KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan penduduk Malaysia dan ini termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang kesihatan demi kepentingan kesihatan awam.
Bagi bulan Disember 2023, berikut dimaklumkan hasil dan tindakan penguatkuasaan Undang-Undang Kesihatan Awam:
1. Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit Demam Denggi, sejumlah 2,470 tawaran kompaun bernilai RM1,235,000.00 telah dikeluarkan dengan purata RM500.00 setiap kompaun. Sejumlah 426 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama sebanyak 48 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM188,550.00. Manakala bagi tempoh Januari sehingga Disember 2023, sejumlah 36,426 tawaran kompaun bernilai RM18,213,000.00 telah dikeluarkan dengan purata RM500.00 setiap kompaun. Sejumlah 4,264 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama sebanyak 911 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM2,349,950.00.
2. Melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, daripada 14,122 premis yang dilawati, sejumlah 4,423 notis kesalahan dikeluarkan. Sebanyak 4,860 kompaun telah ditawarkan dengan nilai tawaran berjumlah RM1,198,100.00. Manakala bagi tempoh Januari sehingga Disember 2023, daripada 246,982 premis yang dilawati, sejumlah 112,455 notis kesalahan dikeluarkan. Sebanyak 63,039 kompaun telah ditawarkan dengan nilai tawaran berjumlah RM16,388,150.00
3. Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983, sebanyak 2,837 premis makanan telah diperiksa. Jumlah premis makanan yang diberi perintah penutupan sementara di bawah Sek. 11, Akta Makanan 1983 adalah 79 premis iaitu 2.78% daripada keseluruhan premis makanan yang diperiksa. Manakala bagi tempoh Januari sehingga Disember 2023, sebanyak 104,925 premis makanan telah diperiksa. Jumlah premis makanan yang diberi perintah penutupan sementara di bawah Sek. 11, Akta Makanan 1983 adalah 2,242 premis iaitu 2.14% daripada keseluruhan premis makanan yang diperiksa. Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan.
Adalah dimaklumkan, tindakan penguatkuasaan merupakan pilihan terakhir yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Orang ramai serta semua pihak adalah diminta untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan perlaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum.
DATUK DR. MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN
KETUA PENGARAH KESIHATAN
16 JANUARI 2024
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187
--BERNAMA