UOB MALAYSIA BANK PERTAMA TERIMA PENSIJILAN PLATINUM GREENRE UNTUK IBU PEJABAT KORPORATNYA

Isnin 22/01/2024


Table

UOB Plaza 1 Kuala Lumpur



UOB Plaza 1 Kuala Lumpur menzahirkan dedikasi Bank terhadap kemampanan dan komitmen jangka panjang kepada Malaysia
 
KUALA LUMPUR, Malaysia, 22 Jan (Bernama) -- UOB Malaysia hari ini mengumumkan bahawa ibu pejabat korporat baharunya, UOB Plaza 1 Kuala Lumpur, telah menerima pensijilan platinum yang berprestij daripada GreenRE Real Estate (GreenRE). Platinum adalah peringkat tertinggi dalam sistem penarafan bangunan hijau GreenRE, menjadikan UOB Plaza 1 ibu pejabat bank yang pertama di Malaysia untuk mendapat pengiktirafan dari segi ciri reka bentuk mampan, pembinaan, dan kesejahteraan.
 
Siap pada September 2022, bangunan pejabat berbentuk lantera yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur merupakan pejabat profesional kepada lebih 3,000 kakitangan Bank. Bangunan ini juga terletaknya cawangan utama dan pusat kekayaan Bank. Direka bentuk untuk memupuk tenaga kerja yang berprestasi tinggi dan bersedia hadapi masa hadapan, UOB Plaza 1 memaparkan kawasan terbuka untuk berkolaborasi serta ruang kerja yang dilengkapi teknologi terkini bagi menggalakkan kerjasama, kreativiti, dan budaya.
 
Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, berkata, “Kami amat berbesar hati menjadi bank pertama di Malaysia untuk menerima pensijilan platinum GreenRE bagi ibu pejabat kami. Bangunan ini berdiri teguh sebagai bukti dedikasi kami terhadap kemampanan dan dalam mencapai aspirasi pelepasan karbon sifar bersih negara. Bagi kami, UOB Plaza 1 Kuala Lumpur bukan sahaja mencerminkan transformasi ketara yang sedang berlaku di UOB Malaysia, ia juga merupakan manifestasi secara fizikal keyakinan kami terhadap potensi jangka panjang Malaysia serta komitmen berterusan kami kepada negara, warga kerja dan pelanggan kami.”
 
Datuk Seri FD Iskandar, Pengerusi GreenRE berkata, “Kami ingin mengiktiraf langkah-langkah cemerlang yang diambil oleh UOB Malaysia terhadap kemampanan dengan mengekalkan piawaian tertinggi bagi amalan bangunan hijau untuk ibu pejabat korporatnya. Pencapaian ini adalah bukti dedikasi UOB Malaysia mewujudkan ruang hijau yang bukan sahaja mengutamakan tanggungjawab alam sekitar, namun juga kesejahteraan warga kerjanya.”
 
Antara pertimbangan utama yang menyumbang kepada pensijilan platinum GreenRE bagi UOB Plaza 1 Kuala Lumpur termasuk:
• Seni bina lestari: UOB Plaza 1 Kuala Lumpur dibina dengan ciri-ciri mampan yang mengandungi bahan mesra alam dan tidak toksik yang selamat untuk penghuni, tahan lama dan tidak memerlukan banyak penyelenggaraan.
• Pengurusan tenaga, air dan sisa yang cekap: Dalam usaha mengoptimumkan penggunaan tenaga, bangunan ini menggunakan bahan dan peralatan cekap tenaga untuk penyejukan dan pencahayaan dalaman. Kelengkapan cekap air dan sistem penuaian air hujan juga digunakan, sekali gus menyumbang kepada pengurangan jejak karbon sambil menggalakkan ekonomi kitaran.
• Tumpuan kepada kesejahteraan warga kerja: UOB Plaza 1 Kuala Lumpur memberi penekanan ketara kepada kesejahteraan kakitangannya. Cahaya semula jadi yang melimpah, kualiti udara dalaman yang sentiasa dipantau, dan ruang hijau menyumbang kepada persekitaran kerja yang positif dan sihat. Bangunan ini juga menyediakan pelbagai kemudahan bagi kesejahteraan kakitangan, yang termasuk gimnasium, pusat jagaan kanak-kanak, klinik kesihatan dan bistro di setiap tingkat. Menggabungkan unsur penghijauan dalam persekitaran dalaman dan luarannya, bangunan ini juga mempunyai dua taman puncak atau ‘sky garden’ berinspirasikan botani untuk kemudahan rekreasi dan juga kawasan formal di tingkat 18 dan 29. Selain dewan serbaguna di dalam bangunan, kawasan sosial di luar juga diwujudkan bagi menggalakkan penglibatan komuniti yang lebih bermakna.
 
Usaha kemampanan UOB Malaysia telah diiktiraf oleh The Asian Business Review di Anugerah Perniagaan ESG 2023 yang sulung baru-baru ini, di mana Bank menggondol dua anugerah dalam kategori Tenaga Boleh Diperbaharui dan Kesejahteraan Tempat Kerja.
 
Selaras dengan piawaian global, sistem penarafan GreenRE mematuhi Panduan Jaminan Kualiti untuk Alat Penilaian Bangunan Hijau daripada Majlis Bangunan Hijau Dunia, yang memastikan penjajaran dari segi pembangunan, pelaksanaan dan pengendalian alat penarafan bangunan hijau.
 
Mengenai UOB Malaysia

UOB Malaysia diiktiraf sebagai antara bank utama di Malaysia dengan penarafan AAA jangka panjang dari Ratings Agency of Malaysia. Ia telah memantapkan kedudukannya selama lebih tujuh dekad di negara ini dan mempunyai 55 cawangan di seluruh negara, menawarkan perkhidmatan perbankan konvensional dan Islam kepada para pelanggannya.

UOB Malaysia adalah anak syarikat UOB, sebuah bank terkemuka di Asia dengan rangkaian global sekitar 500 pejabat di 19 negara dan wilayah di Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara. UOB telah mengamalkan pendekatan berpusatkan pelanggan bagi mewujudkan nilai jangka panjang supaya kekal relevan, melalui semangat keusahawanan dan melakukan segala yang diperlukan bagi pelanggannya. UOB memberi tumpuan kepada pembinaan masa depan ASEAN – untuk rakyat dan perniagaan di dalam, dan yang berhubung dengan ASEAN.

Dengan jejak serantau yang tiada tandingannya, Bank dapat menghubungkan perniagaan kepada peluang di rantau ini. Bank juga memanfaatkan data dan maklumat bagi memperkenalkan pembaharuan serta mewujudkan pengalaman dan penyelesaian perbankan yang diperibadikan demi memenuhi keperluan unik dan pilihan pelanggan yang sentiasa berubah. UOB juga komited membantu perniagaan menempa masa depan yang mampan, dengan memupuk keterangkuman sosial, mewujudkan impak alam sekitar yang positif dan mencapai kemajuan ekonomi. UOB berusaha menjadi penyedia perkhidmatan kewangan yang bertanggungjawab dan teguh dalam menyokong seni, pembangunan sosial kanak-kanak dan pendidikan, melakukan segala yang diperlukan demi komuniti dan pihak berkepentingannya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.uob.com.my

Sumber: UOB Malaysia 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Putri Faralisa Sofea
Brand, Media and Communications
Tel: 6016-6642346 
E-mel: putrifaralisasofeaadril.bintiabduljalil@uob.com.my  

Nama: Sharie Elina Ibrahim
Brand, Media and Communications
Tel: 6012-682 6300 
E-mel: sharie.elina@uob.com.my

--BERNAMA

+