KULIM, 29 Jan (Bernama) -- AT&S Austria Technologie & Systemtechnik (Malaysia) Sdn Bhd berbesar hati mengumumkan pembukaan kampusnya di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah. Majlis perasmian telah diadakan di Bangunan Pentadbiran kampus sempena meraikan kilang pengeluaran utama yang berjaya disiapkan di kampus ini. AT&S Malaysia akan mula membekalkan Substrat Litar Bersepadu (IC) tahap tinggi untuk pemproses pusat data AMD menjelang akhir tahun ini.
Kampus baharu di Kulim, yang terletak kira-kira 350 kilometer utara dari ibu kota Malaysia Kuala Lumpur, telah berjaya disiapkan dalam tempoh yang singkat: Hanya dalam jangka masa dua tahun selepas kampus AT&S yang baharu mula dibina. “Kejayaan ini berjaya dicapai atas usaha para pekerja dan kakitangan kami di Kulim. Hari ini merupakan hari anda dan juga hari yang bersejarah untuk AT&S. Saya berasa amat bangga menyaksikan pencapaian yang bermakna ini. Terima kasih semua”, kata Ketua Pegawai Eksekutif AT&S Andreas Gerstenmayer dalam ucapan beliau sempena Majlis Perasmian. “Kemajuan ini dapat dicapai menerusi kerjasama rapat dengan para wakil dan pihak berkuasa Malaysia di peringkat nasional, serantau dan tempatan. Pihak berkuasa di Malaysia, terutamanya MIDA dan pihak pengurusan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) serta Advantage Austria daripada Dewan Perniagaan Austria, telah banyak membantu kami.”
Hubungan baik ini juga terbukti di Majlis Perasmian di mana Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, YB Liew Chin Tong, sangat mengalu-alukan perkembangan AT&S dan kesan positifnya terhadap ekonomi tempatan dalam ucapan perasmian beliau. Beliau turut memuji konsep termaju kampus AT&S: Kemudahan di Kulim yang dibina mengikut piawaian kualiti dan kemampanan tertinggi, dilengkapi dengan mesin termaju, sistem kitar semula dan konsep tenaga hijau.
“Dengan pelancaran tapak pengeluaran AT&S yang canggih ini, kerjasama ekonomi antara Austria dan Malaysia berada di tahap yang tinggi dalam sejarah”, kata Duta Austria untuk Malaysia dan Brunei, Andreas Launer. “Saya yakin kehadiran syarikat di Malaysia akan mendorong hubungan dua hala yang lebih kukuh dan akan mewujudkan lebih banyak peluang baharu untuk bekerjasama secara lebih erat dalam bidang-bidang lain seperti pendidikan tinggi, latihan vokasional atau pembangunan teknologi baharu. Saya berharap pelaburan ini juga akan menyerlahkan Austria dalam kalangan syarikat-syarikat Malaysia sebagai lokasi perniagaan dan rakan kongsi teknologi yang hebat di tengah-tengah benua Eropah.”
Mikrocip Termaju
Malaysia sedang bergerak pantas untuk menjadi hab antarabangsa bagi industri elektronik dan semikonduktor, berikutan kewujudan infrastruktur dan kumpulan bakatnya yang cemerlang. “Keputusan strategik kami pada tahun 2021 untuk memilih Malaysia bagi kemudahan pertama kami di Asia Tenggara merupakan sebuah pilihan yang tepat. Setakat ini kami melabur anggaran EUR 1 bilion di Kampus AT&S kami di Kulim Hi-Tech Park. Kami mendapat manfaat daripada persekitaran yang sangat baik di sini dan Kedah sebagai pusat teknologi yang penting di rantau ini,” kata Ahli Lembaga AT&S dan Naib Presiden Eksekutif BU Microelectronics, Ingolf Schroeder. “Menerusi pelaburan AT&S di Malaysia, kami dapat mewujudkan beribu-ribu peluang pekerjaan berteknologi tinggi di rantau ini, di mana jumlah sehingga akhir tahun ini hampir mencecah 2,500 jawatan. Perkembangan ini membantu menyediakan rangka kerja bagi pertumbuhan masa depan di Malaysia”, kata Ahli Lembaga AT&S dan Naib Presiden Eksekutif BU Microelectronics, Ingolf Schroeder.
Kampus AT&S merupakan perkembangan penting bagi syarikat teknologi yang berjaya ini, walaupun pasaran industri teknologi agak mencabar sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Penganalisis menjangkakan pemulihan sektor teknologi akan bermula pada pertengahan tahun ini.
Hari ini bangunan pejabat dan kilang 1 telah dibuka. Kilang 1 AT&S akan menghasilkan teknologi untuk syarikat semikonduktor global AMD. Kilang 2 pula sudah bersiap sedia dan operasi kilang ini akan dilancarkan sebaik sahaja persekitaran pasaran untuk salah satu pelanggan utama kami bertambah baik.
AT&S Malaysia akan mengeluarkan Substrat IC yang canggih, yang merupakan sebahagian daripada pemproses data berprestasi tinggi untuk komputer, pusat data dan infrastruktur AI. “AT&S sentiasa mengekalkan komitmennya kepada kami dan menepati masa dalam pembinaan kilang yang memenuhi jangkaan AMD secara sepenuhnya. Kami yakin bahawa AT&S adalah sumber tambahan Substrat IC berkualiti tinggi yang paling tepat bagi pusat data kami”, kata Scott Aylor, Naib Presiden Korporat untuk Pembuatan di AMD. Pengeluaran secara bersiri di Kulim akan bermula akhir tahun ini.
AT & S Austria Technologie & Systemtechnik Aktiengesellschaft -Advanced Technologies & Solutions AT&S merupakan pengeluar substrat IC berkualiti tinggi dan papan litar bercetak global yang terkemuka serta pembangun perintis teknologi interkoneksi untuk bidang teras peranti mudah alih, automotif & aeroangkasa, industri, perubatan dan pemproses berprestasi tinggi untuk aplikasi VR dan AI. AT&S mempunyai kehadiran global dengan tapak pengeluaran di Austria (Leoben, Fehring) dan kilang di India (Nanjangud), China (Shanghai, Chongqing) dan Korea (Ansan berdekatan Seoul). Kemudahan pengeluaran peingkat tinggi yang baharu untuk substrat IC kini sedang dipertingkatkan di Kulim, Malaysia. Pusat kecekapan Eropah dengan pengeluaran bersiri bersambung untuk teknologi substrat IC sedang dibina di Leoben. Kedua-dua tapak akan memulakan pengeluaran pada tahun kewangan 2024/25. Syarikat mempunyai lebih 14,000 orang pekerja. Maklumat lanjut boleh ditemui di
www.ats.net SUMBER: AT&S Austria Technologie & Systemtechnik (Malaysia) Sdn Bhd
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Gerald Reischl
Vice President Corporate Communications
Tel: +43 3842 200 4252 / +43 664 8859 2452
Emel: g.reischl@ats.net
Nama: Ruth Foo
Senior Corporate Affairs & Communications Manager Malaysia
Tel: +6012 8922883
Emel: ruth.foo@my.ats.net
--BERNAMA