8%). Empat (4) kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-52 tahun 2023.
 
Jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sepanjang tahun 2023 adalah sebanyak 123,133 kes meningkat sebanyak 57,031 kes (86.3%), berbanding 66,102 kes bagi tahun 2022. Manakala jumlah kumulatif kematian akibat komplikasi denggi yang dilaporkan adalah 100 kematian berbanding 56 bagi tempoh yang sama pada tahun 2022, iaitu peningkatan 44 kematian (78.6%).
 
Sebanyak 134 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 131 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 104 lokaliti berada di Negeri Selangor, sembilan (9) lokaliti di Perak, lapan (8) lokaliti di WPKL & Putrajaya, tujuh (7) lokaliti di Negeri Sembilan, dua (2) lokaliti di Pulau Pinang dan Sabah serta masing- masing satu (1) lokaliti di Kedah dan Sarawak.

Survelan chikungunya merekodkan sebanyak satu (1) kes pada minggu ke-52. Jumlah kumulatif kes chikungunya bagi tahun 2023 adalah 197 kes berbanding 814 kes pada tahun sebelumnya. Bagi survelan zika sepanjang tahun 2022, sebanyak 3,939 sampel darah dan 445 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
 
Peranan membendung kes denggi bukan hanya terletak kepada Kementerian Kesihatan semata-mata, tetapi perlu melibatkan kerjasama daripada pelbagai kementerian, jabatan, agensi, syarikat swasta, badan bukan kerajaan, dan masyarakat awam termasuk sukarelawan MyCHAMPION COMBI. Penglibatan holistik dan komprehensif ini dapat mengurangkan penularan penyakit demam denggi ke tahap yang minima sehingga penyakit denggi bukan lagi ancaman kepada kesejahteraan rakyat.
 
Faktor kebersihan persekitaran dengan tabiat segelintir masyarakat yang tidak melupuskan sampah di tempat pelupusan sampah yang disediakan merupakan antara penyumbang utama kepada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes seterusnya menyebabkan peningkatan kes denggi. Justeru, masyarakat disarankan untuk terus melakukan aktiviti ‘cari dan musnah’ tempat-tempat pembiakan Aedes secara konsisten di kawasan persekitaran kediaman masing- masing sekurang-kurangnya 10 minit sekali seminggu.
 
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam usaha mengawal jangkitan denggi dan kerjasama ini perlu diteruskan dan dipertingkatkan memandangkan jangkaan berlaku peningkatan kes pada tahun 2024. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika.

DATUK DR. MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN
KETUA PENGARAH KESIHATAN

5 JANUARI 2024

LAMPIRAN

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:

Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187 

--BERNAMA
+