SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI DI MALAYSIA MINGGU EPIDEMIOLOGI 05 (28 JANUARI 2024 - 03 FEBRUARI 2024)

Rabu 07/02/2024

 
KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Pada Minggu Epidemiologi ke-05 tahun 2024, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 3,969 kes berbanding 3,781 kes pada minggu sebelumnya. Tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-05 tahun 2024.
 
Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-05 adalah sebanyak 18,427 kes berbanding 11,127 kes bagi tempoh sama tahun 2023. Manakala terdapat sembilan (9) kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding enam (6) kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.
 
Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-05 adalah sebanyak 180 lokaliti berbanding 148 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya. Dari 180 lokaliti yang dilaporkan, 143 lokaliti di Negeri Selangor, 20 lokaliti di WPKL & Putrajaya, tujuh (7) lokaliti di Negeri Sembilan, empat (4) lokaliti di Negeri Perak, tiga (3) lokaliti di Negeri Pulau Pinang, satu (1) lokaliti di Negeri Pahang, satu (1) lokaliti di Negeri Sabah dan satu (1) lokaliti Negeri Sarawak.
 
Bagi survelan chikungunya, terdapat satu (1) kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-05. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah tiga (3) kes. Tiada wabak Chikungunya dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-05. Bagi survelan zika, sebanyak 210 sampel darah telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
 
Musim perayaan dan cuti sekolah menyebabkan pergerakan masyarakat meningkat seterusnya meningkatkan risiko berlakunya peningkatan jangkitan demam denggi. Sebelum meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung dan bercuti, pastikan tiada bekas-bekas yang boleh menakung air di rumah dan menutup semua bekas yang menyimpan air dengan rapat serta letakkan ubat pembunuh jentik-jentik. Lakukan langkah-langkah pencegahan kendiri terutama jika berada di kawasan berisiko seperti memakai pakaian berwarna cerah, menggunakan penghalau nyamuk (repelan) dan menutup anggota badan yang terdedah, terutama apabila berada di luar rumah pada waktu puncak gigitan nyamuk aedes iaitu pukul 5 pagi hingga 8 pagi dan pukul 5 petang hingga 8 malam. Sebelum memasuki rumah setelah pulang bercuti, lakukan semburan aerosol di seluruh bahagian di dalam rumah bagi membunuh nyamuk dewasa yang bersembunyi. Orang ramai boleh mendapatkan informasi penyakit demam denggi serta lokasi wabak dan hotspots melalui laman sesawang iDengue (https://idengue.mysa.gov.my). Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika.
 
DATUK DR. MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN
KETUA PENGARAH KESIHATAN

7 FEBRUARI 2024 

Klik disini untuk lampiran
 
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:

Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187

--BERNAMA
+