REFORMASI MASA: KERAJAAN KURANGKAN MASA PELEPASAN BARANGAN DARI 3 HARI KE 1 MINIT, TINGKATKAN PRODUKTIVITI DAN WUJUDKAN PENJIMATAN KOS RM200 JUTA SETAHUN

Isnin 22/01/2024

Table

Dari kiri: Dato' Anis Rizana Mohd Zainudin @Mohd Zainuddin, Ketua Pengarah Kastam Malaysia bersama En. Zahid Ismail, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
 

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Kerajaan telah membuat suatu perubahan signifikan dalam sistem pelepasan barang gudang pengilang berlesen di Malaysia, hasil daripada kerjasama aktif antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
 
Langkah berani ini telah mengurangkan masa pemprosesan dari 3 hari kepada hanya seminit, mencerminkan kecekapan dan kesungguhan dalam memanfaatkan masa secara optimum.
 
Ketua Pengarah MPC berkata,  “Sambil kita berlari ke arah masa depan yang sejahtera dan makmur, penting untuk kita telitikan peranan masa dalam mencipta perubahan yang berkekalan. Masa yang tiada henti, adalah sumber yang tidak boleh ditebus semula apabila hilang. Masa juga diguna untuk menilai prestasi produktiviti. Oleh itu, masa amat penting dalam membangunkan negara.
 
Reformasi yang dilakukan oleh JKDM bukan sekadar mencerminkan kecekapan tetapi juga menunjukkan keberhasilan yang dapat dicapai apabila kita menghormati dan memanfaatkan masa dengan bijak.
 
Pembaharuan oleh JKDM memberi kelebihan daya saing kepada syarikat Gudang Pengilangan Berlesen (LMW), pengusaha pengangkutan dan aktiviti di pelabuhan. Pastinya juga ia memberi manfaat kepada rakyat sebagai pekerja dan pengguna.
 
Kesan pembaharuan kepada kos operasi syarikat-syarikat LMW dapat dilihat dengan penjimatan sehingga RM200 juta setahun melalui penjimatan kos penyimpanan, kos pematuhan dan peningkatan kecekapan dalam urusan perancangan keluar dan masuk barangan.
 
Pergerakan barangan lebih pantas daripada pengeluar kepada pelanggan sangat penting. Bagi syarikat, mereka dapat memenuhi permintaan pengguna dengan cepat, bagi pengusaha pengangkutan, mereka dapat mengurus kenderaan dengan lebih cekap, bagi operator pelabuhan, mereka dapat mengurangkan masa penyimpanan kontena. Ekosistem yang sempurna begini, di dalam rantaian bekalan berupaya mengukuh pertumbuhan produktiviti, ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan baharu.
 
Penghantaran yang pantas, cekap dan boleh dipercayai  juga dapat meningkatkan kepuasan pelanggan selain dapat memupuk hubungan yang lebih baik antara syarikat dan pembekal. Imej positif ini boleh menarik pelanggan dan rakan kongsi perniagaan baharu.
 
Oleh itu, pembaharuan yang dibuat oleh JKDM membolehkan syarikat berkembang ke pasaran baharu dengan lebih mudah, kerana mereka boleh bergantung pada pergerakan barangan yang cekap merentasi sempadan.
 
Kejayaan ini perlu dijadikan contoh yang baik kepada kita semua. Apabila kerajaan dan swasta bekerjasama menumpukan perhatian kepada menilai dan mengurus masa dengan cekap, kita boleh mencapai tahap produktiviti dan kecekapan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kemajuan sedemikian adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara kita di peringkat global pada kedudukan ke 12 teratas sebagaimana disasar dalam kerangka ekonomi MADANI.
 
"Marilah kita semua bertekad untuk memanfaatkan masa dengan berganding bahu antara sektor awam dan swasta. Kita jadikan setiap detik berharga, demi untuk memacu Malaysia ke arah kejayaan peningkatan produktiviti dan kemakmuran yang lebih tinggi."
 
Sekian terima kasih.
 
Ikhlas,
 
Zahid Ismail
Ketua Pengarah
Perbadanan Produktiviti Malaysia
20 Jan 2024
 
Sumber: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nik Haneez Amizan Nik Rosdi
Tel: 019-7181804 
E-mel: nikhaneez@mpc.gov.my 

--BERNAMA
+