Isnin 22/01/2024
Pertukaran MOU Antara Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Talentcorp Dan Kapten Mohd Radzi, Pengarah PERHEBAT Disaksikan Oleh Menteri Sumber Manusia dan Timbalan Menteri Pertahanan.
BAYAN BARU, 22 Jan (Bernama) -- Dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi dan memastikan persaraan yang bermaruah veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), yang menggalas mandat dalam memperkukuh ekosistem bakat Malaysia telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (PERHEBAT), yang bertanggungjawab sebagai penggerak kerjaya kedua untuk veteran ATM.
Inisiatif yang digelar Veteran MyWIRA itu akan menumpukan kemahiran dan pekerjaan yang dipacu industri dalam sektor swasta. Sebagai projek rintis, Micron Memory Malaysia Sdn. Bhd. (Micron), sebuah syarikat yang meneraju ekosistem semikonduktor Malaysia turut memberikan kerjasama dan akan memanfaatkan kemahiran unik veteran ATM untuk mengisi kekosongan jawatan dalam pasaran kerja.
Inisiatif Veteran MyWIRA ini merupakan kerjasama pertama rentas agensi antara TalentCorp di bawah Kementerian Sumber Manusia bersama PERHEBAT di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia. Majlis pelancaran yang diadakan di Pulau Pinang itu turut menyaksikan himpunan lebih 650 tetamu jemputan termasuklah pelatih ATM PERHEBAT, veteran ATM serta pemain Industri.
Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif Veteran MyWIRA sejajar dengan prinsip pekerjaan yang bermakna dalam kerangka ekonomi MADANI. Selain itu, ia selaras dengan tiga tunjang asas yang telah beliau terapkan dalam kementerian, iaitu, memperkukuh kebajikan pekerja, meningkatkan kemahiran, dan meningkatkan produktiviti tenaga kerja.
"Veteran ATM kami memiliki kepakaran berharga dengan kemahiran khusus dan terpakai serta-merta yang diperlukan dalam sektor seperti E&E dan aeronautik," katanya semasa majlis pelancaran itu. "Gaya hidup mereka yang tersusun dalam tentera telah menanamkan kepada mereka tahap disiplin, profesionalisme dan komitmen yang tinggi - kualiti yang sangat dicari oleh majikan."
“Melalui Program Veteran MyWIRA, veteran ATM akan dapat meningkatkan kemahiran mereka selaras dengan permintaan pasaran pekerjaan dan peralihan bagi penyesuaian dalam sektor swasta. Inisiatif ini memperkasa mereka untuk membuat sumbangan besar kepada ekonomi negara, meningkatkan kebolehpasaran mereka, dan meningkatkan kualiti hidup mereka secara keseluruhan. Pada terasnya, pendekatan ini merangkumi prinsip memastikan 'no one gets left behind'," tambahnya.
Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari turut menekankan kepentingan inisiatif rentas kementerian yang diterjemahkan dalam inisiatif Veteran MyWIRA.
“Veteran MyWIRA boleh memberi impak yang cukup bermakna dalam kehidupan pesara tentera dan wanita serta memperkasakan mereka untuk mengharungi cabaran persaraan dengan bermaruah dan berdaya tahan,” katanya.
Berdasarkan data pentadbiran PERHEBAT, dianggarkan seramai 5,000 hingga 6,000 anggota ATM bersara setiap tahun. Sehingga Mei 2023, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) melaporkan seramai 42,745 veteran ATM berumur 50 tahun ke bawah.
Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat TalentCorp berkata bahawa Veteran MyWIRA akan memanfaatkan inisiatif sedia ada TalentCorp termasuk mynext TVET dan Future Skills Talent Council dengan kerjasama pihak industri berkepentingan.
“Pendekatan berstruktur ini melibatkan pemprofilan dan peningkatan kemahiran veteran ATM Negara, memastikan mereka boleh menyumbang secara bermakna kepada tenaga kerja serta mewujudkan kepelbagaian dalam tenaga kerja sektor swasta,” katanya.
Program perintis veteran MyWIRA dengan kerjasama Micron akan menyediakan latihan sambil bekerja untuk veteran ATM mulai Mac 2024, dengan penglibatan seramai 25 hingga 50 orang calon yang terpilih untuk ditawarkan pekerjaan dari Micron.
Amarjit Sandhu, Naib Presiden Korporat, Pengumpulan & Ujian Operasi NAND Micron Technology berkata, “Kami teruja untuk bekerjasama dengan TalentCorp dalam program berkerjaya semula untuk veteran Negara untuk membantu meningkatkan sosio-ekonomi komuniti setempat. Micron mencipta peluang yang sama untuk semua orang untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerjanya, dan dengan memanfaatkan kekuatan unik, pandangan dan pengalaman veteran ATM, Micron mencipta peluang untuk pertumbuhan, inovasi dan kejayaan."
Dalam masa yang sama, TalentCorp telah bekerjasama dengan pusat latihan negeri, termasuk Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC), Penang Skills Development Centre (PSDC), Pusat Pembangunan Kemahiran Johor dan Pusat Pembangunan Kemahiran & Pengurusan Perindustrian Kedah (KISMEC). Dengan kerjasama ini, rakan industri mereka akan mengambil bahagian dalam program perintis ini yang menawarkan sebanyak 500 peluang pekerjaan. Inisiatif ini mempunyai potensi untuk diperluaskan kerana dalam tempoh tiga tahun akan datang terdapat permintaan sehingga 50,000 pekerja separuh mahir dan mahir dalam industri untuk sektor Elektrik dan Elektronik (E&E).
Untuk makluman lanjut, sila layari www.talentcorp.com.my/veteranmywira.
Mengenai Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)
Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang bertanggungjawab melalui mandatnya untuk menarik, memupuk dan mengekalkan modal insan serta kepakaran yang terbaik dalam menyokong perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju. Usaha TalentCorp dipacu oleh kerjasama erat dengan pelbagai kementerian, pihak berkepentingan di dalam industri dan institusi pengajian menerusi inisiatif yang menumpukan kepada 3 penawaran khidmat utama: Penyaluran, Kepelbagaian dan Mobiliti modal insan di Malaysia. Usaha TalentCorp berpusat pada: Penyaluran, Kepelbagaian dan Mobiliti modal insan di Malaysia.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif TalentCorp, layari
www.talentcorp.com.my ataupun ikuti @TalentCorpMsia di media sosial LinkedIn, Twitter, Facebook dan Instagram.
Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad
SUMBER: Talent Corporation Malaysia Berhad
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Ahmad Anis
Tel: 019-390 5987
E-mel: anis.kamil@talentcorp.com.my
--BERNAMA